Friday, May 30, 2014

BELASUNGKAWA…ALLAHYARHAM MARTIAS ALI

Hati masih menangis melepaskan seorang rakan - Martias Ali, satu nama besar dalam  penulisan skrin tanahair - untuk berangkat ke  alam baharu.

Sebaik sampai di Hospital Ampang pada 29 Mei (Khamis) jam 10 malam, saya tidak menjangka yang masanya sudah sampai. Biarpun sebelumnya, jam 7.15  petang, seorang rakan penulis, Sofia Rhyland  menelefon  dengan nada sedih, "They said he got less than 24 hours". Sofia  seperti mengulangi ayat ini beberapa kali sebelum menamatkan perbualan.

Martias pergi pada jam 10.43 malam  - setelah doktor melakukan cardiac arrest selama 15 minit dengan tiada sebarang tindakbalas darinya. Sebelum itu, diagnosis mengesahkan Allahyarham mengidap sejenis kanser darah tahap ke-4.

Saya hanya mampu memeluk dan menggenggam tangan isterinya, Adza Irdawati Adenan. Tiada kata yang mampu diungkapkan ketika itu. Hanya al-fatihah.

Sebelum pulang, Adza sempat berbisik dalam tangisannya - sampaikan pada rakan-rakan bahawa dia mewakili Allahyarham memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap Allahyarham  kepada sesiapa sahaja.

Wajah Allahyarham kelihatan tenang -  berangkat pada malam yang istimewa - malam Jumaat penuh berkah.

Kehilangannya pasti dirasai...


(Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat,  Selangor, selepas Solat Jumaat pada hari ini, 30 Mei 2014. Solat jenazah di Masjid as-Sobirin, AU4, Lembah Keramat, Selangor)










No comments: