Friday, May 31, 2013

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN... SEPANJANG JUN INI DI ASTRO 952

Sebuah lagi karya sastera,  Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman [HHTSS] telah di angkat ke medium televisyen pada Jun ini di slot Tayangan Hebat Astro Box Office Movies  - Saluran 952.  Saluran yang juga dikenali sebagai ABO  ini  mengkhusus kepada telemovie berkualiti tinggi dengan bajet besar dan lebih artistik persembahannya berbanding drama telemovie atau drama bersiri yang biasa kita lihat di televisyen. Slot ini sering menampilkan tema berbentuk kemasyarakatan dan budaya. Dalam industri tempatan, karya jenis ini dirujuk sebagai Super Telemovie atau Super Tele. Bagaimanapun, istilah yang lebih tepat  ialah "Made-for-tv Movie". 

Berbalik kepada HHTSS,  karya ini merupakan adaptasi daripada novel Sasterawan Negara yang ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini, pernah memenangi Peraduan  Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah-Gapena pada  1979.  Dan juga pernah diangkat ke  teater pada 1984 oleh aktivis teater, Datuk Johan Jaafar sebagai penulis dan pengarah.

Kini, mulai 1  Jun 2013,  ia kembali dalam bentuk layar televisyen pula.  Kali ini dengan sentuhan daripada Sabri Yunus sebagai pengarah dan penulis skrip. Umum mengenali Sabri  sebagai pelakon televisyen, pelakon teater dan pelawak yang  berwibawa. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Sabri mula menyerlah dalam bidang pengarahan. Telemovie arahannya, Sanggul Beracun pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011. Drama TV arahannya yang lain seperti Parut Asyikin dan Sebuah Piala Seekor Kambing.

HHTSS   dibawakan  oleh pelakon hebat, Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan dan akan menemui penonton di sepanjang bulan Jun ini.




Monday, May 20, 2013

DRAMA DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-5 & 6



Semasa bercuti di Phuket, malang lagi menimpa Dahlia. Kedua anaknya telah  diculik dan dibawa lari ke Malaysia.

Rupanya Haliza adalah dalang kepada penculikan ini. Tujuannya untuk memerangkap Dahlia di Mahkamah Syariah dengan alasan Dahlia cuai dan tidak layak menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Haliza juga memerangkap Dahlia dengan gambar-gambar bersama lelaki dan arak di kelab malam. Dia merancang semua ini ketika mereka  bersahabat dahulu - sewaktu mula menubuhkan syarikat usahasama HD Solutions Sdn Bhd - yang tiada kaitan dengan Razman. Waktu itu, Razman sibuk dengan syarikatnya bersama Dahlia, Tera-Scan Sdn Bhd.

Akhirnya, mahkamah memberikan hak jagaan sementara kepada Razman.

Thursday, May 9, 2013

DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-4 [13-15 MEI]




Dahlia tiada apa-apa lagi kecuali anak-anak yang kini menjadi harta tidak ternilai baginya. Dia membawa anak-anak berpindah ke apartmen kos sederhana - tanpa  perabot atau kelengkapan kediaman yang sempurna.

Ibu Dahlia, Makcik Fatimah,  datang dari kampung untuk memberi semangat kepada Dahlia yang kini bergelar ibu tunggal.


Tidak lama kemudian, Dahlia membawa anak-anak ke Phuket untuk tenangkan perasaannya yang berkecamuk.


Wednesday, May 8, 2013

SABTU INI PENENTU 'SURVIVAL' SWAM?

Mungkin ada yang menyangka Persatuan Penulis Skrin Malaysia [SWAM] yang  'suam-suam kuku' itu  telah menjadi 'beku'  berikutan masalah kepimpinan  sejak 2011.  Andaian ini ternyata silap apabila ada pihak [sekumpulan ahli]  yang serius untuk  tampil memulihkan SWAM.

Justeru, atas permintaan Pendaftar Pertubuhan [ROS],  satu Mesyuarat Agung Tahunan [AGM] akan diadakan pada Sabtu ini, 11 Mei 2013, jam 9.30 pagi di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, Selangor.

