Friday, May 21, 2010

PERJUMPAAN PENULIS SKRIP...29 MEI INI DI RUMAH PENA.

Ya, jadi. Ini lah jawapan kepada soalan tentang Perjumpaan Penulis Skrip yang dirancangkan pada 29 Mei ini, Sabtu di Rumah Pena, jam 3 petang.
Agenda yang pertama:
Pembentangan draf kontrak antara penulis skrip dan penerbit. Pada masa ini, penulis skrip menggunakan kontrak yang disediakan oleh penerbit yang lazimnya ’berat sebelah’. Banyak perkara di dalam kontrak berkenaan lebih menguntungkan penerbit manakala penulis seolah dipaksa akur pada kontrak berkenaan.
Apa pun, kini, terdapat inisiatif untuk penulis memiliki kontrak tersendiri ketika berurusan dengan penerbit. Sejauh mana cadangan ini dapat dilaksanakan? Ya, memang ada yang meraguinya. Namun, jalan terbaik kita tunggu dan lihat sahaja lah. Cakap banyak pun tidak ada gunanya, kalau kita hanya berpeluk tubuh – tanpa melakukan sesuatu. Biasanya, orang yang berpeluk tubuh itu lah yang paling banyak bercakap. Bagi saya, lebih baik berbuat sesuatu daripada bercakap sahaja. Jadi, ini lah antara inisiatif kecil yang mula diambil oleh sekumpulan penulis. Kumpulan ini terdiri daripada gabungan :
para penulis yang sudah lama (otai) dan baru (junior) bergiat dalam industri, penulis bebas (freelance) dan penulis residen (in-house), aliran arus perdana (mainstream) dan indie, SWAM dan bukan SWAM.
Kumpulan ini juga tidak berdaftar secara rasmi. Selain itu, perjumpaan ini turut membentangkan tentang :
MAJIKA dan SWAM. Tentu ramai yang kenal SWAM, tetapi belum kenal MAJIKA. Apa itu MAJIKA? Magic ke? Apa perlunya berbicara tentang SWAM sedangkan sebahagian besar daripada kita bukan ahli SWAM. Adakah SWAM masih releven dengan kita yang bergelar penulis skrip ini?
Mungkin sedikit sebanyak soalan ini terjawab dengan menghadiri perjumpaan pada Sabtu hadapan, InsyaAllah. Jumpa di sana.

Thursday, May 13, 2010

BENGKEL PENULISAN SKRIP DRAMA TV

Bengkel Penulisan Skrip Drama TV anjuran ASTAKA VILA AKSARA [AVA] pada 25 April lalu berjaya menarik seramai 24 peserta. Kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berminat menyertai bidang penulisan skrip drama TV tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula.
Biarpun pada asalnya, penganjur menetapkan 15 orang sebagai jumlah maksima untuk bengkel berkenaan, saat akhir penganjur tidak dapat menolak permintaan yang cukup memberangsangkan. Dalam ruang yang sempit itu - yang mungkin tidak memberi keselesaan (akibat lebihan peserta), saya cuba mencurahkan sebanyak mana ilmu untuk mereka. Melihat kepada latarbelakang peserta, sengaja saya rancangkan agar isi kandungannya lebih berupa "pengenalan kepada penulisan skrip drama TV". Selain itu, ada juga di kalangan rakan penulis skrip yang berminat menyertainya atas alasan "mahu belajar dari saya". Namun saya melarang kerana isi kandungannya memang tidak sesuai untuk mereka yang sudah berada di dalam industri dan pernah menghasilkan beberapa skrip yang tersiar di televisyen.
Kini atas permintaan ramai, bengkel yang sama [siaran ulangan] kembali menemui khalayak pada :
30 Mei 2010, Ahad, jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Masih di tempat yang sama iaitu Pusat Belia Antarabangsa, Cheras (berhadapan HUKM). Kepada sesiapa yang berminat, sila mendaftarkan diri di blog AVA di alamat berikut :
http://ejenmanuskrip.blogspot.com

Sunday, April 18, 2010

HARGA SKRIP

Rasanya bulan lepas, Alfie Palermo bertanya tentang harga skrip yang sepatutnya diperolehi. Beliau menyarankan para penulis mapan (establish) berkongsi harga masing-masing untuk rujukan penulis baru. Faznita segera memberi maklum balas di blog beliau. Sila klik di alamat di bawah :
http://faznitamdnor.blogspot.com
Nampaknya, Faznita bertuah kerana mendapat bayaran agak tinggi. Harga skrip saya jauh lebih rendah iaitu :
1. Bagi telemovie 90 minit, saya biasa mendapat antara RM3,500-RM 4,700.
2. Drama bersiri/rantaian 45 minit/1jam, antara RM1,000-RM1,500 bagi setiap episod.
3. Drama bersiri/rantaian 25 minit/setengah jam, antara RM500-RM800 bagi setiap episod.
4. Drama bersiri/rantaian yang melibatkan penyelidikan, cuma bertambah RM200 bagi setiap episod.
5. Kesemua harga di atas adalah sama untuk idea asal dari saya atau idea asal dari penerbit atau untuk skrip yang mempunyai isi kandungan berjenama (branded content) yang melibatkan banyak kali perbincangan dan rombakan berdasarkan permintaan penaja. Ini juga termasuk harga skrip yang perlu disiapkan dalam masa yang singkat.
Untuk makluman, perbincangan tentang harga skrip juga ada di Kelab FB Penulis Skrip Malaysia. Bagi yang berminat, sila kunjungi laman itu jika ada masa.

