Friday, April 24, 2009

PELANGI PETANG....SEBUAH LAGU "ICONIC"

Minggu lalu, saya terjumpa catatan wikipedia yang merujuk Pelangi Petang sebagai "iconic song". Lagu itu digubah untuk filem KAMI (1982), filem pertama dan terakhir lakonan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Sejak itu, puluhan drama Melayu telah menjadikannya lagu tema. Ini lah puncanya saya teragak-agak untuk mencadangkannya buat Tangisan Bulan Madu (TBM). Alasannya, terlalu kerap digunakan dalam drama Melayu. Pun begitu, saya tidak dapat menolak satu kenyataan - lirik dan melodinya sangat bertepatan dengan jalan cerita TBM. Lantas, saya mencadangkan juga, bersama 10 lagu lain yang "meletup" dan dinyanyikan artis terkenal. Penerbit akhirnya memilih Pelangi Petang yang digubah 26 tahun lalu. Satu keputusan yang tepat! Selepas TBM tersiar, generasi baru yang tidak pernah kenal Sudirman, berkata mereka sangat menyukainya. Generasi lama pula berkata mereka kembali suka mendengarnya. Dan semasa TBM ditayangkan di TV2, ada dua lagi drama Melayu yang lain di siaran lain yang turut menjadikannya sebagai lagu tema. Justeru, adakah Pelangi Petang akan terus releven buat melodrama Melayu sampai bila-bila?

Wednesday, April 22, 2009

Idea Pitch di RTM..."Satu Kenyataan Maaf”

Rupanya, entry saya tentang Idea Pitch di RTM telah mengecilkan hati orang tertentu. (Mungkin juga beberapa pihak tertentu samada penerbit atau organisasi yang seangkatan dengannya) . Ada SMS yang diterima, pengirimnya seorang penulis, menyangka saya “marah-marah” pada RTM kerana pitching saya gagal. Terserah lah kepada pembaca untuk mentafsirkan kesemua entry saya tentang “pitching” berkenaan. Saya hanya menulis dari hati dan hati jua lah yang menerimanya. Sungguh, saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan kredibiliti penulis lain atau syarikat penerbit yang berjaya. Namun, sekiranya ada yang terasa hati,
beribu kemaafan saya pohonkan dengan ikhlas dari lubuk hati sanubari ini.
Kehadiran saya di ruang maya ini hanya untuk berkongsi maklumat dan pandangan. Itu sahaja. Tetapi ada kala, disalahfahami. Jadi, kepada semua, kemaafan jua yang dipinta. Kenyataan ini bukan sahaja untuk entry pitching RTM, tetapi merangkumi entry yang lain juga.

"EARTH DAY" LAH PULAK!

Selepas "Earth Hour" pada Mac lalu, tiba pula 'Earth Day" atau "Hari Bumi". Tarikhnya pada hari ini..22 April. Ia disambut setiap tahun bagi mengenang bumi yang sudah tua dan uzur. Saintis barat menganggar bumi berusia 4.5 bilion tahun. Manakala al-Quran tidak menyatakan bilakah bumi tercipta. Pun begitu, terdapat persamaan antara penemuan saintis barat dengan fakta di dalam al-Quran tentang asal kejadian bumi. Saintis barat dan al-Quran juga mempunyai pendapat yang sama bahawa :
kerosakan bumi adalah akibat perbuatan manusia sendiri.
Saya ada menyelitkan tentang kerosakan bumi dalam karya seperti :
Telemovie slot Cerekarama TV3 "2 JIWA 1 HATI" berlatarkan Tasik Kenyir, arahan Ahmad Idham (Julai 2004). Dan dalam Tangisan Bulan Madu.
Juga dalam novel :
CAHAYA DI HUJUNG NYAWA terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (Julai, 2008).
Terbaru, menulis kertas cadangan AMUKAN NAGA CHINI (ANC) untuk slot Lagenda TV3. Isu yang dicadangkan agak berat, mungkin sukar diluluskan. Saya juga mencadangkan AKU BUKAN PONTIANAK (ABP). Penerbit memberitahu TV3 lebih berminat pada ABP berbanding ANC. Ini memang sudah diduga. ANC membawa isu pencemaran alam sekitar yang mungkin tidak diminati oleh penonton TV3 - kecuali jika ia dilaporkan oleh Karam Singh Walia melalui Buletin Utama. ABP pula mengkritik sikap Melayu yang terlalu takutkan hantu. Kedua-duanya diadaptasi daripada kisah lagenda Melayu tetapi berlatarkan era sekarang dan diberi tafsiran baru - sebagaimana yang dikehendaki oleh TV3. Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa ada beberapa penulis lain turut mencadangkan lagenda pontianak untuk slot berkenaan. Mereka mungkin sedang menilai cadangan mana yang terbaik untuk siarannya kelak. Jadi, saya tidak begitu meletakkan harapan terhadap ANC atau ABP.
Sebelum ini, slot Lagenda telah menayangkan drama seperti :
Akukah Tanggang, Lara Rindu Mahsuri, Batu Belah, Puteri Salju, Anak Betung, Laila Majnun, Jula Juli, Putih Merah.
Semua siri berjumlah 20 episod dengan durasi sejam setiap episod. Masanya pada 4.30-5.30 petang, setiap Isnin hingga Khamis. Siaran ulangannya di TV9 pada jam 8.30-9.30 malam hari yang sama.

