Showing posts with label PROSES ADAPTASI TBM. Show all posts
Showing posts with label PROSES ADAPTASI TBM. Show all posts

Thursday, March 19, 2009

“NOVEL : ADAPTASI KE FILEM DAN DRAMA...MANA LEBIH HEBAT?” PART 2

Sabtu lalu, program bicara anjuran pelajar UITM itu berlangsung dengan jaya. Sekalipun Syed Munawar sebagai moderator, tidak hadir. Yang hadir adalah ‘bidan terjun’nya. Beberapa hari sebelum itu, saya dan Samsiah agak risau kerana Syed Munawar, orangnya berilmu pengetahuan tinggi, berpengalaman luas dan kritikal. Kami risaukan soalan-soalannya. Biarpun program ini anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, tetapi yang paling mendapat manafaat adalah pelajar perfileman. Ada satu mataplejaran khusus mengenai adaptasi novel ke filem. Bagi keperluan matapelajaran itu, pensyarah meminta mereka mengkaji dua karya adaptasi :
Ayat-Ayat Cinta dan Bukit Kepong.
Jadi banyak lah soalan tentang kedua-dua tajuk itu. Memandangkan saya tidak membaca novel Bukit Kepong (hanya menonton filemnya banyak kali), bicara saya hanya berkisar kepada Ayat-Ayat Cinta. Bagaimanapun, sebahagian besarnya tentang pengalaman Tangisan Bulan Madu. Sekalipun, ia adaptasi ke drama televisyen, tetapi prosesnya masih sama dengan filem. Alhamdulillah, pelajar perfileman berkata, ilmu mereka bertambah selepas mendengar bicara ini.

Friday, March 13, 2009

NOVEL : ADAPTASI KE DRAMA & FILEM...MANA LEBIH HEBAT?

Ini lah tajuk diskusi di UITM, Shah Alam, esok, Sabtu, 14 March 2009. Diskusi anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media ini bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengahari.
Ahli panel terdiri daripada saya sendiri sebagai penulis skrip Tangisan Bulan Madu, Jamal Khan, pengarahnya dan Samsiah Mohd Nor, novelisnya.
Turut diundang sebagai ahli panel, Pengurus Besar Alaf 21 Sdn Bhd, Encik Norden Mohamad. Sesi ini akan dipengerusikan oleh pengacara tidak asing lagi di RTM, Syed Munawwar.
Menurut penganjurnya, diskusi ini akan menumpukan kepada pengalaman Tangisan Bulan Madu khususnya. Sementara kerja-kerja adaptasi yang lain - samada tempatan atau luar negara - akan disentuh secara sepintas lalu.
Ia terbuka kepada semua orang yang berminat tentang topik ini. Jadi, sesiapa yang berkelapangan, sudi-sudikan lah hadir, ya.
P.S. - Maaf, kerana jemputan ini agak lewat...

Monday, June 30, 2008

PERPINDAHAN MEDIUM II

Perhatikan "opening scene" dalam skrip final draft di bawah. Pembukaan ini tidak menyamai novel dan skrin TV. Ini bermakna pembukaan dalam novel adalah berlainan dengan pembukaan dalam skrip manakala pembukaan di kaca TV juga berlainan daripada skrip. Ini bermakna novel, skrip dan kaca TV masing-masing mempunyai babak pembukaan yang berlainan.
A. Pembukaan dalam novel :
Hujan malam tadi bersambung hingga ke pagi. Tapi turunnya tidak selebat semalam. Rintik-rintik menitik perlahan menyirami bumi ciptaan Tuhan. Airnya jatuh mengenai pohon-pohon kayu, dedaun, bunga-bungaan, atap-atap zink dan semua objek yang terdedah. Amira menongkat dagu di tepi jendela. Pandangannya terarah ke jalan raya di hadapan rumah. Sekali-sekala dia memandang pula ke langit kelam yang mungkin tidak menjanjikan cuaca terang. Panjang saja lehernya terjengul ke depan, apabila sesekali terdengar bunyi motosikal. Posmenkah? Soalnya sendiri. Datang lah posmen, datang lah, pintanya berkali-kai dan berhari-hari. Dia tidak pernah jemu menunggu. Mudah-mudahan posmen datang membawakan khabar gembira. Surat tawaran kerja atau sekurang-kurangnya surat panggilan temuduga. Begitu lah tabiatnya sejak empat bulan kebelakangan ini, sejak dia pulang ke kampung selepas tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.Sudah banyak borang permohonan kerja yang dihantar. Wangnya juga telah banyak terhambur membeli setem, sampul surat dan tambang pergi balik naik bas. Penat pula usahlah dikira. Ke pejabat buruh telah dia jejak, ke Jabatan Pendidikan Negeri telah dia pergi mendaftar kalau-kalau mereka berkehendakkan guru sementara. Pendek kata memang dia berusaha untuk mendapatkan kerja.
B. Pembukaan di dalam skrip :
TANGISAN BULAN MADU : EPISOD 1
1. EXT./KAWASAN PERKUBURAN/SIANG CASTING : EXTRA
Estabslished kawasan perkuburan. Hujan renyai-renyai. Kereta mewah berderet. Orang berpayung menuju ke pusara. Sekujur mayat ada dalam liang lahad. Dari dalam liang lahad, tunjukkan orang di atas campak tanah ke arah kamera.
VO Bogatt Jangan! Jangan!!!
CUT TO :
2.INT/BILIK BOGATT/AWAL PAGI CASTING : BOGATT
Bogatt terjaga, muka berpeluh. Babak tadi adalah mimpi. Pandang jam. Pukul 5.45 pagi. CUT TO :
3. INT./RUMAH AMIRA-BILIK/PAGI CASTING : AMIRA & MAK BEDAH
VO azan subuh. Camera close on rumah Amira, sederhana besar, tepi pantai.
INTERCUT
3A. Dalam bilik, Amira buka telekung.
VO MAK BEDAH Mira! Kejutkan adik-adik kamu bangun!!Dah pukul berapa ni...
Amira cepat-cepat lipat telekung.
CUT TO :
4. INT./RUMAH AMIRA-DAPUR/PAGI CASTING : AMIRA, MAK BEDAH, SANI (10 tahun), UMAIRAH (14 tahun).
Di dapur, Mak Bedah packing kuih-muih dalam bekas. Amira BERBAJU KURUNG. Sani BERBAJU SEKOLAH RENDAH dan Umairah BERBAJU SEKOLAH MENENGAH.
MAK BEDAH (SINIS) Sekolah tinggi-tinggi , sudahnya jadi jurujual.
AMIRA Alhamdullilah mak. Lebih baik daripada tak kerja langsung.
MAK BEDAH Itu kata kamu, kamu tak dengar orang-orang kampung mengata tentang kamu jadi jurujual. Malu, mak!
AMIRA Biar saja mak. Mira bersyukur dengan apa yang Allah beri. Lagipun mak...kerja ni sementara saja. Dapat kerja yang lebih baik, Mira berhentilah.
MAK BEDAH Anak Makcik Leha, keluar universiti, terus dapat kerja gaji ribu-ribu.
AMIRA Itu rezeki dia. Kebetulan jurusan yang dia ambik tu laku.
M
AK BEDAH (SINDIR/KERAS) Hem, ekonomi meleset, jurusan ekonomi kamu pun meleset sama!
AMIRA (CIUM TANGAN)Pergi dulu ya mak.
MAK BEDAH Nah, ini bagi pada bos kamu Mira.
CUT TO :
5. EXT./MONTAGE/PAGI CASTING : AMIRA
OPENING CREDIT TITLE & MONTAGE
5A. Bot penumpang hampiri jeti. Amira keluar dari bot, naik ke jeti. Muka RESAH, tengok jam.
5
B. Amira di RESTOREN, hantar KUIH.
5c. Amira berlari anak ke BUTIK MARINA.
CUT TO :

PERPINDAHAN MEDIUM I

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa ada perbezaan antara novel dengan drama TV. Jawapannya bukan mudah untuk diterangkan. Novel dan skrin TV adalah dua medium berbeza. Dalam memindahkannya, sudah tentu terdapat beberapa aspek yang perlu dirombak, ditukar, diubah, ditambah atau dikurangkan. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, ia masih lagi setia dengan semangat asalnya seperti mana dalam novel.
Apa pun, daripada skrip (lakon layar) ke skrin TV juga menyaksikan beberapa perbezaan dan perubahan. Kenapa berbeza? Ini juga sesuatu yang rumit untuk diterangkan. Biasanya pengarah tidak mengikuti skrip seratus peratus. Alasannya pelbagai. Antaranya berpunca daripada budget, kesukaran pengambaran, masalah logistik, kekangan masa, cuaca dan sebagainya. Ini bermakna pengarah dan penerbit berhak untuk tidak mematuhi skrip berdasarkan alasan yang wajar dan munasabah. Dalam hal ini, pengarah dan penerbit tidak perlu meminta kebenaran daripada penulis skrip terlebih dahulu.
Malah, di dalam proses terakhir iaitu suntingan, editor juga berhak untuk tidak mematuhi skrip. Sekalipun pengarah sudah membikin adegan itu, tidak semestinya adegan itu digunapakai di peringkat ini. Kenapa? Biasanya ia berkaitan dengan durasi atau continuity (konti). Sekiranya setelah disunting dan dimasukkan lagu, durasinya melebihi durasi yang ditetapkan, editor berhak untuk memotong mana-mana adegan sekalipun adegan itu sangat menarik. Masalah lain, sekiranya ada mana-mana adegan sebelum ini yang terpaksa dipotong, jika ada kesinambungannya dalam adegan seterusnya, adegan yang seterusnya itu juga harus dipotong. Ini lah sedikit sebanyak tentang kerja pembikinan sesuatu produk televisyen.

Saturday, March 29, 2008

TBM DI TV2 MULAI 3 APRIL SETIAP KHAMIS

Alhamdulillah, akhirnya Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' disiarkan sebelah malam setiap minggu. Ia bermula pada Khamis ini 3 April, jam 9.00 malam di TV2. Berdasarkan perancangan awal oleh pegawai RTM pada Mei 2007, drama ini untuk slot Galeri Famili jam 1.30 tengahari, Isnin-Jumaat. Waktu itu kami agak kecewa kerana mendapat slot siang yang tidak ramai penonton. Pun begitu, takdir mengubah segalanya. Kekecewaan kami terubat dengan keputusan ini.
Bagaimanapun, saya sedikit kesal kerana mempersembahkan cerita ini agar sesuai dengan sasaran penonton tengahari yakni surirumah. RTM juga mahukan konsep telenovela yang ditayangkan sepanjang hari bekerja. Ini bermakna saya perlu mengolah semula cerita ini berdasarkan beberapa 'rukun' dan 'syarat sah' telenovela. Antaranya watak jahat mesti tersangat jahat manakala watak baik mesti tersangat baik. Plot "twist and turn" dan tergantung (cliff-hanging) sangat penting dalam sesebuah telenovela. Memandangkan cadangan asal untuk tayangan Isnin-Jumaat, perlu ada 'minor cliff-hanging' untuk Isnin hingga Khamis dan 'major cliff-hanging' untuk Jumaat. Tujuannya supaya pada hari Jumaat, penonton jadi tidak sabar menunggu hari Isnin untuk mengetahuinya.
Masalahnya, novel TBM TIDAK ADA watak jahat. Watak-wataknya lebih banyak berkonflik dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini bermakna watak utama adalah protagonis dan juga antagonis. Amira VS Amira? Novel ini juga kekurangan "twist and turn" untuk membolehkannya diadaptasi menjadi sebuah telenovela yang baik.
Mujur pengarangnya, Samsiah cukup sporting dan mudah dibawa berunding. Beliau banyak bertolak ansur bagi menyesuaikan dengan kehendak stesyen. Sekalipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi TV, Samsiah mengakui dia memahami. Atas restu Samsiah sendiri, kami menjahatkan beberapa watak kecil dalam novel ini. Syafura, Cindy, Makcik Hindun dan Hakim terpaksa memainkan peranan besar di kaca TV. Kehadiran mereka dalam novel hanya tempelen sedangkan di TV mereka cukup dominan. Apa reaksi pembaca bila melihat watak kecil diubah menjadi besar? Adakah mereka akan merestuinya?
Penerbit pula mahukan cerita ini dibiarkan tergantung pada babak terakhir. Ini sebagai persediaan kalau-kalau jumlah penonton (rating) tinggi dan stesyen meminta "TBM Musim Kedua." Jadi, jangan terkejut kalau penyudahnya agak menyimpang dari penyudah dalam karya asal. Ia memang disengajakan.
Sekiranya sejak awal lagi saya tahu bahawa drama ini untuk slot malam dan bukan berkonsepkan telenovela Isnin-Jumaat di siang hari, saya mungkin mempersembahkannya dengan cara berbeza. Memandangkan kebanyakan penonton slot malam lebih matang dan berpendidikan, berkemungkinan saya akan lebih memfokuskan kepada konflik diri watak utama. Saya akui aspek ini kurang diberi perhatian kerana memikirkan "crowd" tengahari yang lebih suka melihat konflik antara watak hitam dengan watak putih.
Apa pun, keputusan RTM untuk menukarkan tayangan pada waktu malam melegakan kami yang mengharapkan 'rating' tinggi. Pada malam Jumaat nanti, jam 9, TBM akan bersaing dengan drama seram SAKA di TV3 dan DIARI AF6 di Astro Ria. Kedua-dua rangkaian swasta berbahasa Melayu itu cukup berpengaruh ke atas penonton Melayu. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat sejauh mana TBM dapat menyaingi kedua-dua rancangan itu dari segi jumlah penonton.

Saturday, January 5, 2008

DARI NOVEL KE SKRIN TV

Bukan mudah rupanya hendak mengangkat sebuah novel ke kaca TV. Medium yang berbeza tidak memungkinkan saya memindahkan setiap satu yang tertera di halaman novel terus ke skrip. Novel bergantung kepada kekuatan bahasa. Sekiranya pengarang bijak menerangkan sesuatu dengan perkataan yang tepat dan indah, novel itu pasti berjaya. Sedangkan TV bergantung kepada kekuatan gambar dan bunyi.
Dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat terlalu banyak penerangan tentang perasaan watak-wataknya. Sayang sekali, watak-wataknya kurang beraksi dan agak kurang menuturkan dialog. Kebijaksanaan pengarangnya bermain dengan bahasa yang indah dan tepat, menyebabkan novel ini mendapat sambutan luar biasa. Pengarang berjaya meruntun emosi pembaca dengan bait-bait kata yang dititipkannya di halaman kertas. Namun, di layar putih, kekuatan ini tidak lagi terpakai. Apa yang penting untuk sesebuah layar adalah visual….visual…visual… Penonton melihat watak-wataknya beraksi dan berbicara. Penonton juga mendengar bunyi, lagu dan muzik latar. Mereka turut melihat pemandangan dan sudut-sudut menarik dalam sesuatu babak. 'Prop' atau objek-objek turut memainkan peranan. Tangisan Bulan Madu versi televisyen kerap menyampai maksud melalui objek. Sekiranya dalam novel, hanya terdapat satu ayat yang menceritakan tentang bunga kemboja. Namun, di skrin TV, bunga kemboja itu dibesarkan sehingga akhirnya (tanpa dirancang) menjadi salah satu daripada 'isu' untuk dimainkan.
Justeru, cabaran utama dalam karya ini adalah untuk memvisualkan perasaan watak-wataknya. Masalah ini turut berlaku kepada novel-novel lain yang diadaptasikan ke layar kecil atau layar besar. Novel yang banyak menceritakan tentang pemikiran dan perasaan watak (tetapi kurang aksi dan kurang dialog), sekiranya dipindahkan ke medium elektronik tanpa mengubahnya walaupun sedikit, pasti menghasilkan monolog-monolog yang membosankan. Pegawai RTM awal-awal lagi mengingatkan saya supaya jangan mengulangi kesilapan pengadaptasi-pengadaptasi sebelum ini. (Tanpa menyebut apakah judul karya berkenaan)
Di dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat banyak sekali keadaan di mana watak utama, Amira, termenung di tepi pantai, di dalam rumah dan di pusara. Secara mudah, saya boleh sahaja membiarkan Amira termenung dan kemudian memperdengarkan suara hatinya (PELAKON MELAKUKAN VOICE OVER) yang menyebut, “itu” dan "ini". Namun, dengan berbuat begitu untuk 30 episod, pasti mendorong penonton mencapai alat kawalan jauh dan menukar saluran. (Di Amerika Syarikat, mereka menggelar tindakan ini sebagai SHIT CLICK! Maaf agak kasar tetapi itu lah cara mereka bercakap)
Novel Tangisan Bulan Madu adalah novel yang kaya dengan perasaan dan emosi. Justeru, bagaimanakah perasaan-perasaan dan emosi-emosi itu digambarkan secara visual? Saya enggan menceritakannya di ruangan ini. Saksikan sendiri drama 30 episod ini dari awal hingga akhir.