Friday, April 8, 2016

BERAKHIRNYA SUKU PERTAMA 2016

Suku pertama 2016 sudah pun berakhir. Jadi, bagaimana dengan azam kalian? Masih berterusan? Atau sudah pun ke 'laut'? Saya masih bertungkus lumus dan kadang kala tersasar dalam  meneruskan azam tahun ini. Biarpun ia lebih bersifat 'recycle' azam lama, komitmen untuk meneruskannya  sedang diperkuatkan dari hari ke hari.

Seperti mana pada tahun lepas, tahun ini saya menjurus kepada penjagaan kesihatan diri dan keseimbangan dalam kehidupan (work-life balance).  Dua aspek ini sangat penting tetapi telah terabai semata-mata untuk memberi laluan kepada kerjaya.

Kerjaya di dalam industri filem dan drama televisyen tempatan memang kelihatan lumayan. Bagaimanapun, ia menuntut banyak pengorbanan dari segi masa - samada masa untuk diri sendiri, untuk Tuhan, untuk keluarga atau untuk kawan-kawan.

Pejabat saya di USM, Pulau Pinang.
Apabila jumlah wang yang diterima untuk satu-satu projek penulisan dibahagikan dengan jumlah masa untuk menyiapkannya,  kadang-kadang  boleh jadi tidak  berbaloi pula. Melainkan kalau mampu menulis satu episod skrip  drama tv dalam sehari. Malangnya, saya tidak pernah berjaya melakukannya.  Paling cepat pun satu episod dua hari dengan masa 12 sehingga 14 jam sehari.  Dan untuk menyiapkan 13 episod  (satu musim) memerlukan masa sebulan setengah dengan terpaksa bekerja tujuh hari seminggu. Ini bermakna tiada istilah bersantai di hujung minggu seperti kebanyakan orang lain. Tempoh kerja ini pula hanya untuk drama percintaan remaja yang ringan. (Masa yang lebih panjang diperlukan untuk drama genre lain yang berat dan mendalam penceritaannya)

 Ini lah yang dikatakan bayaran tidak setimpal buat penulis kategori 'lambat' seperti saya (yakni setelah dibahagikan dengan jumlah jam bekerja). Upah nampak banyak tetapi hakikatnya sedikit. Penat lelah jauh lebih terasa berbanding upah yang diterima. Dalam sesetengah kes mungkin memudaratkan kesihatan dari segi jangkapanjang apabila tidak cukup tidur. Tempoh paling afdal untuk orang dewasa tidur pada waktu malam adalah lapan jam.

Percutian keluarga di pulau Koh Lipe, Thailand pada Disember 2015


Saya sering rasa bersalah apabila ada orang bertanya bagaimana saya membahagi masa antara keluarga dan kerja penulisan. Jawapannya ringkas sahaja - pengorbanan. Maknanya, tiada pembahagian masa yang sama rata di antara keluarga dan kerjaya. Salah satu mesti dikorbankan. 

Apa pun, tiada pekerjaan yang sempurna di dalam dunia ini. Setiap pekerjaan pasti ada turun naik dan pasang surut. Paling tidak pun, semangat kita yang turun naik/pasang surut biar pun betapa kita sayang akan pekerjaan kita. Buat lah apa yang kita suka buat atau mat saleh kata 'do what you love'. Ini resepi kejayaan yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Dan sekiranya seseorang itu berada lebih daripada 10 tahun di dalam pekerjaan yang sama, ini bermakna dia memang sayangkan kerjanya itu.  Atau sekurang-kurangnya, serasi dengan jiwa. Akan tetapi, sayang atau serasi  tidak bermakna kita perlu setia kepadanya seratus peratus, apatah lagi jika ia tidak lagi menguntungkan.

Akhir kata, selamat mengharungi arus 2016  yang masih panjang ini dengan lebih cekap dan yakin. Ingat juga pesan nabi, 'jadi lah manusia yang boleh memberi manafaat kepada orang lain'.