Tuesday, August 16, 2016

100 HARI SELEPAS SEMINAR DR AZIZAN OSMAN

Seratus hari telah berlalu. Hari ini saya terpanggil untuk menilai semula sejauh mana perkembangan diri ini selepas menghadiri seminar anjuran jurulatih pembangunan diri terkenal, Dr Azizan Osman. Banyak yang saya pelajari di seminar  tiga hari yang berkaitan dengan bisnes dan spritual itu. Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk menumpukan kepada beberapa perkara sahaja seperti The Power of 21S, L.U.C.K.,  FFA, menukar cara berdoa dan memulakan bisnes dengan apa yang ada di tangan. Hanya mereka yang hadir ke seminar bertajuk Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) itu yang faham apa maksud 21S,  L.U.C.K. dan FFA.

Saya mula mendengar tentang Dr Azizan Osman pada 2011 apabila seorang peniaga pakaian mencadangkan kepada saya supaya pergi ke seminar beliau. Saya masih ingat ayat wanita itu ketika saya membeli sehelai palazo daripadanya, "Awak ni dah meletup dah, tapi kalau nak lagi meletup, pergi lah ke seminarnya". Sayang sekali, tahun itu lah tahun paling sibuk untuk saya apabila tawaran menulis skrip datang bertali arus sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

Zaini Kosnin (kanan/depan) bersama dua rakan industri kreatif,
kak Sri Diah dan suami, abang Ahmad Saabun.
Lima tahun kemudian iaitu pada Februari lepas, saya berbual pula dengan seorang rakan dalam bidang penulisan skrip, Zaini Kosnin melalui aplikasi whatsapp. Saya bertanya beliau, adakah kita mampu menjadi jutawan dengan menulis skrip? Soalan ini rentetan daripada kata-kata seorang penulis skrip hebat dan terkenal kepada saya suatu ketika dahulu bahawa menjadi penulis skrip tidak memungkinkan kita menjadi jutawan. Mengejutkan, Zaini menjawab yang sebaliknya iaitu 'boleh'! Namun, ada 'tetapi' nya, kata Zaini. Tetapi yang dimaksudkan itu ialah ianya 'lambat sedikit', kena buat secara 'berkumpulan' dan kena cari satu model bisnes yang sesuai untuk diaplikasikan di dalam kerjaya penulisan skrip. Zaini kemudiannya mencadangkan supaya saya pergi ke seminar Dr Azizan kerana beliau sudah pun menyertainya sebelum ini.

Keesokan harinya, saya terus menggelidah Youtube untuk meninjau beberapa video oleh Dr Azizan Osman. Satu yang menarik perhatian saya ialah video Live by Design yang merupakan kolaborasi beliau dengan Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Setelah menelaah kesemua video dalam tajuk berkenaan, saya membuat keputusan untuk mengikuti IMKK. Apatah lagi topik-topik itu bukan lah asing bagi saya. Video itu hanya mengingatkan saya kepada perkara-perkara yang saya terlupa dan terlepas pandang sebelum ini. (Bukannya tidak tahu, tetapi tidak mengambil berat mengenainya)

Para peserta IMKK Mei 2016
Bagaimanapun, saya tidak sempat menyertai IMKK pada Mac. Hanya pada Mei saya berjaya menyertainya di tengah-tengah timbunan 'deadline'  bersama rakan penulis skrip, Shahanim Ramli, Ayuni Zamani dan suaminya, Zul Edward yang berkerja sebagai pengurus produksi. Di seminar itu saya bertemu dengan dua orang rakan lagi iaitu Jamiah Syukri, editor  ruangan wanita dan keluarga Berita Harian dan Nik Rashidah yang pernah menyertai bengkel penulisan skrip saya pada 2010. Selebriti lain yang kelihatan seperti Rozita Che Wan dan suami, Zain Saidin serta Norman Hakim. Mungkin ada lagi beberapa muka terkenal yang saya terlepas pandang, maklum lah saya membeli tiket yang paling murah di belakang! 

Dalam tempoh seratus hari ini, saya telah berjaya menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh selama setahun rentetan daripada kekurangan motivasi untuk menulis, kebimbangan terhadap pasaran yang semakin merosot akibat faktor ekonomi  dan tidak yakin dengan industri filem dan televisyen mutakhir ini yang hanya nampak 'gah' daripada luaran, sedangkan dalamannya sarat dengan pelbagai isu yang tidak berkesudahan.

Alhamdulillah, saya selesai membayar 'hutang-hutang' skrip  yang lama tertunggak akibat kelemahan diri sendiri. Kini, saya melangkah ke satu dunia yang baharu iaitu sebagai pengkaji industri. Apakah yang akan dikaji itu dan melalui platform apa, insyaAllah akan dikongsikan di dalam entri yang akan datang.



No comments: