Monday, December 29, 2008
SELAMAT TAHUN BARU 1430H
Salam Maal Hijrah. Hari ini tahun baru. Dari segi peribadi, saya berazam untuk lebih menjaga kesihatan dan mengawal perbelanjaan harian. Dari segi kerjaya, saya mahu melupakan kekecewaan terhadap karya-karya yang ditolak, tidak diteruskan lagi atau masih tertangguh tayangannya. Saya mahu memandang ke hadapan iaitu terhadap karya-karya baru yang sedang diusahakan untuk tahun 2009. Tentang TBM 2, kertas cadangannya sudah pun berada di meja pegawai RTM sejak November lalu. Namun, sehingga kini belum ada sebarang keputusan. Dan cuti yang banyak di hujung tahun menyukarkan Suryati, penerbit eksekutif, membuat susulan kepada pegawai yang berkenaan. Justeru, sama-sama lah kita nantikan keputusannya kelak. Mudah-mudahan tahun ini kita mendapat berita gembira, InsyaAllah.
Thursday, December 25, 2008
CINTA TERAKHIR-BUKAN YANG TERAKHIR
"Cinta Terakhir" adalah skrip filem pertama saya. Skrip ini ditulis ketika saya masih ‘budak hingusan’ dalam industri filem dan drama tempatan. Tajuk asalnya (working title) adalah "Puisi Cinta Terindah". Dan ia terpendam selama lima tahun di meja beberapa penerbit. Hanya pada hujung 2005, ada penerbit yang sudi ‘roll’ skrip berkenaan. Tayangannya dijadualkan pada Disember 2006. Namun, di saat-saat akhir, penerbit menarik tayangannya dari pawagam kerana beberapa masalah. Kini, setelah dua tahun, filem itu masih tidak menemui penonton.
Cinta Terakhir adalah yang pertama, tetapi ia bukan yang terakhir. InsyaAllah saya akan menghasilkan satu lagi naskah untuk filem sekiranya waktu mengizinkan.
Sila lawati blog http://www.filem-cinta-terakhir.blogspot.com
Wednesday, December 17, 2008
JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 4
Penulis skrip bekerja dalam batasan masa dan bajet yang terhad. Biasanya, jarak masa antara tarikh kelulusan konsep dengan tarikh tayangan ( TX) sangat dekat. Kerap berlaku penulis skrip memberikan 'kuah' sahaja kepada konsep yang pada awalnya ber'isi'. Alasannya, "tak sempat research". Karya itu kemudiannya diburukkan lagi oleh pembikinan (the making) yang dibuat tergesa-gesa kerana mengejar TX.
Faktor bajet pula, lazimnya berkaitan dengan latar. Mungkin Siti Jarum lupa bahawa industri kita tidak seperti Hollywood yang mampu mencipta 'mock-up' tanah runtuh di dalam studio. Jika mahukan pengambaran di latar sebenar, pihak berwajib tentu tidak membenarkannya buat masa ini. Ini adalah halangannya. Tidak hairan lah kalau kita lihat ada skrip televisyen karya penulis sastera yang juga tidak sehebat mana dari segi isi dan persembahannya. Ada di kalangan mereka, pemenang anugerah sastera dan mantan peserta Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa Pustaka. Ini juga satu fakta yang tidak disedari oleh Siti Jarum.
Sebagai rumusan, penulis sastera mampu menulis apa jua yang terilham di kalbu masing-masing. Tiada batasan dari segi konsep, jangkamasa penghasilan karya dan kos pembikinan karya. Sedangkan penulis skrip mempunyai batasan ini. Pun begitu, pada dasarnya, penulis skrip dan penulis sastera bekerja untuk medium yang berbeza matlamatnya. Sastera bertujuan mematangkan pemikiran khalayak. Manakala televisyen bertujuan mengaut keuntungan maksima melalui ratings.
JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 3
Ada satu fakta yang Siti Jarum harus faham. Penulis skrip bekerja secara berpasukan. Pasukan ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang pendidikan, tahap ilmu, pemikiran dan budaya kerja. 'Figure' paling dominan dalam pasukan ini tentunya eksekutif stesyen. Dalam menentukan sesuatu konsep samada ringan atau berat, berfikir atau tidak, berjiwa atau tidak, suara eksekutif stesyen adalah suara nombor satu. Nombor dua adalah suara pemilik syarikat penerbitan dan eksekutif-eksekutifnya. Nombor tiga adalah pengarah. Suara penulis skrip biasanya berada di tempat keempat. Ini lah hiraki suara yang terlibat semasa proses pembentukan konsep. Seterusnya, pengambaran. Waktu ini, penulis skrip sudah tidak lagi mempunyai apa-apa lesen. Segalanya bergantung kepada kreativiti, tahap ilmu, kefahaman, pemikiran, disiplin dan budaya kerja si pengarah. Dia lah yang mentafsir dan menterjemahkan sesebuah karya. Ini bermakna, selain penulis skrip, ada tiga pihak yang turut bertanggungjawab menentukan apa yang lebih - samada isi? Atau kuah?
JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 2
Kebanyakan penulis skrip berpendapat Siti Jarum tidak wajar membandingkan penulis skrip TV dengan penulis sastera. Biarpun kerjanya sama iaitu menulis, namun matlamat dan pendekatannya berbeza. Matlamat TV adalah keuntungan maksima melalui pendapatan iklan. Pendapatan ini bergantung kepada jumlah penonton (ratings). Dan majoriti penonton mahukan hiburan, bukan mahu berfikir. Sekiranya mereka mahu berfikir, mereka akan mencari buku-buku berkualiti. Buku-buku sastera pastinya.
Ini lah pendirian stesyen televisyen terutama stesyen swasta pada masa kini. Stesyen kerajaan pula 'terpaksa' menununjukkan sedikit sifat tanggungjawab dengan mempersembahkan beberapa kerat program yang ber'isi' dan 'berfikir'. Justeru, tidak ramai yang tahu bahawa penulis skrip kita mampu melahirkan konsep yang ber'isi' dan 'berfikir'. Namun, kertas konsep itu sering terbiar begitu sahaja di meja eksekutif stesyen. Ada yang berjaya dipanggil untuk persembahan atau lontaran idea (sering disebut pitching). Akan tetapi ia gagal dengan alasan, "berat". Ramai penulis skrip gagal sewaktu pitching kerana mereka tidak peka bahawa stesyen mahukan drama ringan dan hantu-mantu. Mungkin Siti Jarum tidak pernah bertemu dengan penulis skrip yang gagal ini. Jumlah mereka ramai juga!
Tuesday, December 16, 2008
JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 1
Ahad lalu, 14 Disember, Siti Jarum (Ku Seman?) telah mencubit manja penulis skrip drama Melayu tempatan. Drama Melayu tempatan dikatakan lebih kuah dari isi, disolek cantik, ketandusan idea dan cerita yang baik. Drama korporatnya pula superfisial dan terlalu berkarat. Beliau menyelar penulis skrip sebagai orang yang tidak membaca karya sastera, mengulang dialog yang sama beratus kali, tidak berfikir, terperangkap dalam pemikiran yang beku dan stereotype. Karya mereka juga tidak menghubungkan jiwa mereka dengan jiwa penonton. Siti Jarum kemudiannya menyarankan penulis skrip membaca karya sastera bagi mendapat idea yang matang dan segar. Selain itu, turut mencadangkan agar penulis skrip membuat adaptasi karya-karya sastera terutama cerpen yang tersiar di akhbarnya. Namun, menasihati penulis skrip agar meminta izin pemilik karya sastera itu terlebih dahulu. "Jangan main rembat sahaja," katanya di akhir pojok.
Saya sempat mendapatkan reaksi beberapa rakan penulis skrip. Ada yang menerima pandangan ini dengan positif. Dan menjadikan 'cubitan' ini sebagai satu cabaran. Memang pun selama ini kami bekerja dalam suasana yang 'tercabar' dan 'mencabar'.
Monday, December 15, 2008
ADAPATASI “APABILA ALAM BERBICARA” – PART 5
Apabila kertas cadangan (concept paper) AAB di bawa ke stesyen televisyen, berkemungkinan pihak stesyen meminta plot utama berkisar kepada kisah cinta Prof Jiwa Alam-Maryam Isabella. Dan perjuangan alam sekitar mereka dijadikan sub-plot. Berdasarkan pengalaman saya, ini memang selalu terjadi. Agensi AC Neilsen merekodkan jumlah penonton tinggi untuk cerita cinta lelaki perempuan dengan jalan cerita mudah, tidak rumit, tidak memberatkan minda. Ini hakikat. Stesyen akur kepada kehendak penonton demi menarik pendapatan melalui iklan. Dan penerbit harus akur pada stesyen. Kemungkinan ini juga akan menjejaskan kredibiliti AAB. Namun, ada banyak cara untuk menyelamatkan AAB dari menjadi mangsa stesyen. Antaranya dengan membawa cadangan adaptasi ini ke stesyen kerajaan, bukan ke stesyen swasta. Biasanya, stesyen kerajaan akan lebih bertanggungjawab menerapkan aspek pembangunan insani dalam sesebuah karya.
Saya tidak menolak karya ini untuk diadaptasi. Cuma saya melihat ia pasti membabitkan kos yang tinggi untuk latar. Kemungkinan kosnya tidak mampu ditanggung oleh penerbit. Di Malaysia stesyen membayar maksima RM105,000 untuk telemovie 90 minit. Kedua, penulis skrip perlu lebih banyak bekerja menambah material bagi mencukupkan visual dan durasi. Akhir sekali, kemungkinan yang tidak enak (minta dijauhkan) bahawa eksekutif stesyen akan campurtangan bagi menjadikannya ada tarikan komersil. Jika ini berlaku (memang selalu berlaku!), kewibawaan AAB sebagai karya sastera yang baik pasti tercalar di kaca TV.
Subscribe to:
Posts (Atom)
