Hari ini saya sempat menghadiri seminar percuma tentang pemasaran internet. Seminar ini anjuran tokoh terkenal Asia Tenggara, Fabian Lim. Bagaimanapun, sesi prebiu ini dikendalikan oleh anak didik beliau yang saya tidak ingat namanya. Saya mengetahui tentang seminar ini melalui Facebook, media sosial yang masih berpengaruh buat masa ini.
Sebagai pembuka kata, penceramah bertanya beberapa soalan tentang diri peserta. Antaranya, siapakah yang berjaya mengekalkan azam tahun baharu sampai hari ini, memandangkan suku pertama 2016 akan berakhir dalam masa sebulan sahaja lagi. Tidak ramai yang berani mengangkat tangan termasuk saya!
Awal tahun ini saya tidak menetapkan apa-apa azam memandangkan azam tahun lepas pun awal-awal lagi sudah ke laut! (Sila rujuk entri saya pada September 2015 bertajuk Suku Terakhir 2015 - Berlari atau Berjalan?)
Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan untuk tahun ini iaitu diversify. Dalam kata lain, mahu mempelbagaikan sumber pendapatan. (Sila rujuk entri pada Januari 2015 bertajuk Tahun Baharu 2016 - Antara Dua Kerja, Diversify dan Versatile)
Saya telah menambah satu lagi sumber pendapatan pasif melalui pelaburan saham amanah. Kemudian, menghadiri seminar pelaburan hartanah. Terkini, seminar pemasaran internet. Pada masa yang sama, membuat kajian di internet tentang digital publishing dan minda positif menuju kejayaan. Saya mengunjungi semula tokoh-tokoh yang dikenali melalui buku suatu ketika dahulu seperti Bob Proctor dan Napoleon Hill. Kini, saya menziarahi mereka di Youtube sahaja kerana lebih mudah dan cepat daripada mencari buku yang terperuk dan berhabuk di dalam pejabat.
Dalam konteks mencari ilmu baharu untuk tujuan diversify (kepelbagaian sumber pendapatan), setakat ini saya belum lagi tersasar daripada landasan yang ditetapkan pada awal tahun. Dalam masa dua bulan ini, banyak ilmu baharu dikutip manakala ilmu lama yang sudah layu telah disegarkan semula.
Berbalik kepada azam tahun baharu, saya mula mendapat jawapannya ketika bersenam di taman pagi tadi. Kenapa azam kita selalu kencundang di penghujung Januari? Ini kerana kita terlalu bercita-cita tinggi dalam membuat perubahan diri. Kita meletakkan azam setinggi langit. Apabila kita gagal melakukannya secara konsisten selama 30 hari, kita mula patah semangat. Akhirnya, azam menjadi pekasam sebaik masuk bulan Februari.
Sebaiknya, tetapkan lah azam yang mudah untuk ditunaikan tetapi selaras dengan apa yang kita inginkan. Tumpukan kepada perkara kecil tetapi bermakna. Cuba buat perubahan sedikit demi sedikit, bukan dengan secara mendadak. Mulakan dengan yang paling mudah. Sebagai contoh, kurangkan pengambilan kopi (kafin), solat sebaik masuk waktunya, jangan tangguhkan kerja, tidur sebelum pukul 12 malam, bersenam pada hari Ahad (seminggu sekali sahaja) dan sebagainya. Perkara-perkara yang saya sebutkan ini sering berkaitan dengan tabiat orang-orang di dalam bidang kreatif - satu tabiat yang tidak sihat. Mungkin dengan cara ini kita tidak mudah putus asa apabila azam tahun baharu gagal dilaksanakan.
Jadi, mulakan azam yang kecil sekarang - yang berkaitan dengan tabiat kurang elok atau kurang efektif. Siapa kata azam mesti dibuat pada bulan Januari? Pada saya, perubahan boleh dibuat setiap hari seperti kata pepatah "hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini".
Selamat mencuba, ya.
Tuesday, March 1, 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment