Tirai Anugerah Skrin 2008 sudah dibuka. Dan Tangisan Bulan Madu (TBM) tersenarai sebagai calon kategori Drama Rantaian. Semalam, jam 3 petang saya hadir ke Sidang Akhbar anugerah berkenaan di New World Hotel, Petaling Jaya. Sayang sekali, tidak ramai pelakon dan krew TBM yang hadir. Mungkin masing-masing sibuk dengan pengambaran drama lain. Antara muka yang saya nampak hanya Suriyati Sidek (Penerbit Eksekutif), Jamal Khan (Pengarah), Arifah Damanhuri (Mak Bedah/Mak Amira) dan Zarin Min (Idayu). Kalau ada yang lain yang saya tidak perasan, harap maaf ya! Tetamu jemputan memang ramai, sehingga melebihi jumlah kerusi yang disediakan. Mujur juga makanannya cukup!
Semasa pengacara majlis, Ally Iskandar memperkenalkan showreel untuk kategori drama rantaian, saya tidak ingat berapa banyak yang disebutkannya. Tetapi berdasarkan showreel itu, jumlah yang akan berentap nanti agak banyak juga. Semuanya hebat-bebat belaka. Jadi, saya katakan saingan untuk TBM memang sengit. Seingat saya, Ally ada menyebut tentang 22 hadiah untuk diraih oleh penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip. Apa pun, kata Ally, anugerah ini untuk semua yang terlibat dalam pembikinan sesebuah filem atau drama, daripada penerbit sehingga kepada tukang pegang "boom". Apa-apa pun, lihat akhbar-akhbar utama hari ini untuk maklumat lebih tepat dan menyeluruh tentang majlis semalam.
Bagaimanapun, saya difahamkan menjelang Anugerah Skrin, TV3 hanya akan menayangkan semula drama-drama yang pernah tersiar di TV3 sahaja (itu pun tidak semua). Jadi, kemungkinan tidak ada harapan untuk kita menonton semula TBM di TV3 walaupun drama ini bertanding di anugerah itu.
Sidang akhbar semalam dimulakan dengan gimik oleh pemenang Anugerah Skrin 2007, Sofea Jane dan Vanida Imran. Sofea memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik TV melalui slot cerekarama, "Sebuah Ijtihad". Vanidah pula dalam kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik melalui "The Red Kebaya". Tetamu khas terdiri daripada CEO Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dan wakil-wakil dari stesyen televisyen lain seperti RTM, Astro, TV9, NTV7 dan 8TV.