Tuesday, July 26, 2016

PRESTASI FILEM MALAYSIA DI PERTENGAHAN 2016

Sudah agak lama saya tidak menyentuh tentang filem tempatan kecuali baru-baru ini tentang Jebat The Movie terbitan Astro.  Setelah memasuki suku ketiga, saya terpanggil untuk melihat prestasi filem tempatan dalam suku pertama dan suku kedua. Bagaimanapun, saya tidak dapat menyentuh tentang kualiti kerana belum menonton sebahagian besar daripadanya. Saya hanya sempat menonton dua buah filem iaitu Warna Cinta Impian dan Redha. 

Sudah menjadi kecenderungan di Malaysia, kutipan tiket menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah filem. Kecenderungan ini tidak lah wajar. Filem perlu dilihat lebih daripada aspek pulangan kewangannya. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa RM juga penting untuk menjamin 'survival' filem tempatan di pawagam.

Dari aspek kutipan tiket, filem tempatan sangat memberangsangkan dalam suku pertama 2016 apabila Ola Bola dan Boboiboy mengutip RM15 juta lebih manakala Munafik, RM17 juta lebih. Mat Moto juga boleh tahan apabila membuka tirai dengan RM4 juta lebih. Ini seakan lonjakan daripada Polis Evo (RM17 juta) pada tahun lepas dan memberikan harapan kepada para penggiat filem tempatan.

Bagaimanapun, harapan punah dalam suku kedua. Kutipan tiket merudum seteruk-teruknya. Malahan ada yang hanya mengutip RM1,900! Filem-filem berbahasa Cina (Mandarin dan Kantonis) yang pernah mendapat kutipan tinggi pada tahun  2013 dan 2014 (rata-rata mampu mencecah antara RM1 juta lebih sehingga RM4 juta lebih) turut merudum kepada ratusan ribu sahaja pada tahun ini. Paling teruk, RM6,000.

Apa pun, jangan terus lemah semangat! Mari lah kita sandarkan harapan pada filem-filem yang akan mewarnai suku ketiga tahun ini. Antaranya, Dukun Doktor Dani, Temuan Takdir, Kampung Drift dan Kanang Anak Langkau. 

Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus akan memulakan tayangan pada 28 Julai ini (Khamis) di seluruh Malaysia. Tayangan perdana berlangsung semalam dan menampilkan pelakon-pelakon seperti Fasha Sandha, Taufik Batisah, Rasya Risroze, Amirul Affendi, Khatijah Tan, Sani Sudin dan ramai lagi. Filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan Sabri Yunus sebagai pelakon dan pelawak kesayangan ramai, arwah Yus Edoo yang telah pun kembali ke rahmatullah pada tahun lalu (al-Fatihah).

Akhir kata, semoga filem kita terus bernafas dengan udara yang segar dan RM yang berkepuk-kepuk selepas ini, ya!

Sumber : laman sesawang Finas.

Monday, July 18, 2016

TERMENUNG DI SUKU KETIGA 2016

Memasuki suku ketiga tahun ini, saya termenung seketika. Apa tidaknya, gara-gara melihat jumlah pendapatan setakat ini - baki akaun yang berakhir pada 30 Jun. Jumlah ini hanya lah hasil yang digembelingkan daripada aktiviti-aktiviti berkaitan industri kreatif tempatan (termasuk yuran mengajar).

Sekadar makluman kepada mereka yang belum tahu, ahli perniagaan dan syarikat korporat membahagikan setahun kepada empat bahagian dengan tiga bulan setiap bahagian. Tujuannya untuk mengira pendapatan, memberikan dividen (keuntungan daripada pelaburan),  membuat unjuran pendapatan untuk bulan-bulan seterusnya dan menetapkan sasaran yang realistik untuk dicapai. Berbeza dengan saya sebelum ini, lumrah seorang penulis, hanya mengira pendapatan setahun sekali untuk tujuan pembayaran zakat. Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran dari segi kewangan. Apa yang terlintas di hati selama ini hanya lah  untuk mencari 'job', menerima apa sahaja yang datang dan menulis walaupun kadang-kadang dalam keadaan terpaksa. Justeru, sering saya sebut dalam kelas-kelas penulisan skrip  tentang 'menulis kerana hendak membayar bil', sehingga ayat ini menjadi akrab dengan telinga peserta-peserta kelas saya.

Bagaimanapun, saya mula berubah setelah menghadiri seminar hartanah Azizi Ali pada Januari, seminar bisnes merangkap spritual Dr Azizan Osman pada Mei lepas dan berbual panjang dengan jiran saya yang merupakan seorang perunding saham amanah. Banyak yang dipelajari daripada mereka. Berbaloi dengan wang yang dibelanjakan untuk dua seminar oleh nama besar itu.

Saya kini mula berfikir seperti ahli perniagaan dan mengambil serius akan kewangan. Namun, pada masa yang sama, terus memikirkan bagaimana hendak memberikan 'impak' dalam penulisan. Saya kemudiannya mengikuti instagram pakar-pakar motivasi terkenal antarabangsa. Akhirnya menjumpai satu kata-kata perangsang oleh Mel Robins iaitu "To make an income while making an impact". Wahhh, jelas bukan!

Mel Robbins terlibat dalam bidang motivasi sejak 15 tahun yang lalu. Ceramahnya yang terkenal bertajuk "How to Stop Screwing Yourself Over" boleh dilihat di platform Ted Talk (video Youtube) yang sehingga kini mendapat lebih 6 juta tontonan.