Serasi bersama sebagai ahli panel forum |
Seorang lagi ahli panel, pelakon ' otai' Raja Noor Baizura. Mujur kami pernah bertemu dan berkenalan dalam salah satu pengambaran drama saya sebelum ini. Biarpun perkenalan itu hanya singkat dan sekali sahaja, namun terserlah keserasian di antara kami berdua ketika sesi soal jawab. Mungkin kerana faktor usia dan pengalaman Raja Noor Baizura. Atau mungkin juga kerana nama kami hampir serupa!
Ketika sesi makan, kami sempat berkongsi pengalaman bekerja di dalam industri dengan beberapa pensyarah. Ini mengundang ketawa besar apabila kami menceritakan tatacara kerja yang caca marba, serba kekurangan dan tidak profesional. Sedikit sebanyak perkongsian kami itu membuka mata para pensyarah tentang hal-hal belakang tabir industri - yang sepatutnya kita 'menangis' mendengarnya tetapi kami memilih untuk menceritakan 'tragedi' dengan cara 'komedi'.
Jawapan spontan |
Selang sehari, Astro mengadakan pratonton telefilem Bisik Pada Langit kepada pihak media di GSC Garden Mall, Bangsar. Saya sebagai salah seorang penulis skrip (Seorang lagi Sofia J Rhyland) 'terjebak' di dalam wawancara klip promosi. Banyak soalan tentang proses kreatif. Saya sekadar menjawab apa yang terlintas di fikiran ketika itu kerana tidak menjangka akan diwawancara.
Berkongsi hal peribadi dengan Che Li |
Pada 22 September, saya pula mewawancara penulis skrip berpengalaman, Che Li mengenai karyanya, Che Pa yang akan bersiaran di Astro First tidak lama lagi. Che Pa mengisahkan kehidupan seorang lelaki lembut yang menjadi penari Hadrah di negeri Perlis. Ini untuk esei akademik tentang Hadrah sebagai salah satu genre puisi Islam. Bagaimanapun, kami lebih banyak bertukar cerita tentang diri masing-masing berbanding tentang Hadrah!
4 P : (Dari kiri) Pengkritik, Pengurus, Pelakon, Penulis. |
Tetamu Kehormat : Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaafar. |
Jadi, biar lah September berbicara....