Showing posts with label BANK SKRIP. Show all posts
Showing posts with label BANK SKRIP. Show all posts

Tuesday, June 3, 2014

BANK SKRIP KINI DI PERINGKAT KE-3

Projek  Bank Skrip Kementerian Komunikasi & Multi Media telah tiba di peringkat ke-tiga iaitu Scene Outline.   Sebanyak 41 tajuk telah terpilih, merangkumi empat kategori - filem, telemovie, drama bersiri dan animasi.

Penulis yang berjaya sudah menyiapkan Scene Outline masing-masing. Para penyunting yang  bertindak sebagai 'mentor' atau 'editor'  juga sedang menilai penulisan di peringkat ini.

Bank Skrip membuka penyertaan kepada orang ramai  pada penghujung 2012. Bermula dengan menawarkan peluang menulis secara berperingkat  - konsep/sinopsis, treatment/story line, scene outline, diikuti oleh skrip penuh draf pertama, kedua, ketiga sehingga lah ke draf terakhir.

Para penilai dan penyunting disediakan untuk setiap peringkat sehingga terhasilnya naskah skrip penuh draf terakhir yang berkualiti kelak.

Projek ini dikendalikan oleh satu jawatankuasa iaitu Film & Television Creative Content Council (FTVCCC). Dana diperolehi melalui Program Tranformasi Ekonomi dan  dipantau oleh Perfomance Management & Delivery Unit (Pemandu) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri

Wednesday, November 21, 2012

PERMOHONAN BANK SKRIP MASIH TERBUKA

Projek Bank Skrip tajaan kerajaan masih terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat menghantar cadangan karya masing-masing untuk dinilai.  Selain idea/konsep asal daripada pemohon, boleh juga menghantar karya adaptasi daripada medium lain seperti  novel atau cerpen, dengan syarat dilampirkan bersama surat kebenaran daripada pemilik karya asal a.k.a. pemegang hakcipta.  Skrip yang pernah memenangi pertandingan sebelum ini, tetapi belum pernah diterbit ke filem atau drama TV, juga layak memohon.  Selain orang perseorangan atau berkumpulan, penyertaan turut dibuka kepada syarikat produksi tempatan.

Cadangan yang akan diterima adalah dalam kategori filem cereka [atau filem animasi]; drama bersiri [atau drama bersiri animasi];  atau telemovie.

Bank Skrip akan memilih 10 tajuk untuk filem; 22 tajuk untuk telemovie; 8 tajuk untuk drama bersiri 30 minit x 13 episod; dan 10 tajuk untuk siri mini 4 episod x 60 minit.

Jawatankuasa projek ini dinamakan Majlis Kandungan Kreatif Filem dan Skrip Televisyen [Film &  TV Script Creative Content Council] atau ringkasnya, FTSCCC. Ia digerakkan melalui Dasar Industri Kreatif Negara [DIKN], di bawah Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi [KPKK]. Antara agensi yang terlibat sebagai jawatankuasanya ialah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia [Finas],  Radio Televisyen Malaysia [RTM] dan Multimedia Development Corporation Sdn Bhd [MDeC].

Selain agensi kerajaan yang berkaitan, persatuan-persatuan dan beberapa penggiat  dalam industri filem dan drama televisyen seperti penulis skrip, pengarah, ahli akademik dan penerbit, turut dilantik sebagai ahli majlis ini.


Untuk maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan dan alamat penghantaran, sila klik ke link berikut :

http://www.industrikreatif.gov.my/komuniti

atau boleh muat turun borang melalui link di bawah :

http://www.industrikreatif.gov.my/permohonan-bank-skrip



[Lihat entri sebelum ini tentang BANK SKRIP]


Tuesday, October 23, 2012

Sudah Muncul.... Projek Bank Skrip

Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi telah mengambil inisiatif untuk memajukan isi kandungan bagi  industri kreatif tempatan melalui projek yang dikenali sebagai Bank Skrip. Projek ini dikendalikan oleh Majlis Kandungan Kreatif Filem dan Televisyen atau lebih dikenali sebagai FSCCC  atau F3C iaitu singkatan dari Film, Script & Creative Content Council.

Ahli majlis ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan  isi kandungan tempatan. Penerbit dan pengarah filem terkenal, Yang Berbahagia Datin Paduka Shuhaimi Baba merupakan tenaga penting dalam projek ini.

Bank Skrip akan memilih 50 tajuk bagi melalui proses "pembangunan"  [development] sehingga terhasilnya skrip-skrip yang berkualiti untuk pasaran tempatan - samada di televisyen atau pawagam.  Tajuk-tajuk ini merangkumi untuk filem, drama bersiri televisyen, telemovie dan animasi. Bagi pasaran televisyen, ia mengutamakan saluran milik kerajaan, TV1 & TV2.

Bank Skrip turut melantik sekumpulan editor atau mentor untuk membantu memperbaiki skrip-skrip yang terpilih itu, bermula dari peringkat idea asal sehingga lah kepada terhasilnya skrip penuh.  Para editor atau mentor ini terdiri daripada penulis-penulis  berpengalaman dan mempunyai "rekod" dalam menghasilkan skrip-skrip yang bermutu di kaca televisyen dan di layar perak.

Bayaran untuk penulis [sekiranya cadangan kalian terpilih] akan dijelaskan oleh pihak kementerian, menggunakan dana yang diperuntukan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara. Dalam hal ini, penulis tidak lagi berurusan dengan penerbit filem atau televisyen, sebaliknya berurusan dengan sekretariat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Bank Skrip ini.

Permohonan masih terbuka untuk para penulis dan bakal penulis di luar sana yang berminat menyertai Bank Skrip. Sila hantar satu mukasurat cadangan cerita [proposal] kepada sekretariat sebelum 30 OKTOBER 2012.  Satu mukasurat itu perlu merangkumi logline, sinopsis cerita dan keterangan untuk dua atau tiga watak utama. Cadangan [Proposal] juga boleh terdiri daripada idea asal penulis sendiri atau adaptasi daripada mana-mana karya dari medium lain.

Untuk maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan dan alamat penghantaran, sila klik ke link berikut :

http://www.industrikreatif.gov.my/komuniti

atau boleh muat turun borang melalui link di bawah :

http://www.industrikreatif.gov.my/permohonan-bank-skrip

Selamat memohon dan semoga berjaya!