SAYA BUDAK BARU BELAJAR

Sudah agak lama tidak kemas kini blog ini. Bukan niat untuk membiarnya bersawang. Tetapi terlalu banyak perkara yang muncul pada bulan ini. Antaranya terpaksa berulang alik ke sesi perah otak (brainstorming) dengan pasukan kreatif (creative team) dari Filmscape Sdn Bhd bersama dengan pihak stesyen dan penajanya. Ini satu pengalaman yang cukup bermakna. Saya banyak belajar dari ahli pasukan ini yang kebanyakannya kreatif, berpengalaman tetapi masih merendah diri, terbuka dan saling menghormati.
Selain itu, sempat mengutip ilmu di Kursus Penulisan Skrip dari Perspektif Pengarah anjuran Film Director’s Association of Malaysia (FDAM). Pensyarahnya hebat-hebat belaka. Kursus juga adalah saluran untuk membina rangkaian. Baru lah saya kenal siapa TOK UBAN yang namanya sering tersiar di kaca TV sebagai penulis skrip. Rupanya Tok Uban baru berusia 30 tahun.
Bulan ini juga saya menemui sekumpulan pelajar dari UiTM Melaka dan Shah Alam yang mewawancara tentang Nur Kasih untuk tugasan kuliah mereka. Banyak soalan ilmiah yang mereka lontarkan berkaitan dengan drama berkenaan.
Dan pada minggu hadapan, InsyaAllah saya akan membimbing sekumpulan peserta bengkel Penulisan Skrip Drama TV anjuran AVA di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Ini peluang untuk belajar membimbing bakat-bakat baru secara formal. Sebelum ini, saya lebih banyak membimbing secara tidak formal. Ya, sesuatu yang juga baru dan perlu dipelajari.
Kepada mereka yang tidak sempat menyertai bengkel kali ini, saya akan membimbing lagi pada bulan hadapan iaitu 30 Mei , Ahad, jam 9 pagi hingga 5 petang di tempat yang sama. Jumlah peserta terhad kepada 20 orang sahaja. Digalakkan mendaftar cepat bagi mengelakkan tempat penuh.
Sila lawat blog AVA di alamat di bawah :
http://ejenmanuskrip.blogspot.com

Thursday, April 1, 2010

DIALOG PUNCAK PERDANA...DRAMA RANTAIAN & GRADUAN SEKOLAH FILEM

Dialog Puncak Perdana anjuran Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA), UiTM memang kerap di adakan di kampus Puncak Perdana. Acara itu menampilkan panel jemputan dalam pelbagai topik. Semalam, giliran saya bersama Mariana Hashim dan Wan Maimunah diundang berbicara tentang “Penulisan Skrip Drama TV Bersiri Rantaian”. Ketika ditanya tentang senario drama rantaian, jawapan saya :
“Pasaran untuk drama rantaian memang besar berbanding telemovie atau filem. Bagaimanapun, kekurangan pengkarya (atau disebut juga sebagai ‘talent’) menyebabkan kualiti drama rantaian menjadi kurang memuaskan”.
Sebaik menyebut kekurangan pengkarya, timbul persoalan di kalangan penonton, lebih kurang begini :
“TEKA (termasuk sekolah filem yang lain) melahirkan ramai graduan, kenapa industri kita masih kekurangan pengkarya? Dan kenapa graduan ini tidak diberi peluang berkarya di TV kita?”
Soalan ini lebih banyak dijawab oleh Mariana Hashim. Sebagai penerbit, beliau banyak mengambil graduan bekerja di syarikatnya. Namun mendapati mereka tidak mempunyai sikap (attitude) yang tepat, daya tahan (perserverance) dan minat yang membara (passion) untuk membolehkan mereka masuk ke dalam industri. Sementara itu,
Wan Maimunah berkata ada sesetengah penulis skrip tidak memberikan perwatakan yang cukup kuat di dalam skrip. Ini menyebabkan beliau terpaksa membuat kerja lebih untuk membina sendiri watak itu, berdasarkan kefahaman dan pengalamannya. Inisiatif ini diambil atas tanggungjawab untuk mempastikan hasil yang baik di televisyen.
Selain itu, saya turut membangkitkan isu antara nilai komersil dan nilai artistik. Ini berdasarkan pengalaman saya menerima kertas cadangan konsep daripada segelintir graduan atau yang masih bergelar pelajar untuk diserahkan kepada penerbit. Kebanyakannya tidak menepati nilai-nilai komersil yang dikehendaki stesyen TV. Saranan saya, agar mereka mematuhi kehendak stesyen TV jika mahu masuk ke dalam industri. Ini lebih baik daripada “berasa kecewa” dan “menyalahkan sistem” seperti yang pernah saya alami di peringkat awal dahulu. Dan merumuskan bahawa :
"Bekerja untuk televisyen lebih kepada menghasilkan produk, bukannya berkarya".
Mungkin ini yang tidak difahami oleh graduan (atau pelajar) yang mahu terbabit di sektor televisyen.
Dialog diusahakan oleh Ketua Program Penulisan Kreatif, Puan Norlela Ismail yang juga menjadi moderator sesi berkenaan. Turut hadir ialah Timbalan Dekan, Dr Mahadi J Murat. Sekadar makluman, TEKA pada masa ini diterajui oleh Dr Hatta Azad Khan sebagai Dekan.
Keterangan gambar : Dari kiri Wan Maimunah, Mariana, Maizura dan Norlela.

