Showing posts with label IIM. Show all posts
Showing posts with label IIM. Show all posts

Wednesday, September 26, 2012

Seorang lagi bakal penulis skrin?


Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, baru-baru ini merangkul Anugerah Skrip Terbaik dalam pertandingan Filem Pendek bertemakan intergriti. Muhammad Amar Harun, 24 tahun, meraih kejayaan itu menerusi filem pendek bertajuk “Mahasiswa dan MLM”.  Beliau juga menghantar satu lagi penyertaan, “Plagiat” yang mendapat hadiah saguhati. Kedua-dua skripnya diarahkan oleh Norjannah Md Mustapha.

Sementara itu, juara keseluruhan dimenangi oleh filem bertajuk “Integriti Intipati Segala Kejayaan” arahan Le Yong Chin, 21 tahun, dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),  Sungai Long.  Yong Chin turut menerima Anugerah Pengarah Muda Terbaik serta hadiah saguhati menerusi filem “Kenangan Yang Dilenyapkan”.

Yong Chin mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia, tetapi bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, demi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat. Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah yang sama anjuran Air Asia dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Naib Juara pula jatuh kepada filem “Tolong-Menolong” arahan Ediazrul Mohd Razali, 24 tahun, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM turut menerima hadiah saguhati bagi filem “Sama Udara”, “Adab”, “Tabah” dan “Akibat Dadah”. Seperti Yong Chin, Ediazrul juga aktif menyertai pelbagai pertandingan dan berhasrat untuk bergiat dalam bidang perfileman setelah tamat belajar kelak. Beliau merupakan pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Media [Penyiaran].

UTAR Petaling Jaya pula merangkul kategori Anugerah Juri melalui filem “Thriller” karya Leong Khang You dan Foo Hui Bin.

Pertandingan antara Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini dianjurkan oleh Institut Intergriti Malaysia [IIM]. Ia mendapat 15 penyertaan daripada enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Isu-isu semasa yang diketengahkan oleh mahasiswa berkenaan, antaranya seperti plagiat, penagihan dadah, perpaduan, budi bahasa, jenayah dan integriti kewangan.

Syabas kepada para pemenang. Semoga ada di antara mereka, bakal mewarnai industri perfileman tanahair dengan filem-filem yang berkualiti terutama dalam  genre Islamik, memandangkan ada di antara mereka datang dari IPT berteraskan Islam.

[Nota : IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat]

Friday, May 25, 2012

TENTANG INTEGRITI


Petang ini, Jumaat, 25 Mei, InsyaAllah saya ke Institut Integriti Malaysia [IIM] untuk  Sesi Dialog Bersama Bloggers. Niat IIM semoga para blogger turut menyampaikan mesej tentang integriti.  Seramai 20 blogger dijangka hadir, kebanyakannya  dari bidang politik, isu semasa, sosial dan keagamaan.  Harap usaha ini ada manafaatnya dan mampu menyumbang sesuatu walaupun sedikit.

Integriti berasal dari perkataan Latin. Ia bermaksud satu tindakan menyeluruh yang berkaitan dengan kejujuran seseorang. Tindak tanduk orang yang berintegriti adalah selaras dengan prinsip moral , etika dan undang-undang.  

Tentang  integriti dalam industri  penyiaran televisyen, memang banyak yang boleh dikongsi berdasarkan pengalaman aktif dalam bidang ini. Namun, untuk kali ini cukup lah dengan merujuk tulisan blogger Syed Azidi [Blog Kickdefella] tentang   ‘orang nombor dua’ kepada pemilik Astro. Ini pautannya :


Terima kasih kepada sahabat saya, Nor Faznita Mohd Nor yang mula-mula meletakkan pautan kepada entri blog berkenaan di laman FB, Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia.

Akhir kata, terus menulis walau apa pun rintangannya....