Monday, June 25, 2012

ANDAI KU TAHU....TV9, SETIAP ISNIN & SELASA, 8.30 MALAM


"...Hanya kesabaran  dan kasih sayang seorang wanita, dapat lembutkan hati keras seorang lelaki..." 

Ini hasil terbaharu untuk Slot Ratu TV9 yang bertemakan kewanitaan. Tahun lalu, saya menulis Nora Elena untuk Slot  Akasia TV3 yang juga bertemakan kewanitaan.

Andai Ku Tahu merupakan genre ‘melodarama’. Sesuai untuk kakak-kakak, makcik-makcik dan anak-anak gadis mereka. Tetapi, rasanya abang-abang juga boleh ‘melayan’ drama ini, kalau mereka sanggup ketepikan sedikit ‘ego’ itu. 

Berdasarkan maklumbalas Nora Elena pada tahun lalu, kaum suami menontonnya setelah melihat si isteri gigih mengadap televisyen pada waktu Magrib [tentunya dengan rasa berdosa kerana melewatkan solat!] ketika ia bersiaran untuk pertama kali. Ada kaum ibu singgah membeli lauk  ‘ready made’ dalam perjalanan pulang dari pejabat. Ada kaum ibu  berulang-alik dari dapur ke ruang tamu dengan senduk  di tangan  kerana tidak mahu ketinggalan babak penting. Manakala lelaki bujang mengetahuinya melalui perbualan gadis-gadis di sekeliling mereka. Ketika kaum bapa tertarik untuk mengikuti konflik rumahtangga dalam Nora Elena, lelaki bujang memberitahu, mereka menontonnya semata-mata kerana wajah ayu heroinnya Siti Saleha Baharom dan gelagat ‘gedik manja’ pelakon pembantu, Wan Sharmila.

Lalu ketika mesyuarat Andai Ku Tahu dengan eksekutif TV9, mereka mengharapkan drama ini juga menjadi seperti Nora Elena. Pertama, “talk of the town [bualan ramai]”. Kedua, “menangkap di hati”, kata salah seorang dari mereka sambil mengenggam jari jemarinya dan meletakkan ke dadanya sendiri. Harapan mereka membuatkan saya ‘cuak’ tiba-tiba.  Bilik mesyuarat itu pun ditinggalkan dengan perasaan takut hendak menulis. 

Andai Ku Tahu sudah bermula minggu lepas. Malam ini, Isnin, 25 Jun, jam 8.30, akan bersambung episod kedua.  Kesemuanya 14 episod. Ia diarahkan oleh Heykal Hanifah dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd. Idea asal ditulis oleh bos besar Radius One sendiri yang juga seorang penulis dan pengarah muda berbakat besar, Shahrulezad Mohameddin. Pendukung watak terdiri daripada Natasya Hudson, Faezah Elai, Ezany Nizariff dan Tengku Ismail. 

Jangan lupa, episod kedua malam ini. Semoga ia memberi manafaat.

No comments: