Hari ini genap seminggu kita berada di tahun baharu masehi 2015. Rasanya masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada pembaca blog ini. Semoga tahun ini kita semua lebih makmur, sihat dan ceria. Harapan juga agar industri filem dan televisyen kita terus berkembang dalam keadaan ekonomi yang diramalkan 'tidak sihat', demi sesuap nasi.
Apa pun, kita patut bangga dengan prestasi filem-filem tempatan pada tahun 2014. Memang ada peningkatan dari segi kualiti, antaranya seperti Sejoli, The Journey, Kami Histeria, Abang Long Fadil, CEO, Tembus, Dollah Superstar, Gila Baby, Amir dan Loqman Pergi Ke Laut, Lelaki Harapan Dunia, Ophilia, Manisnya Cinta Di Capadocia, Terbaik Dari Langit, dan beberapa judul lagi.
Bagaimanapun, dari segi kutipan tiket di pawagam agak menyedihkan. Tanpa mengambil kira The Journey yang luar biasa kutipannya (RM17 juta), kebanyakannya nampak susah hendak bernafas. Ada yang hanya mengutip sekitar RM200,000 hingga RM300,000 walaupun filem-filem itu bagus.
Hanya Ah Beng The Movie (Bahasa Kantonis) dan Abang Long Fadil berjaya mendapat kutipan melebihi RM4 juta.
Jumlah filem pula meningkat dari tahun sebelumnya iaitu 81 judul berbanding 71 judul pada 2013.
Sementara itu, filem pembuka tirai 2015, salah satunya Suamiku Encik Perfect 10 yang menampilkan Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Ini juga adaptasi daripada novel popular tempatan. Filem arahan Feroz Khan ini diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn Bhd dan Global Station Sdn Bhd.
Semoga 2015 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk filem kita, baik dari segi kualiti mahupun jualan tiket.
Sumber : Laman sesawang FINAS dan Astro Shaw Sdn Bhd.
Wednesday, January 7, 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment