Tuesday, September 21, 2010

LAGI KES PENULIS SKRIP TERANIAYA

Semalam, seorang rakan penulis skrip menelefon untuk mengadu nasib.
Memberitahu bayarannya dipotong setelah skripnya terkurang durasi [under-run]. Beliau sudah menyiapkan babak-babak tambahan seperti yang diminta oleh penerbit. Tetapi penerbit tetap memotong bayaran skripnya bagi tujuan menampung kos pengambaran babak-babak yang ditambah itu.
Ya, kes 'under-run' memang perkara biasa dalam mana-mana produksi. Masalah ini diselesaikan dengan meminta penulis yang sama atau penulis lain membuat tambahan babak dan seterusnya dibuat pengambaran babak-babak yang ditambah itu.
Namun, apa yang 'kurang biasa' berlaku ialah bayaran penulis dipotong bagi menampung kos pengambaran tambahan itu.
Selain pemotongan bayaran,penulis ini turut dibayar lewat. Apabila beliau menyuarakan tentang hari raya yang bakal disambut dua minggu lagi [sewaktu kes ini berlaku], sang penerbit tidak memperdulikannya.Sebaliknya menjawab,"pandai-pandai kau lah cari duit lain."
Kami pun berbincang beberapa 'mekanisme' yang mungkin dapat menangani kes-kes seumpama ini.
Beliau mencadangkan supaya penerbit-penerbit seperti ini di'senarai hitam' kan secara senyap di kalangan para penulis.
Sebelum ini, beberapa penerbit yang gagal menjaga kebajikan dan hak-hak penulis dengan adil, telah didedahkan namanya melalui thread tertutup Facebook yang hanya boleh diakses oleh beberapa penulis tertentu yang aktif di dalam industri. Ini mungkin satu perkembangan baharu. Memandangkan sebelum ini kebanyakan penulis memilih untuk tidak menceritakan pengalaman buruk mereka. Mungkin kerana ingin menjaga hati penerbit yang dilihat sebagai mempunyai 'kuasa' yang lebih di dalam industri. Sikap dan pendirian ini menyumbang kepada beberapa situasi membabitkan nasib sama terjadi kepada beberapa penulis lain yang berurusan kemudiannya.
Apa pun, kini penulis mula bertukar maklumat tentang layanan penerbit terhadap mereka. Penggunaan teknologi maklumat seperti Facebook, blog dan SMS banyak membantu proses pertukaran dan penyebaran maklumat ini. Secara tidak langsung, para penulis telah membentuk rangkaian tersendiri secara longgar dan senyap. Malah, pada awal tahun ini, seorang penulis 'otai' pernah mendedahkan nama satu syarikat penerbitan secara terbuka di blog ini sebagai pra-amaran kepada rakan-rakan agar berhati-hati apabila berurusan dengan penerbit berkenaan.
Ada lagi beberapa "mekanisme" yang kami bincangkan.
Beliau turut bertanya tentang perkembangan Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia yang dibentuk pada 21 Februari lalu di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. Saya memaklumkan bahawa beberapa pelan tindakan sudah dirangka dan para penggerak akan berbincang lanjut sedikit masa lagi. Hemmm...mungkin saya kedengaran seperti ahli politik apabila menyebut "akan diadakan" atau "sedang berbincang". Namun, saya tetap berfikiran positif terhadap pelan tindakan berkenaan yang dirangka untuk meng'institusi'kan profesyen penulis skrip. Cuma masa - samada cepat dan lambat serta keizinan Allah jua yang akan menentukannya kelak, InsyaAllah.
Artikel ini akan disambung jika mempunyai kelapangan masa. Doakan...
Untuk topik berkaitan, boleh juga lawati blog penulis skrip Mazelan Manan di alamat di bawah :
http://mazelanmanan.blogspot.com

Sunday, September 5, 2010

SUARA TAKBIR - P. RAMLEE

Selamat menghayati konsep berhari raya yang sebenar...