Allahyarham tidak penah mengenali saya. Tetapi saya pernah menegur beliau ketika terserempak di gerai-gerai makan di sekitar AU3 (Ampang Ulu Klang). Sama seperti orang lain yang sudah bersara, beliau sering kelihatan santai seperti tiada perkara penting hendak dibuat. Sementara saya, tergesa-gesa menguruskan keluarga dan kerjaya penulisan. Setelah membungkus lauk dari gerai, bergegas pula untuk menghantar anak-anak ke aktiviti sekolah atau tusyen atau ke mesyuarat.
Selain itu, pernah juga terserempak dengannya di Majlis Ulangtahun Berita Harian beberapa tahun dahulu. Dia berada di hadapan saya ketika menulis namanya besar-besar di buku kehadiran tetamu - ABDUL JALIL SALLEH.
Sekiranya saya sempat berbual dengannya, satu sahaja yang saya ingin beritahu - bahawasanya Mama Juwie adalah salah seorang inspirasi untuk saya menyertai dunia kewartawanan. Tokoh lain yang menjadi sumber inspirasi seperti Adibah Amin, Azah Aziz, A. Samad Ismail dan A Samad Said. Tokoh fiksyen yang mempengaruhi saya pula seperti Clark Kent, wartawan Daily Planet (dari francais Superman)
Saya membaca kolum Auw! Juwie sejak di bangku sekolah. Dan mendengar lirik-lirik ciptaannya dalam lagu-lagu popular. Pernah juga berangan hendak menjadi penulis lirik. Namun, angan-angan itu 'ke laut', walaupun peluang itu sentiasa ada.
Apa pun, tidak penting untuk Mama Juwie tahu yang dia telah mencetuskan sesuatu dalam diri saya ketika zaman remaja dahulu. Kerana sememangnya Mama Juwie telah berjaya menyentuh hati
jutaan insan lain yang pernah melalui zaman 1980-an dan 1990-an, samada melalui tulisannya di ruangan hiburan akhbar Mingguan Malaysia, lirik lagu atau majalah Mangga yang diasaskannya.
Semoga Allahyarham tenang dalam perjalanan menuju ke negeri abadi.
Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment