Tuesday, October 23, 2012

Sudah Muncul.... Projek Bank Skrip

Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi telah mengambil inisiatif untuk memajukan isi kandungan bagi  industri kreatif tempatan melalui projek yang dikenali sebagai Bank Skrip. Projek ini dikendalikan oleh Majlis Kandungan Kreatif Filem dan Televisyen atau lebih dikenali sebagai FSCCC  atau F3C iaitu singkatan dari Film, Script & Creative Content Council.

Ahli majlis ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan  isi kandungan tempatan. Penerbit dan pengarah filem terkenal, Yang Berbahagia Datin Paduka Shuhaimi Baba merupakan tenaga penting dalam projek ini.

Bank Skrip akan memilih 50 tajuk bagi melalui proses "pembangunan"  [development] sehingga terhasilnya skrip-skrip yang berkualiti untuk pasaran tempatan - samada di televisyen atau pawagam.  Tajuk-tajuk ini merangkumi untuk filem, drama bersiri televisyen, telemovie dan animasi. Bagi pasaran televisyen, ia mengutamakan saluran milik kerajaan, TV1 & TV2.

Bank Skrip turut melantik sekumpulan editor atau mentor untuk membantu memperbaiki skrip-skrip yang terpilih itu, bermula dari peringkat idea asal sehingga lah kepada terhasilnya skrip penuh.  Para editor atau mentor ini terdiri daripada penulis-penulis  berpengalaman dan mempunyai "rekod" dalam menghasilkan skrip-skrip yang bermutu di kaca televisyen dan di layar perak.

Bayaran untuk penulis [sekiranya cadangan kalian terpilih] akan dijelaskan oleh pihak kementerian, menggunakan dana yang diperuntukan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara. Dalam hal ini, penulis tidak lagi berurusan dengan penerbit filem atau televisyen, sebaliknya berurusan dengan sekretariat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Bank Skrip ini.

Permohonan masih terbuka untuk para penulis dan bakal penulis di luar sana yang berminat menyertai Bank Skrip. Sila hantar satu mukasurat cadangan cerita [proposal] kepada sekretariat sebelum 30 OKTOBER 2012.  Satu mukasurat itu perlu merangkumi logline, sinopsis cerita dan keterangan untuk dua atau tiga watak utama. Cadangan [Proposal] juga boleh terdiri daripada idea asal penulis sendiri atau adaptasi daripada mana-mana karya dari medium lain.

Untuk maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan dan alamat penghantaran, sila klik ke link berikut :

http://www.industrikreatif.gov.my/komuniti

atau boleh muat turun borang melalui link di bawah :

http://www.industrikreatif.gov.my/permohonan-bank-skrip

Selamat memohon dan semoga berjaya!

Wednesday, September 26, 2012

Seorang lagi bakal penulis skrin?


Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, baru-baru ini merangkul Anugerah Skrip Terbaik dalam pertandingan Filem Pendek bertemakan intergriti. Muhammad Amar Harun, 24 tahun, meraih kejayaan itu menerusi filem pendek bertajuk “Mahasiswa dan MLM”.  Beliau juga menghantar satu lagi penyertaan, “Plagiat” yang mendapat hadiah saguhati. Kedua-dua skripnya diarahkan oleh Norjannah Md Mustapha.

Sementara itu, juara keseluruhan dimenangi oleh filem bertajuk “Integriti Intipati Segala Kejayaan” arahan Le Yong Chin, 21 tahun, dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),  Sungai Long.  Yong Chin turut menerima Anugerah Pengarah Muda Terbaik serta hadiah saguhati menerusi filem “Kenangan Yang Dilenyapkan”.

Yong Chin mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia, tetapi bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, demi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat. Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah yang sama anjuran Air Asia dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Naib Juara pula jatuh kepada filem “Tolong-Menolong” arahan Ediazrul Mohd Razali, 24 tahun, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM turut menerima hadiah saguhati bagi filem “Sama Udara”, “Adab”, “Tabah” dan “Akibat Dadah”. Seperti Yong Chin, Ediazrul juga aktif menyertai pelbagai pertandingan dan berhasrat untuk bergiat dalam bidang perfileman setelah tamat belajar kelak. Beliau merupakan pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Media [Penyiaran].

UTAR Petaling Jaya pula merangkul kategori Anugerah Juri melalui filem “Thriller” karya Leong Khang You dan Foo Hui Bin.

Pertandingan antara Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini dianjurkan oleh Institut Intergriti Malaysia [IIM]. Ia mendapat 15 penyertaan daripada enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Isu-isu semasa yang diketengahkan oleh mahasiswa berkenaan, antaranya seperti plagiat, penagihan dadah, perpaduan, budi bahasa, jenayah dan integriti kewangan.

Syabas kepada para pemenang. Semoga ada di antara mereka, bakal mewarnai industri perfileman tanahair dengan filem-filem yang berkualiti terutama dalam  genre Islamik, memandangkan ada di antara mereka datang dari IPT berteraskan Islam.

[Nota : IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat]

Wednesday, September 19, 2012

CREATIVE CONTENT INDUSTRY GUILD [CCIG]

Dialog Industri Kandungan Kreatif, yang berlangsung di Finas, Hulu Kelang, semalam, agak 'panas' apabila pembikin filem terkenal, Othman Hafsham meluahkan kemarahannya terhadap  stesyen televisyen. Othman yang juga penerbit televisyen memberitahu bahawa para pengamal di sektor televisyen, sudah lama tertindas. Beliau sebelum ini pernah lantang dalam beberapa kenyataannya dan pernah menyaman stesyen televisyen. 

Luahan hati Hafsham mendapat tepukan gemuruh para hadirin. Beliau kemudiannya meninggalkan majlis, kerana mahu menghadiri satu majlis lain di Radio Televisyen Malaysia [RTM]. Hafsham pernah menyentuh hati masyarakat Malaysia dengan karya yang dikenali ramai  seperti filem Adik Manja dan  Mekanik,  serta sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sekitar tahun 80-an dan 90-an. 

Sementara itu,  pelakon terkenal, Rosyam Nor, menyatakan pendirian "tunggu dan lihat" ketika merumuskan sesi dialog anjuran Creative Content Industry Guild [CCIG] itu. Rosyam yang juga penerbit televisyen, diundang sebagai salah seorang ahli panel. Rosyam  mengakui  "fed-up" dengan pelbagai permasalahan di dalam industri yang tidak pernah selesai sejak 20 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau tetap mengajak hadirin meletakkan "Harapan Terakhir" kepada CCIG dan berharap agar harapan itu menjadi sesuatu yang berkekalan. Rosyam yang menyertai  industri sebagai pekerja am pada usia 18 tahun, kini bergelar jutawan melalui penglibatannya di dalam pelbagai aktiviti industri.

Aktres, Datin Sofea Jane turut menjadi ahli panel. Ketika merumuskan hujahnya, Sofea berkata, pengamal industri sekarang seolah tersekat oleh "Glass Ceiling" dan tidak tahu ke arah mana hendak dituju. Biarpun pihak kerajaan ada membantu, tetapi pengamal sendiri perlu menentukan matlamat yang ingin dicapai. Katanya, hanya dengan "bersatu", membolehkan pengamal industri mencapai matlamat dengan lebih cepat. Sofea merupakan primadona tahun 90-an. Beliau paling diingati melalui persembahan yang "outstanding" dalam filem Perempuan, Isteri & ....  Tahun 2004, beliau kembali ke layar perak sebagai Tun Teja dalam filem epik Puteri Gunung Ledang.

CCIG ditubuhkan pada tahun lalu dengan bantuan kerajaan sepenuhnya di bawah Program Transformasi Ekonomi. Tujuannya untuk mempertingkatkan "modal insan" di dalam industri kandungan kreatif. Ia merupakan sebuah "guild" yang akan menyatukan semua pengamal industri dalam menuntut hak dan kebajikan. Bagaimanapun, pada peringkat awal, tumpuan hanya diberikan kepada tiga profesyen iaitu Penulis Skrin, Pelakon dan Pekerja Belakang Tabir.

Antara isu yang kritikal adalah kadar upah yang rendah; waktu bekerja yang panjang; tiada royalti [residual]; tiada kontrak yang standard; dan tiada pemilikan hakcipta ke atas karya bagi penulis atau pencipta isi kandungan [content creator a.k.a. pencipta idea asal].

Nota : Glass Ceiling adalah istilah ekonomi yang merujuk kepada halangan-halangan buat golongan minoriti untuk naik ke tahap yang lebih tinggi. Pada mulanya, istilah ini merujuk kepada golongan wanita yang sukar meningkatkan kerjaya mereka akibat penguasaan kaum lelaki. Sekarang, istilah ini turut terpakai untuk kaum lelaki dari golongan minoriti.


Hafsham Mengamuk di CCIG 2012

Saturday, August 25, 2012

KARYA TERBAHARU, HANYA PADA-MU

Selamat Hari Raya buat pengunjung blog ini. Maafkan jika ada silap dan salah. Saya bercuti di kampung sejak Khamis minggu lalu. Hari ini kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambung kerja penulisan skrip yang tertangguh. Kisahnya berjudul Hanya Pada-Mu, untuk slot Zehrah, TV3, pada setiap Jumaat, 9 malam. Pada masa ini, slot berkenaan sedang menyiarkan drama bersiri Naziha.

Pada dasarnya, slot Zehrah ini bertemakan keagamaan. Bagaimanapun, pihak televisyen mahukan pengisian  yang ringan, santai dan menghiburkan untuk slot ini. Mesej agama pula, mesti disampaikan secara tersembunyi, tersirat dan halus. MEREKA mahukan isinya lebih kepada memberi inspirasi dan bukannya 'berdakwah', 'memaksa' atau 'berkhutbah'.

Hanya Pada-Mu diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd, yang sebelum ini berjaya dengan drama bersiri seperti Kekasih Ku Seru, Nur Kasih dan Juvana. Hanya Pada-Mu dijangka menemui penonton pada November ini, InsyaAllah....


Lagu Sempena Hari Raya - untuk memperingati tempat asal