Thursday, April 16, 2009

BACA NASKHAH SN ARENAWATI

Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) akan menganjurkan program Baca Naskah Sasterawan Negara (SN) Arenawati, pada 23 April ini, jam 9 pagi-4.30 petang di Galeri Bahasa Jiwa Bangsa, DBP. Naskah yang akan dibaca adalah kumpulan cerpen terawal allahyarham antara tahun 1954-1959. Majlis ini dianjurkan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Ia terbuka kepada semua yang berusia 18 tahun ke atas. Hanya 50 penyertaaan terawal akan dipilih sebagai pembaca naskah. Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pembaca naskah, sila hubungi Encik Mohd Hiezam Hj Hashim (03-21483541) sebelum 17 April. Boleh juga e-mel ke : rakandbp@dbp.gov.my

Friday, April 3, 2009

"IDEA PITCH" DI TV3 LAH PULAK!!

Selesai lah sudah “pitching” RTM. Satu hakikat bahawa syarikat yang berjaya tempohari adalah yang selalu nampak namanya di kaca TV1 atau TV2. Seolah-olah, nama besar atau konsep yang dibawa bukan faktor penentu kelulusan. Penulis skrip tersohor, Sharifah Abu Saleem, yang menghantar enam cadangan juga gagal. Siti Nurhaliza Production pun gagal. Itu RTM. Sekarang TV3 lah pulak! Khabarnya, TV3 membuka tawaran ini kepada 10-15 syarikat sahaja. Yakni yang kerap menghasilkan drama yang mendapat jumlah penonton tertinggi (disebut sebagai rating) seperti :
Metrowealth (David Teo), Filmscape (Kabir Bhatia), Pena Creative (Ziela Jalil), Orangetree (Dato’ Jaspal Singh), Asia Media Content (JS Foo), Suhan Movie (Rosyam Nor), ACE Motion Pictures(Aziz M Osman), Excellent Pictures (Ahmad Idham), JS Pictures (Shiela Rusly), Radius One (Shahrul Ezad), Zeel Production (Fadzil), Global Station (Zaitun Mohd Jiwa a.k.a. kakak ipar Siti Nurhaliza).
Tarikhnya pada 20 April ini. Dan untuk slot waktu perdana (prime time) sahaja. Maknanya drama pukul 6 petang ke atas. Tetapi ada juga yang berkata, proses “pitching” ini akan melibatkan bos-bos besar seperti tuk-tuk ketua eksekutif (CEOs), Pengarah Eksekutif (ED), Pengarah Urusan (MD) dan mereka yang sewaktu dengannya. Kalau RTM menetapkan tema tertentu berdasarkan hari perayaan, TV3 pula sekadar menyebut :
"Anything..."
Ini bermakna penulis mesti berfikir “out of the box”. Sudah tentu mereka mahukan idea yang dapat menarik perhatian orang kebanyakan (mass audience), bukan "syok sendiri" atau untuk kelumpuk tertentu sahaja. Tajuk juga penting. Kita lihat kecenderungan TV3 memilih tajuk yang ringkas tetapi menarik. Contohnya :
Spa Q, Mr Mama, Kasanova XXL, Datin Diaries, Ai D' Beijing...
Mereka juga cenderung kepada satu perkataan, (yang kebiasaannya nama wanita) seperti :
Puteri, Manjalara, Bella, Ezora, Fara, SinDarela, Iris, Rozana, Jelatang, Susuk, Enigma, Obsesi, Dendam dan yang terbaru Berek, Yusuff dan Matahari.
Namun, sesekali kelihatan juga tajuk panjang dan 'jiwang' di TV3 yang lazimnya diminati oleh RTM seperti :
Sesuci Cinta Sofea, Seputih Qaseh Ramadan, Rindu Semakin Jauh, Ku Milik Mu, Kiranya Aku Tahu, Rendang Untuk Mertua dan terkini, Cinta Untuk Ain.
Jadi, kepada sesiapa yang mahu karya disiarkan di TV3 yang masih mendominasi dari segi jumlah penonton (rating), hantar lah kertas cadangan ke syarikat yang tersenarai di atas. Bagaimanapun, nama-nama penerbit di atas adalah berdasarkan “laporan tidak rasmi” dari seseorang. Jika ada nama di atas yang tersilap, harap ada yang memperbetulkannya. Selamat berkarya!