Monday, January 14, 2008
EZANY BERENDAM AIR MATA KERANA BOGATT
"..... ia dekat dalam diri saya kerana sama dengan watak Irfan yang saya lakonkan dalam drama bersiri Natasha 1 dan 2 dulu.
"Tetapi karektor Bogatt lebih berat berbanding watak Irfan yang tak bermain dengan emosi," ujar pelakon yang turut berlakon drama Aku Untukmu, filem Gerak Khas The Movie 3 dan Cinta Yang Satu.
"Kandungan skrip yang mempunyai soul banyak membantu saya menghayati watak disamping chemistry yang wujud antara saya dengan Rita.
Berikut adalah petikan daripada wawancara ekslusif Ezany Nizarif dengan akhbar online Mstar. Baca selanjutnya di ruangan Gong - M*Aduh, artikel bertarikh 8 Januari 2008 http://www.mstar.com.my
Saturday, January 5, 2008
PROGRAM ADAPTASI NOVEL KE LAYAR PERAK
Artikel ini dipetik daripada Utusan Malaysia.
KHABARNYA tahun hadapan industri filem kita akan didominasi filem-filem yang bertemakan horror atau cerita seram. Tidak dinafikan kembalinya genre seram ke dalam industri filem tempatan adalah disebabkan limpahan populariti beberapa buah filem seram Asia seperti dari Thailand, Korea Selatan dan Jepun yang menampilkan identiti dan kelainan daripada filem-filem genre seram Barat yang telah begitu mempengaruhi penerbit filem tempatan.
Bagaimanapun, di sebalik keghairahan pembikin filem kita dengan filem-filem dalam genre seram ini, saya tidak pula nampak mereka mempunyai keghairahan terhadap novel-novel atau cerita pendek (cerpen) tempatan untuk diadaptasi ke filem. Jika industri filem kita mengikut arus filem-filem dunia tentulah industri filem kita juga akan menjadikan novel atau cerpen kita sebagai dasar cerita filem mereka.
Dalam industri filem dan TV Amerika, kira-kira 45 peratus cerita televisyen adalah adaptasi daripada novel. Sebanyak 85 peratus filem yang menang Oscar adalah daripada karya adaptasi. Pada Anugerah Academy 2006, filem Brokeback Mountain arahan Ang Lee menang besar. Filem itu diadaptasi daripada cerita pendek karya Anne Proulx yang pernah tersiar dalam majalah New Yorker pada 13 Oktober 1997. Cerpen yang diadaptasi oleh Larry McMurtry dan Diana Assana itu telah memenangi hadiah lakon layar terbaik.
Pada dasarnya Brokeback Mountain bukanlah sebuah kisah yang mudah untuk diadaptasi.
Pertama, kisah hubungan dua lelaki koboi yang kehidupan mereka terpisah jauh di sebuah landskap pergunungan yang luas di Wyoming secara moralnya akan dipersoalkan. Kedua, cerpen Anne Proulx ini mengisahkan jangka masa 20 tahun dan ditulis secara padat dan ketat yang memerlukan kelonggaran dan ruang udara untuk dipindahkan ke medium yang lain. Sebagai pengadaptasi yang cuba mengikut jalur cerita Brokeback Mountain yang lirikal dan sederhana, Larry dan Diana perlu memperkembangkan dan memperjelaskan huraian plot, menambah kandungan dan tekstur di mana perlu. Akhirnya filem Brokeback Mountain berdiri sendiri sebagai satu karya di samping karyanya yang asal.
Untunglah Larry dan Diana mendapat kepercayaan dan sokongan daripada penulis cerita itu sendiri, Anne Proulx. Persefahaman dan kepercayaan tersebut memudahkan tugas mereka. Hal yang sama juga berlaku apabila novel The English Patient karya Michael Ondaatje diadaptasi ke filem oleh Anthony Minghella. Ondaatje memahami perbezaan medium akan membawa perbezaan dan perubahan dalam adaptasi.
Dia menyedari bahawa usaha adaptasi bukanlah bererti menghasilkan ‘gema’ yang setia dengan bunyi yang asal. Ondaatje juga tahu bahawa plot, liuk dan bentuk cerita yang terdapat pada novel tersebut tidak akan selamat daripada ‘dicemarkan’ kerana akan terdapat terjemahan bentuk dan penekanan yang berbeza. Hasil daripada pemahaman dan kerjasama ini, The English Patient bukan sahaja memperlihatkan sebuah karya adaptasi yang mampu berdiri sendiri, menarik dan hebat tetapi juga mendapat anugerah Filem Terbaik.
Rasanya sejarah filem sudah jelas memperlihatkan bagaimana novel-novel klasik, mahakarya dan popular berjaya dipindahkan ke filem dan mendapat sambutan yang cukup hebat. Kita telah melihat daripada Gone With the Wind hinggalah The Lords of the Ring, daripada novel yang dianggap membosankan hingga ke novel yang popular, filem yang diadaptasi daripadanya boleh sahaja dinikmati dan mendapat sambutan yang hebat daripada penonton.
Naratif
Sejak novel pertama Hikayat Faridah Hanum (1925) hingga kini jumlah novel kita cukup besar dengan naratif yang bukan sahaja menarik tetapi memancarkan budaya dan nilai kehidupan masyarakat kita yang tentu sahaja bersifat universal dan sesuai untuk masyarakat antarabangsa. Bukan sahaja novel-novel tetapi juga sejumlah besar cerita pendek kita dibiarkan kaku terletak di atas rak buku. Karya-karya ini perlu dijelmakan dan harus hidup serta berkembang dalam bentuk yang lain. Filem dan drama televisyen (teledrama) kita seharusnya menggerakkan potensi ini.
Menyedari hakikat ini RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) mengambil inisiatif dan usaha mengadaptasi novel dan cerpen ke drama televisyen. Untuk tahun 2006, sebanyak enam teledrama yang diadaptasi daripada novel dan cerpen telah diterbitkan, iaitu Mufarakah (Rahman Shaari), Hujan Sudah Teduh (Zaharah Nawawi), Senjakala (Baharuddin Kahar), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Jaringan (Rosmini Saari) dan cerpen Cahaya Pada Jiwa (Faisal Tehrani).
Teledrama Mufarakah, Cahaya Pada Jiwa dan Hujan Sudah Teduh sudahpun disiarkan oleh RTM1 pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula pada bulan Julai lalu.
Yang akan ditayangkan dalam waktu terdekat ini adalah Senjakala yang diadaptasi oleh Zakaria Ariffin dan diarahkan oleh Kamaruddin Ambak dengan pelakon utamanya Wan Hanafi Su sebagai pemburu Kinto dan Eira Syazira.
Enam buah teledrama ini adalah permulaan kembali pada tradisi era keemasan filem Melayu dahulu yang banyak mengambil kisah-kisah klasik daripada cerita rakyat dan hikayat untuk diadaptasi ke filem. Nilai ceritanya dan sambutan yang hebat telah membantu menaikkan industri filem Melayu ketika itu. Tetapi hari ini industri filem dan televisyen kita berhadapan dengan naratif yang membosankan dan cerita yang lemah.
Mengapa tidak kita menoleh kembali kepada sejumlah novel moden kita atau melihat kembali karya-karya klasik seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda atau sejumlah cerita dalam Sejarah Melayu. Dengan adanya teknologi efek khas digital, segala magik dan elemen spektakular dalam mitos tersebut akan dapat dijelmakan di atas layar.
Bukankah itu yang dilakukan oleh Peter Jackson dalam The Lords of the Ring dan George Lucas dalam Star Wars?
Oleh itu usaha RTM dan DBP yang membawa teledrama adaptasi daripada novel-novel tempatan seharusnya disambut baik oleh industri filem kita. FINAS dan DBP seharusnya sudah lama bekerjasama mengangkat novel-novel kita yang terbaik ke filem. Jangan biarkan karya sastera kita terbiar dan hayatnya berakhir di atas rak buku.
Apatah lagi dalam sambutan 50 tahun kemerdekaan negara kita tahun hadapan kita perlukan filem yang bukan sahaja mempunyai nilai patriotik tetapi nilai daripada tradisi kesusasteraan kita yang memancarkan pemikiran dan nilai budaya masyarakat kita. Memang kerjanya sukar, kosnya besar tetapi itulah cara terbaik untuk mengangkat martabat filem kita selaras dengan perkembangan negara ini.
DARI NOVEL KE SKRIN TV
Bukan mudah rupanya hendak mengangkat sebuah novel ke kaca TV. Medium yang berbeza tidak memungkinkan saya memindahkan setiap satu yang tertera di halaman novel terus ke skrip. Novel bergantung kepada kekuatan bahasa. Sekiranya pengarang bijak menerangkan sesuatu dengan perkataan yang tepat dan indah, novel itu pasti berjaya. Sedangkan TV bergantung kepada kekuatan gambar dan bunyi.
Dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat terlalu banyak penerangan tentang perasaan watak-wataknya. Sayang sekali, watak-wataknya kurang beraksi dan agak kurang menuturkan dialog. Kebijaksanaan pengarangnya bermain dengan bahasa yang indah dan tepat, menyebabkan novel ini mendapat sambutan luar biasa. Pengarang berjaya meruntun emosi pembaca dengan bait-bait kata yang dititipkannya di halaman kertas. Namun, di layar putih, kekuatan ini tidak lagi terpakai. Apa yang penting untuk sesebuah layar adalah visual….visual…visual… Penonton melihat watak-wataknya beraksi dan berbicara. Penonton juga mendengar bunyi, lagu dan muzik latar. Mereka turut melihat pemandangan dan sudut-sudut menarik dalam sesuatu babak. 'Prop' atau objek-objek turut memainkan peranan. Tangisan Bulan Madu versi televisyen kerap menyampai maksud melalui objek. Sekiranya dalam novel, hanya terdapat satu ayat yang menceritakan tentang bunga kemboja. Namun, di skrin TV, bunga kemboja itu dibesarkan sehingga akhirnya (tanpa dirancang) menjadi salah satu daripada 'isu' untuk dimainkan.Justeru, cabaran utama dalam karya ini adalah untuk memvisualkan perasaan watak-wataknya. Masalah ini turut berlaku kepada novel-novel lain yang diadaptasikan ke layar kecil atau layar besar. Novel yang banyak menceritakan tentang pemikiran dan perasaan watak (tetapi kurang aksi dan kurang dialog), sekiranya dipindahkan ke medium elektronik tanpa mengubahnya walaupun sedikit, pasti menghasilkan monolog-monolog yang membosankan. Pegawai RTM awal-awal lagi mengingatkan saya supaya jangan mengulangi kesilapan pengadaptasi-pengadaptasi sebelum ini. (Tanpa menyebut apakah judul karya berkenaan)
Di dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat banyak sekali keadaan di mana watak utama, Amira, termenung di tepi pantai, di dalam rumah dan di pusara. Secara mudah, saya boleh sahaja membiarkan Amira termenung dan kemudian memperdengarkan suara hatinya (PELAKON MELAKUKAN VOICE OVER) yang menyebut, “itu” dan "ini". Namun, dengan berbuat begitu untuk 30 episod, pasti mendorong penonton mencapai alat kawalan jauh dan menukar saluran. (Di Amerika Syarikat, mereka menggelar tindakan ini sebagai SHIT CLICK! Maaf agak kasar tetapi itu lah cara mereka bercakap)Novel Tangisan Bulan Madu adalah novel yang kaya dengan perasaan dan emosi. Justeru, bagaimanakah perasaan-perasaan dan emosi-emosi itu digambarkan secara visual? Saya enggan menceritakannya di ruangan ini. Saksikan sendiri drama 30 episod ini dari awal hingga akhir.
Wednesday, January 2, 2008
TENTANG PENGARANG
Sejak muncul dengan novel Sindora pada 1990, Samsiah tidak pernah lagi menoleh ke belakang. Bebunga Lalang, Kemboja Berguguran dan Tangisan Bulan Madu menyusul pada tahun berikutnya. Ledakan Tangisan Bulan Madu kemudiannya membuka lebih banyak ruang untuknya terus melangkah ke hadapan.
Perjuangan wanita kelahiran negeri Pahang ini berterusan dengan belasan novel yang kebanyakannya mendapat sambutan pembaca. Antaranya seperti Anom Suraya, Selimut Malam, Anggerik Kota, Sangkar, Maya Pusara, Sebening Langit Senja, Cinta Jati Klasik dan Sejernih Lazuardi. Karya terbaru, Bulan Berbisik terbitan Alaf 21 Sdn Bhd pada akhir tahun lalu, kini berada di tempat kedua dalam senarai novel terlaris.
Biarpun lebih dikenali dalam genre sastera pop, Samsiah turut mendapat tempat dalam genre sastera serius. Beliau berjaya memenangi anugerah sastera tempatan yang berprestij iaitu Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui cerpen bertajuk ‘Kembali Ke Perut’ dan ‘Jangan Menangis Perempuan’. Selain itu pernah mendapat Anugerah Karyawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang pada 2004. Pada tahun 2003, Samsiah diberi penghargaan untuk menyumbangkan puisi khas untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam antologi “Peterana Kasih” anjuran Lembaga Muzium Negeri Pahang. Sehingga hari ini, puisi dan cerpennya tersiar dalam majalah Dewan Sastera, satu-satunya majalah yang menjadi rujukan utama dunia sastera tempatan. Beliau turut membentangkan kertas kerja di seminar, bengkel termasuk menjadi juri pertandingan penulisan.
Samsiah kini melangkah setapak lagi dengan menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dalam bidang sastera. Sesuai dengan pengalamannya dalam genre novel pop, kajiannya tertumpu kepada aspek dakwah dalam novel popular tempatan. Kajian doktor persuratan itu ditaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Subscribe to:
Posts (Atom)