Showing posts with label ALAM SEKITAR. Show all posts
Showing posts with label ALAM SEKITAR. Show all posts

Thursday, June 4, 2009

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA...TERKENANG "LELAKI MISTERI"

Esok, Jumaat 5 Jun, adalah Hari Alam Sekitar Sedunia. Kicauan burung di tepi tingkap rumah saya mengingatkan bahawa alam sekitar di sini masih baik sekalipun Duta-Ulu Klang Expressway(DUKE) merentangi depan pangsapuri sejak awal tahun ini. Tetapi sejak kerja pembinaannya bermula tiga tahun lalu, kicauan burung kedengaran kurang separuh daripada sebelumnya. Menurut Malaysian Nature Society (MNS), burung adalah petanda baik buruknya alam sekitar di sesuatu kawasan. Ada burung, bermakna biodiversiti masih terkawal.
Lantas terkenang burung Botak Kecil atau nama Inggerisnya, Lesser Adjutant Stork. Nama saintifiknya, Leptoptilos Javanicus. Tetapi seorang renjer tua memanggilnya "Pak Khalid". Saya dan krew dokumentari pula menggelarnya "lelaki misteri" lantaran ia tinggal di koloni yang kecil, tidak ramai kawan dan sukar hendak merakam gambarnya. Tunggu sehari suntuk pun, belum tentu dapat. Dia bijak melarikan diri dari kamera.
Burung ini berasal dari keluarga Ciconiidae (saintifik) yang disebut sebagai bangau di rantau ini. Akan tetapi ia kurang popular berbanding 'sepupunya' dari keturunan bangau, Milky Stork atau Botak Upeh yang cantik dan putih melepak. Botak Kecil hitam legam, hodoh, sendirian dan pemalu.Tetapi gayanya mengepak semasa terbang dan mendarat cukup menawan hati. Kita perlu mengenalinya dahulu untuk mencintainya. Sedangkan Botak Upeh boleh membuatkan orang jatuh cinta pandang pertama kepadanya. Apa pun, kedua-kedua spesis keturunan bangau ini termasuk dalam kateori haiwan terancam dan sedang dilindungi.
Keterangan gambar : Kelihatan sayup-sayup Pak Khalid a.k.a. lelaki misteri di dahan pokok tertinggi, bersendirian, mungkin merenung nasibnya di masa hadapan...

Wednesday, April 22, 2009

"EARTH DAY" LAH PULAK!

Selepas "Earth Hour" pada Mac lalu, tiba pula 'Earth Day" atau "Hari Bumi". Tarikhnya pada hari ini..22 April. Ia disambut setiap tahun bagi mengenang bumi yang sudah tua dan uzur. Saintis barat menganggar bumi berusia 4.5 bilion tahun. Manakala al-Quran tidak menyatakan bilakah bumi tercipta. Pun begitu, terdapat persamaan antara penemuan saintis barat dengan fakta di dalam al-Quran tentang asal kejadian bumi. Saintis barat dan al-Quran juga mempunyai pendapat yang sama bahawa :
kerosakan bumi adalah akibat perbuatan manusia sendiri.
Saya ada menyelitkan tentang kerosakan bumi dalam karya seperti :
Telemovie slot Cerekarama TV3 "2 JIWA 1 HATI" berlatarkan Tasik Kenyir, arahan Ahmad Idham (Julai 2004). Dan dalam Tangisan Bulan Madu.
Juga dalam novel :
CAHAYA DI HUJUNG NYAWA terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (Julai, 2008).
Terbaru, menulis kertas cadangan AMUKAN NAGA CHINI (ANC) untuk slot Lagenda TV3. Isu yang dicadangkan agak berat, mungkin sukar diluluskan. Saya juga mencadangkan AKU BUKAN PONTIANAK (ABP). Penerbit memberitahu TV3 lebih berminat pada ABP berbanding ANC. Ini memang sudah diduga. ANC membawa isu pencemaran alam sekitar yang mungkin tidak diminati oleh penonton TV3 - kecuali jika ia dilaporkan oleh Karam Singh Walia melalui Buletin Utama. ABP pula mengkritik sikap Melayu yang terlalu takutkan hantu. Kedua-duanya diadaptasi daripada kisah lagenda Melayu tetapi berlatarkan era sekarang dan diberi tafsiran baru - sebagaimana yang dikehendaki oleh TV3. Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa ada beberapa penulis lain turut mencadangkan lagenda pontianak untuk slot berkenaan. Mereka mungkin sedang menilai cadangan mana yang terbaik untuk siarannya kelak. Jadi, saya tidak begitu meletakkan harapan terhadap ANC atau ABP.
Sebelum ini, slot Lagenda telah menayangkan drama seperti :
Akukah Tanggang, Lara Rindu Mahsuri, Batu Belah, Puteri Salju, Anak Betung, Laila Majnun, Jula Juli, Putih Merah.
Semua siri berjumlah 20 episod dengan durasi sejam setiap episod. Masanya pada 4.30-5.30 petang, setiap Isnin hingga Khamis. Siaran ulangannya di TV9 pada jam 8.30-9.30 malam hari yang sama.

Thursday, March 26, 2009

EARTH HOUR..TO VOTE OR NOT TO VOTE?

Pada awalnya, saya tidak dapat membuat keputusan samada mahu mengundi atau tidak. Bagi saya, ini tidak lebih daripada propaganda barat semata-mata. Barat yang memusnahkan bumi melalui penggunaan teknologi secara berlebihan. Tetapi kini, mereka memaksa seluruh penduduk dunia untuk mengundi bagi satu resolusi menyelamatkan bumi.
Saya juga kesal kerana tidak ada mana-mana organisasi antarabangsa tajaan barat yang menganjurkan sebarang undian untuk menamatkan perang nuklear. Bibit-bibit perang nuklear yang sudah tercetus ini, juga membawa mudarat kepada bumi.
Selain itu, ada pendapat mengatakan bahawa penganjurnya, World Wildlife Fund (WWF) merupakan proksi kepada kumpulan Iluminati.
Kumpulan ini terdiri daripada beberapa kerat elit yang menguasai dunia melalui aktiviti perbankan dan peperangan.
Jika tidak, masakan WWF sebagai sebuah NGO, mampu memujuk berbilion penduduk dunia menyertai program mereka. Agar penduduk dunia berasa bersalah di atas penggunaan teknologi, sedangkan yang paling berlebih-lebihan dalam penggunaannya, adalah elit berkenaan. (Adakah ini fakta? Atau fiksyen?)
Apa pun, saya kembali rasional bila melihat reaksi Islam terhadap perubahan cuaca.
Menurut al-Quran dan hadis, apa jua kerosakan di atas muka bumi, berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Daud, nabi Muhammad pernah bercakap tentang manusia akhir zaman yang tidak lagi menunggang kuda.
Ulama Imran N Hosein dalam bukunya, One Jama'at One Ameer-The Organization of a Muslim Community in the Age of Fitan, mentafsirkan bahawa nabi Muhammad tidak menentang teknologi kenderaan mekanikal. Sebaliknya mahukan gabungan kenderaan semulajadi (kuda) dengan kenderaan mekanikal.
Itu kata nabi 1,400 tahun lalu. Sekarang, kita dapati kenderaan mekanikal melepaskan terlalu banyak karbon diaoksida yang memudaratkan bumi. Jadi, selepas ini, mungkin WWF menganjurkan HARI TANPA KERETA pula. Islam juga melarang pembaziran dalam setiap perkara, sekalipun dalam soal ibadat. Contohnya,
Nabi menggalakkan umatnya berwuduk dengan sebekas air sahaja (setengah gelen) biarpun ada sungai yang mengalir deras.
Sekarang, selepas 1,400 tahun baginda bersabda, bumi mengalami krisis air akibat aktiviti pembukaan tanah dan pencemaran alam sekitar yang berleluasa tanpa kawalan.
Pandangan Islam dengan sendirinya menyanggah para penentang “Earth Hour” yang berpendapat perubahan cuaca berlaku dengan sendirinya kerana bumi sudah tua (berusia 4.5 bilion tahun). Pada mereka, "Earth-Hour” satu ikhtiar yang bodoh, membazir masa dan sia-sia.
Pendapat penganjur “Earth Hour” ada asasnya. Cuma, ramai yang menjadikannya sebagai saluran mendapat publisiti semata-mata.
Singapura misalnya, beriya-iya menyokong "Earth Hour" pada tahun lalu. Tetapi selepas itu, mereka membazir elektrik dengan menganjurkan F1 pada waktu malam!
Jadi, undi lah untuk bumi atas niat kerana Allah. Kerana al-Quran membicarakan soal kerosakan alam akibat perbuatan manusia, peri pentingnya manusia menjaga bumi dan jangan membazir sumber. Lalu,
jangan undi kerana mahu iku telunjuk barat, WWF, kumpulan Iluminati atau publisiti.
Hari seterusnya, jangan pula kita membiarkan lampu, komputer, kipas angin atau TV yang tidak digunakan, terpasang sepanjang masa. Kalau tidak, undi kita untuk bumi akan sia-sia.