Saturday, August 15, 2015

MAHU JADI PENULIS? JANGAN! - BAHAGIAN 2

Baik lah, kamu jelas dengan impian kamu iaitu mahu menjadi penulis terkenal dan memandu BMW. Tetapi masalahnya, kamu sukar mencari idea-idea untuk penulisan. Lantaran itu, kamu sentiasa bertanya penulis-penulis yang sudah berjaya sampai ke tahap 'itu', bagaimana mereka mendapat idea untuk menulis sedangkan itu sesuatu yang sangat susah buat kamu.

Berikut ialah jawapan saya :

Bagi mereka yang berasa sukar mendapat ilham untuk menulis, baik jangan menulis terus. Kata lah kamu duduk di hadapan komputer sambil merenung skrin selama dua tiga hari sehingga sengal bahu, sakit belakang atau sakit satu badan dibuatnya. Atau merenung kertas kosong dengan pen di tangan selama berjam-jam tanpa mampu menulis satu perkataan pun. Jika kamu gigih berfikir sehingga keluar darah dari kepala sekalipun, kamu sebenarnya bukan seorang penulis. Jadi, lupakan sahaja niat murni untuk men'jebak'kan diri ke dalam bidang ini. Penulisan kreatif ternyata bukan untuk anda.

Seorang penulis tidak akan sedar dan tahu dari mana ilham itu datang. Ilham buat seorang penulis, muncul dengan tiba-tiba dan mengalir seperti air di sungai yang belum tercemar - yang biarpun disekat dengan apa cara sekali pun, ia tetap akan mengalir. Apabila seorang penulis itu duduk di hadapan komputer, dia biasanya tidak sedar dari mana idea itu datang dan bagaimana untuk menitipkannya. Situasinya sama seperti orang memandu kereta. Pemandu kereta yang berpengalaman, tidak sedar yang dia sedang menekan pedal minyak, brek ketika lampu merah, menukar gear, memberi isyarat dan sebagainya. Semua orang boleh memandu sambil memikirkan hal-hal lain, berbual, menikmati lagu di radio, sehingga lah tiba di destinasi dan mematikan enjin.

Sehubungan itu, jangan menulis jika ada rasa hendak mencari dan mencurahkan idea itu merupakan satu kerja yang sangat payah.









No comments: