Thursday, June 4, 2009

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA...TERKENANG "LELAKI MISTERI"

Esok, Jumaat 5 Jun, adalah Hari Alam Sekitar Sedunia. Kicauan burung di tepi tingkap rumah saya mengingatkan bahawa alam sekitar di sini masih baik sekalipun Duta-Ulu Klang Expressway(DUKE) merentangi depan pangsapuri sejak awal tahun ini. Tetapi sejak kerja pembinaannya bermula tiga tahun lalu, kicauan burung kedengaran kurang separuh daripada sebelumnya. Menurut Malaysian Nature Society (MNS), burung adalah petanda baik buruknya alam sekitar di sesuatu kawasan. Ada burung, bermakna biodiversiti masih terkawal.
Lantas terkenang burung Botak Kecil atau nama Inggerisnya, Lesser Adjutant Stork. Nama saintifiknya, Leptoptilos Javanicus. Tetapi seorang renjer tua memanggilnya "Pak Khalid". Saya dan krew dokumentari pula menggelarnya "lelaki misteri" lantaran ia tinggal di koloni yang kecil, tidak ramai kawan dan sukar hendak merakam gambarnya. Tunggu sehari suntuk pun, belum tentu dapat. Dia bijak melarikan diri dari kamera.
Burung ini berasal dari keluarga Ciconiidae (saintifik) yang disebut sebagai bangau di rantau ini. Akan tetapi ia kurang popular berbanding 'sepupunya' dari keturunan bangau, Milky Stork atau Botak Upeh yang cantik dan putih melepak. Botak Kecil hitam legam, hodoh, sendirian dan pemalu.Tetapi gayanya mengepak semasa terbang dan mendarat cukup menawan hati. Kita perlu mengenalinya dahulu untuk mencintainya. Sedangkan Botak Upeh boleh membuatkan orang jatuh cinta pandang pertama kepadanya. Apa pun, kedua-kedua spesis keturunan bangau ini termasuk dalam kateori haiwan terancam dan sedang dilindungi.
Keterangan gambar : Kelihatan sayup-sayup Pak Khalid a.k.a. lelaki misteri di dahan pokok tertinggi, bersendirian, mungkin merenung nasibnya di masa hadapan...

No comments: