Sunday, July 24, 2011

RABU INI DI SALURAN AL-HIJRAH...

Televisyen al-Hijrah, sebagai saluran yang baharu, turut menyajikan rancangan bual bicara bertajuk BICARA setiap Rabu, 9.30 malam. Sejak ia bersiaran, pelbagai topik yang penting untuk ummah telah dikupas seperti ISLAMOPHOBIA, DAKWAH SAUDARA BARU, PEMIMPIN GLOBAL, MEDIA ISLAM, INDUSTRI FILEM ISLAM dan sebagainya.
Rabu ini, 27 Julai, penerbitnya sekali lagi memilih topik berkaitan filem bertajuk "PEMIKIRAN DALAM FILEM".
Saya telah dijemput sebagai ahli panel bersama pengarah dan penulis skrip Syamsul Yusuf, Farid Kamil dan Zabidi Mohamad. Program ini dikendalikan oleh pengantara Nizal Mohamad dan akan bersiaran selama satu jam.
al-Hijrah juga boleh ditonton melalui saluran 114 sekiranya menggunakan platform Astro.

Friday, July 8, 2011

5 Julai…5 minit…50 ahli panel…

Pada 5 Julai lalu, idea yang layak ke saringan kedua ‘pitching TV3’ diberi masa lima minit sahaja untuk dilontarkan di hadapan kira-kira 50 orang panel yang terdiri daripada bos-bos besar Media Prima Berhad, bos-bos kecil dan para penaja dari luar. Sesi itu berlangsung di hotel KL Hilton Sentral.
Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, saya sentiasa gagal membuatkan TV3 menerima idea yang dibawa oleh saya. Akur.
Apa pun, saya berpegang kepada rezeki di tangan Tuhan. Sebagai contoh, cadangan drama yang diambil inspirasi daripada kisah dalam al-Quran, tentang nabi Yunus Alaihis Salam, telah tidak dipanggil ke saringan kedua di Hotel Carcosa Seri Negara, tahun lepas. Namun, pada tahun ini, tiba-tiba sahaja saya mendapat panggilan daripada penerbit, mengatakan cadangan itu lulus, tetapi hanya untuk telefilem sepanjang 90 minit. [Cadangan asal untuk drama bersiri 26 episod x 1 jam siaran = 26 jam] Alhamdulillaaaaahhh…biarpun durasinya pendek, asalkan diterima, syukur....
Semoga berjaya kepada rakan penulis yang terpilih pada 5 Julai lalu…