ROS telah memberi mandat kepada AJK penggal 2009/10 untuk menganjurkan AGM ini, memandangkan masalah yang timbul selama ini berpunca daripada kesilapan teknikal dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan pada 12 Februari 2011 di Angkasapuri, lebih dua tahun lalu. [Boleh rujuk entri terdahulu mengenai SWAM di blog ini]

Pihak penganjur AGM menetapkan bahawa ahli-ahli SWAM yang statusnya sah dan aktif sebelum 31 Januari 2011 sahaja yang layak untuk mengundi.  Bagi ahli yang mendaftar selepas 31 Januari 2011, mereka tidak layak untuk mengundi tetapi masih boleh hadir sebagai pemerhati.

Penganjuran AGM kali ini diketuai oleh Timbalan Presiden untuk sesi 2009/10, Datuk Mohd Shariff Ahmad dan Setiausaha Kehormat, Puan Sujiah Salleh.

Bulan lepas, secara bergurau,  Datuk Shariff berkata, selama ini SWAM mengalami 'siaran tergendala sebentar'. Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Finas yang sekarang ini menjadi CEO persatuan Creative Content Industry Guild [CCIG] 

Pihak penganjur/AJK mengharapkan ahli-ahli yang layak mengundi [seperti syarat yang telah disebutkan] agar hadir beramai-ramai untuk memilih barisan kepimpinan SWAM yang baharu.

Akhir kata, adakah SWAM akan kembali 'hangat' selepas ini?





Thursday, May 2, 2013

PARAH...DEMAM "DAHLIA" MELANDA MALAYSIA


Alhamdulillah, selepas dua minggu [enam episod] Dahlia bersiaran di saluran Astro 134, jumlah hashtag [#] Dahlia di twitter telah meningkat. Rata-rata penonton telah men"tweet" tentang jalan cerita dan mutu lakonan para pendokong watak utama.

Untuk bacaan seterusnya, sila klik pautan di bawah :

Demam Dahlia - Artikel Astro Gempak

Teruskan menonton, ya.

Bagi yang belum melanggan pakej Mustika, sila hubungi talian 1300 82 3838. Harga untuk pakej Mustika  hanya RM12.95 sebulan. Manakala yang belum mempunyai perkhidmatan berdefinisi tinggi [High Definition - HD], sila lah menempah  Astro B.yond dengan harga RM20 sebulan.






Wednesday, May 1, 2013

Anugerah "BOH Cameronian"...di Pavillion KL

Buat pertama kali, acara  BOH Cameronian Art Awards akan diadakan di tempat  terbuka kepada awam iaitu di pusat membeli belah terkenal, Pavillion Kuala Lumpur. Acara ini akan bermula jam 7 malam ni di kawasan Centre Court.

Malam yang juga dikenali sebagai "Cammies" ini bertujuan  memberi pengiktirafan kepada penggiat seni persembahan dalam arena muzik, tarian, teater muzikal dan teater. Setiap tahun ia dihadiri kira-kira 800 penggiat seni termasuk nama-nama besar dalam  media, filem, televisyen dan fesyen tempatan.

Acara malam ini juga merupakan kemuncak kepada Festival KakiSENI yang sudah berlangsung sejak 22 April lalu di tempat yang sama. Festival ini membawakan muzik, persembahan teater, bengkel, forum dan pelbagai aktiviti seni kepada orang awam.

Pengarah acara yang bertemakan 'pop art' ini tidak lain tidak bukan, aktres terkenal, Ida Nerina.

Sehubungan itu, penganjur menjemput peminat seni dan orang awam hadir  menyaksikan acara berprestij ini dari tiga aras balkoni yang disediakan tanpa memerlukan kad jemputan atau pendaftaran. Manakala kawasan Centre Court dikhaskan untuk calon dan tetamu jemputan.

Tahniah terlebih dahulu kepada para pemenang. Dan jumpa di sana malam ini!