Wednesday, March 24, 2010

PROMOSI "CAHAYA DI HUJUNG NYAWA"....JUMAAT INI DI PWTC

Saya akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat ini, 26 Mac 2010, mulai jam 10 pagi hingga 4 petang untuk mempromosi novel CAHAYA DI HUJUNG NYAWA.
Novel ini diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB). Rasanya semua orang tahu hendak mencari di mana petak CESB di PWTC itu.
Ini lah novel ke enam di sepanjang kerjaya sebagai novelis sejak 1996. Bermakna saya bukan lah novelis yang aktif. Kali terakhir mempromosi novel di PBAKL ialah pada 2003, berjudul KIRANYA KAU BERBOHONG.
Apa yang saya risaukan tentang PBAKL ialah terlebih belanja membeli buku. Tahun lepas saya berjaya menahan diri daripada membeli apa-apa buku kerana buku yang dibeli pada tahun 2008 (yang berjumlah kira-kira RM500 kesemuanya) masih belum habis dibaca. Saya tidak pasti tentang tahun ini.
Pun begitu, sudah ada dalam kepala akan beberapa judul buku yang wajib dibeli untuk rujukan projek penulisan yang sedang dikerjakan sekarang. Saya akan mencarinya jika ada masa. Jika tidak, seperti biasa, akan mencari melalui internet dan memesannya secara online. Cara ini lebih menjimatkan masa berbanding merayap di sekitar PWTC yang luas itu.
Dan saya berharap untuk bertemu beberapa teman dalam industri buku seperti mereka di Kumpulan PTS dan Alaf 21 Sdn Bhd. Atau sekadar melihat kelibat penulis-penulis tersohor yang selama ini menjadi sumber inspirasi buat saya.
Maklumat lanjut tentang CAHAYA DI HUJUNG NYAWA melalui laman web CESB :
http://www.cesb.net.my/store/Cahaya-Di-Hujung-Nyawa-Maizura-Mohd.-Ederis.html

Saturday, March 13, 2010

MELAHIRKAN "TUDUNG EKSPRES"

Cara orang Amerika bercakap memang kasar. Sebagai contoh, bagi sesebuah konsep yang memakan masa panjang untuk dibangunkan, Hollywood menggelarnya Development Hell (dengan izin). Ada sesetengah konsep mengambil masa antara 5-10 tahun untuk dibangunkan. Ada di antaranya yang akhirnya berjaya menjadi karya besar dan hebat. Dan ada yang gagal apabila ia akhirnya tersiar. Malahan ada yang langsung terbengkalai setelah banyak masa, wang dan tenaga dilaburkan untuknya. Lazimnya proses yang panjang ini melibatkan pertukaran beberapa penulis yang silih berganti.
Bagaimanapun, situasi ini tidak berlaku di negara kita. Sesuatu konsep hanya mengambil masa beberapa bulan untuk dibangunkan. Seorang eksekutif asing yang berpengalaman bekerja di BBC, terkejut bila diminta oleh pihak pengurusan atasannya di negara ini untuk membangunkan sebuah program TV dalam masa enam bulan. Katanya, pihak stesyen di negara asalnya, mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membangunkan sesebuah program.
Apa pun, TUDUNG EKSPRES adalah konsep yang paling lama untuk dibangunkan. Saya mendapat panggilan daripada pihak stesyen tentang konsep ini pada hujung 2008. Bagaimanapun, konsep ini terpaksa melalui perbincangan demi perbincangan di sepanjang 2009. Hanya pada bulan lalu (2010), baru lah sebuah syarikat antarabangsa yang sudah lama bertapak di Malaysia, memberi kata putus untuk menaja siri ini.
TUDUNG EKSPRES akan diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Faisal Ishak. Penulisan skrip dibantu oleh Ayuni Zamni. InsyaAllah akan tersiar di Astro Prima (saluran 105) mulai 8 Julai ini.
Ya, akhirnyaaaaaaa….