Thursday, October 13, 2011

BAWAKU KE SYURGA, SABTU INI [15 OKTOBER] DI SLOT CEREKARAMA TV3

Setelah sekian lama menyepi diri dari arena telefilem, saya kini beransur-ansur kembali kepada kategori ini. Memang tidak dinafikan fokus yang berlebihan kepada drama rantaian, tanpa disedari telah mengabaikan genre yang tidak kurang menarik ini.
Minat terhadap telefilem semakin membara selepas mengikuti dua kursus Master Class di Finas. Mengaplikasikan kedua-dua teori oleh kedua-dua guru kelas berkenaan, Yasu Tanaka [Hollywood] dan Joko Anwar [Indonesia], lahir lah Bawaku Ke Syurga.
Telefilem ini arahan Raja Ahmad Alauddin, terbitan Zeel Production. Ia akan bersiaran pada Sabtu ini, 15 Oktober ini di slot Cerekarama TV3, jam 10 malam. Pelakonnya terdiri daripada Fasha Sanda, Fiza Elite, Eizlan Yusuf, Hamidah Wahab dan Maimon Talib.
Idea asal Bawaku Ke Syurga datang dari seorang rakan, Che Aida Dollah. Ia mengisahkan dua banduan wanita yang sedang menanti hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh. Bagaimanapun sebahagian besar skrip terpaksa dirombak atas nasihat pihak penjara. Alasannya, kisah Banduan Akhir tidak sesuai dipaparkan buat masa ini. Memandangkan pihak Majlis Peguam dan parti pembangkang telah mencadangkan agar hukuman mati dimansuhkan. Bagaimanapun pihak penjara [yang mewakili kerajaan] sedang menilai cadangan ini dan belum memberi sebarang jawapan - samada bersetuju dengannya atau tidak. [Wajarkah hukuman mati dimansuh atau diteruskan? Apa pendapat anda pula?]
Bagi menjaga sensitiviti yang berkaitan isu semasa, pihak penjara bertegas agar kisah Banduan Akhir di tukar kepada kisah Banduan Seumur Hayat. Arahan ini sedikit melemahkan semangat semua pihak yang terlibat, terutama penulis dan penerbit. [Tidak pasti apa reaksi pihak stesyen tentang perubahan di saat akhir ini]
Kisah Banduan Akhir yang mempunyai tempoh dua minggu sahaja untuk hidup [setelah semua ruang untuk rayuan tertutup] memberi impak suspen dan permainan emosi yang kuat. Apabila ia berubah kepada kisah Banduan Seumur Hayat, suspen dan emosi itu ternyata menurun.
Apa pun ceritanya, tema telefilem ini adalah "DOA IBU". Ia menceritakan bagaimana seseorang itu boleh terselamat hanya dengan doa ibu dan seorang lagi mendapat nasib buruk, juga dengan kata-kata negatif si ibu - yang pada pandangan Islam, kata-kata juga dianggap sebagai doa. Telefilem ini mungkin boleh menyedarkan para ibu supaya menjaga lidah masing-masing apabila berkata-kata dengan si anak.
Jangan lupa.... Sabtu ini....10 malam.... di TV3.