Memasuki suku ketiga tahun ini, saya termenung seketika. Apa tidaknya, gara-gara melihat jumlah pendapatan setakat ini - baki akaun yang berakhir pada 30 Jun. Jumlah ini hanya lah hasil yang digembelingkan daripada aktiviti-aktiviti berkaitan industri kreatif tempatan (termasuk yuran mengajar).
Sekadar makluman kepada mereka yang belum tahu, ahli perniagaan dan syarikat korporat membahagikan setahun kepada empat bahagian dengan tiga bulan setiap bahagian. Tujuannya untuk mengira pendapatan, memberikan dividen (keuntungan daripada pelaburan), membuat unjuran pendapatan untuk bulan-bulan seterusnya dan menetapkan sasaran yang realistik untuk dicapai. Berbeza dengan saya sebelum ini, lumrah seorang penulis, hanya mengira pendapatan setahun sekali untuk tujuan pembayaran zakat. Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran dari segi kewangan. Apa yang terlintas di hati selama ini hanya lah untuk mencari 'job', menerima apa sahaja yang datang dan menulis walaupun kadang-kadang dalam keadaan terpaksa. Justeru, sering saya sebut dalam kelas-kelas penulisan skrip tentang 'menulis kerana hendak membayar bil', sehingga ayat ini menjadi akrab dengan telinga peserta-peserta kelas saya.
Bagaimanapun, saya mula berubah setelah menghadiri seminar hartanah Azizi Ali pada Januari, seminar bisnes merangkap spritual Dr Azizan Osman pada Mei lepas dan berbual panjang dengan jiran saya yang merupakan seorang perunding saham amanah. Banyak yang dipelajari daripada mereka. Berbaloi dengan wang yang dibelanjakan untuk dua seminar oleh nama besar itu.
Saya kini mula berfikir seperti ahli perniagaan dan mengambil serius akan kewangan. Namun, pada masa yang sama, terus memikirkan bagaimana hendak memberikan 'impak' dalam penulisan. Saya kemudiannya mengikuti instagram pakar-pakar motivasi terkenal antarabangsa. Akhirnya menjumpai satu kata-kata perangsang oleh Mel Robins iaitu "To make an income while making an impact". Wahhh, jelas bukan!
Mel Robbins terlibat dalam bidang motivasi sejak 15 tahun yang lalu. Ceramahnya yang terkenal bertajuk "How to Stop Screwing Yourself Over" boleh dilihat di platform Ted Talk (video Youtube) yang sehingga kini mendapat lebih 6 juta tontonan.
Monday, July 18, 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment