Showing posts with label NUR KASIH THE MOVIE. Show all posts
Showing posts with label NUR KASIH THE MOVIE. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

NUR KASIH THE MOVIE.....

Malam Gala Premier Nur Kasih The Movie [NKTM] pada 9 Mei lalu penuh sesak dengan tetamu jemputan. Menjadikan ruang legar Cineleisure Mutiara Damansara itu kepanasan. Sehingga ada yang mengipas diri dengan tiket di tangan.
Muka-muka terkenal seperti selebriti, wartawan, blogger, karyawan seni belakang tabir, VIP dan VVIP bergaul mesra bertemankan makanan, minuman, celoteh pengacara Ally Iskandar dan nyanyian Mila Jirin. [Turut diumumkan nombor cabutan bertuah yang saya sendiri tidak dapat dengar, kalau lah nombor tiket saya yang naik malam itu!]
Sebaik teserempak Fizz Fairuz , terus saya ucap tahniah kepadanya. Namun, Fizz enggan menerima ucapan tahniah itu apabila saya memberitahunya belum lagi menonton NKTM.
Sis tengok dulu, baru ucap tahniah...tengok dulu..." katanya sungguh-sungguh sebelum beredar mengekori krew TV3 yang mahu mewawancaranya.
Seterusnya saya bertegur sapa dengan orang-orang penting dalam industri, terutama orang kuat Filmscape Sdn Bhd - pasangan Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa [lihat gambar].
[Dua tahun lalu, saya dan Mariana Hashim pernah membantu Mira Mustaffa menulis siri televisyen Nur Kasih]
Kemudian, saya dan Mariana ke tandas. Lantas mendapat idea untuk ’mencilok’ ke Hall 9 lebih awal, secara senyap-senyap! [dengan bantuan kakitangan Filmscape, Siti Marzuliana yang menyuruh kami cepat-cepat menyorok dari dilihat petugas Cineleisure!]
Dalam kegelapan itu, Mariana berusaha gigih mencari nombor kerusinya dengan berpandukan cahaya lampu dari telefon bimbit. Ya, lebih baik duduk dalam kegelapan, asalkan hawanya dingin. Biar lah yang lain terus ’mingle’ di luar - yang sesak dan panas. [Esoknya, saya meminta maaf kepada Penerbit Eksekutif Filmscape, Mohd Frank Lewis kerana tidak sempat menegur beliau di celah-celah tetamu yang terlalu ramai. Diakuinya itu kerana dia langsung tidak nampak kelibat saya dek kerana 'crowd' yang sebegitu]
Melebihi jam sembilan, baharu lah 'crowd' dibenarkan beratur memasuki hall dengan kawalan petugas Cineleisure. [ha..ha..ha....kami sudah ada di dalam!] .
Sebaik tertera logo syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd, diikuti logo penerbit bersama, Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd, suasana dalam pawagam tiba-tiba senyap sunyi. Semua terpaku mengadap skrin besar di hadapan. Duduk tegak, tidak bergerak. Keheningan pun menjalar ke segenap ruang pawagam. Lalu berterusan sehingga sepuluh minit...setengah jam...satu jam... sehingga akhirnya muncul kredit penutup NKTM, tanda filem sudah tamat.
Kenapa agaknya tercipta keheningan yang berpadu selama satu jam setengah itu?
Saya enggan mengulas. Hanya satu pesanan...pergi lah menonton Nur Kasih The Movie di pawagam berdekatan [atau jauh pun boleh!], mulai hari ini,19 Mei 2011.

Tuesday, June 29, 2010

NUR KASIH KEMBALI LAGI....

Sekitar Disember dan Januari lalu, saya dihujani pertanyaan tentang NUR KASIH THE MOVIE – termasuk dari wartawan dan pelakon utamanya. Bagaimanapun, ketika memanjangkan pertanyaan kepada Mira Mustaffa yang merupakan creator Nur Kasih, beliau hanya membisu. Biarpun dia mengakui dia faham akan ’kegelisahan’ orang-orang yang bertanya itu. Katanya, ada beberapa perkara yang menghalangnya daripada mendedahkan apa-apa pada waktu itu.
Tetapi kini segalanya bukan lagi teka-teki.
Kru filemnya sudah pun tiba di Jordan , Sabtu lalu. Sekarang, mungkin mereka sedang dalam pengambaran. Pelbagai berita rasmi tentangnya juga sudah tersiar di media.
Skrip filem ditulis sepenuhnya oleh Mira Mustaffa, penulis cerita asalnya. Jalan cerita masih mengekalkan tiga watak utamanya, Nur Amina, Adam dan Aidil. Filem arahan Kabir Bhatia ini diterbitkan dengan kerjasama tiga syarikat iaitu Primeworks Studio Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd dan Filmscape Sdn Bhd.
Biarpun saya tidak terlibat dalam versi filem, saya tetap menyokong dengan harapan untuk melihat hasil yang lebih baik daripada CINTA dan SEPI. Kedua-dua filem ini merupakan filem Melayu yang boleh dibanggakan dari segi kualiti - yang juga hasil karya Mira Mustaffa dan Kabir Bhatia. Cuma bagaimana khalayak menilai kejayaannya kelak? Adakah kejayaan komersil yakni kutipan tiket yang menjadi kayu ukur kejayaan? Atau aspek seni dan kualiti dalam pembikinannya? Realiti di Malaysia, filem yang berjaya dari segi komersil belum tentu berjaya dari segi kualiti. Sebaliknya, filem yang berkualiti jarang berjaya dari segi komersil.
Apa-apa pun, mari lah kita sama-sama menghitung hari ....menunggu kemunculannya pada Disember ini.