Saturday, June 22, 2013

ADAPTASI KARYA SASTERA KE FILEM & TV





Minggu hadapan, Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menganjurkan Bengkel Adaptasi Karya Sastera ke  Filem & Drama TV. Penganjuran kali kedua untuk tahun ini, mengekalkan pembimbing yang sama iaitu saya dan penulis skrip/penggiat sastera terkenal, Siti Jasmina Ibrahim. 

Bengkel yang bermula pada 27  hingga 29 Jun ini turut menampilkan dua tokoh sebagai tetamu iaitu Sabri Yunus dan Encik Kamarudin Ambak daripada Unit Drama RTM.  Kedua tokoh ini diberi satu slot sebagai pembuka dan penutup bengkel ini.

Sabri Yunus merupakan karyawan yang telah mengangkat novel sastera, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhuan ke telemovie untuk slot Tayangan Hebat, Astro Box Office saluran 952 yang bersiaran di sepanjang Jun ini.

Kamarudin Ambak pula terlibat dalam pelbagai program adaptasi karya sastera ke televisyen yakni saluran TV1, antaranya seperti Sangheeta karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Seramai 30 peserta dijangka hadir dalam bengkel selama tiga hari ini, di Hotel Star Point, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali ketiga saya diundang sebagai pembimbing skrip oleh pihak DBP.  Manakala pentauliahan sebagai 'Munsyi Dewan' diberikan pada April lalu.

Kepada mereka yang terpilih menyertai bengkel ini, jumpa di sana untuk berkongsi ilmu.

Semoga bermanafaat!



No comments: