Tuesday, June 14, 2016

MENAMATKAN SUKU KEDUA 2016

Dua minggu lagi berakhir lah suku kedua untuk tahun ini. Bermakna setengah tahun sudah dilalui dengan jaya. Atau pun dilalui dengan  teruk? Sesungguhnya berjaya atau teruk bergantung kepada perspektif masing-masing. Sekiranya kita meletakkan sasaran yang tinggi dan sukar dicapai, tentu kita rasa teruk  sekiranya pada tahap ini, apa yang diinginkan itu masih belum tercapai. Sebaliknya, jika kita meletakkan sasaran yang realistik, mungkin kita sudah mendapatnya sekarang dan boleh lah meraikan kejayaannya. Atau jangan fokus kepada apa yang kita tidak dapat, sebaliknya fokus kepada apa yang diperolehi sejak awal tahun ini dan bersyukur dengannya. Jadi, penting untuk kita meletakkan banyak sasaran yang kecil-kecil dan mudah berbanding satu sahaja sasaran yang besar dan sukar.

Saya telah menetapkan beberapa azam yang kecil-kecil dan sasaran yang sederhana tetapi penting untuk manafaat jangkapanjang samada dari segi kerjaya atau peribadi. Alhamdulilllah setakat ini berjalan lancar. Sesekali ter'kantoi' itu biasa lah....tetapi mujur dapat  cepat-cepat kembali ke landasannya. Antara punca 'kantoi' itu selalunya disebabkan sikap malas, mudah lemah semangat dan banyak alasan.

Penting untuk kita letakkan sasaran untuk satu hari, satu minggu, satu bulan, suku tahun, satu tahun, lima tahun , 10 tahun dan 30 tahun. Wah...30 tahun! Bermakna saya berusia 76 tahun ketika itu! Apa saya nak capai pada usia itu kalau umur panjang? Ya, semua itu perlu difikirkan dan dirasai mulai dari sekarang! Orang yang berjaya telah membuktikan yang mereka mempunyai perancangan terperinci dan jelas untuk setiap fasa kehidupan mereka. Orang yang berjaya sebenarnya telah tahu dari awal lagi yang mereka akan mendapatnya. We are what we think, kata orang putih.

Sasaran saya sebelum 30 Jun ini ialah untuk menyiapkan semua kerja-kerja penulisan skrip yang tertangguh sejak tahun lepas lagi. Semoga berkat Ramadan ini, saya berjaya mencapainya, InsyaAllah.

Bagaimana dengan kalian?

Salam Ramadan.




No comments: