Ezad dan Fazli merangkul tropi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010 |
Drama-drama terbitan syarikatnya, Radius One Sdn Bhd ini, sering bertemakan hubungan kekeluargaan. Ia berligar sekitar perselisihan ahli keluarga kerana perbezaan prinsip, berkecil hati, membawa diri dan akhirnya pulang ke pangkuan masing-masing untuk saling memaafkan dan melupakan sengketa lalu. Biasanya, tiada watak jahat [hitam] atau baik [putih]. Beliau lebih cenderung mempersembahkan watak-watak kelabu yang mana sesuatu watak boleh jadi baik berdasarkan situasi/prinsip tertentu dan boleh jadi jahat berdasarkan situasi/prinsip yang lain pula. Setiap tindakan yang dilihat seolah-olah 'jahat' atau 'kejam' itu, semuanya ada sebab tertentu yang akhirnya membuatkan watak itu tersedar sendiri akan kesilapannya. Pendekata, drama-drama ini sangat 'character driven' [bergerak berdasarkan watak], bukan 'plot driven' [bergerak berdasarkan plot] seperti kebanyakan drama tempatan yang kita lihat di TV.
Tahun ini, Ezad kembali dengan tajuk Ramadan Yang Hilang yang mengangkat perselisihan dua beradik dalam sebuah keluarga kecil. Saya turut membantu menulis, disebabkan kesuntukan masa beliau dalam menghasilkan naskah ini. Kami bekerja dalam masa yang sangat singkat dan tergesa-gesa. Perbincangan dengan pihak TV3 hanya diadakan pada pertengahan April, penulisan skrip bermula pada awal Mei, pengambaran pada hujung Mei dan episod pertama bersiaran pada 26 Jun iaitu dua minggu sebelum bulan puasa.
Ramadan Yang Hilang diarahkan oleh Ezad bersama dengan Ramli Long dan diterbitkan bersama dengan Fazli Haji Baharom. Pelakonnya terdiri daripada Eira Syazira, Syatilla Melvin, Arja Lee, Zamarul Hisyam, Zila Bakarin, Noryati Taib, Zulin Aziz, Ijoi dan ramai lagi.
Untuk makluman kepada pengikut slot Samarinda TV3, mulai tahun ini, waktu siaran slot ini bertambah kepada satu jam berbanding setengah jam pada tahun-tahun sebelum ini.
Jangan lupa...minggu hadapan...minggu akhir Ramadan Yang Hilang!
No comments:
Post a Comment