Sunday, October 9, 2016

BIAR LAH SEPTEMBER BERBICARA

Bulan lepas adalah bulan yang menuntut saya bercakap banyak dan kurang menulis. Pada minggu pertama, saya dijemput sebagai ahli panel wacana industri kreatif anjuran pelajar komunikasi massa Kolej Teknologi Timur, Sepang, Selangor. Program komunikasi massa di kolej ini merupakan program berkembar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Serasi bersama sebagai ahli panel forum
Seorang lagi ahli panel, pelakon ' otai'  Raja Noor Baizura. Mujur kami pernah bertemu dan berkenalan dalam salah satu pengambaran drama saya sebelum ini.  Biarpun perkenalan itu hanya singkat dan sekali sahaja, namun terserlah keserasian di antara kami berdua ketika sesi soal jawab. Mungkin kerana faktor usia dan pengalaman Raja Noor Baizura. Atau mungkin juga kerana nama kami hampir serupa!

Ketika sesi makan, kami sempat berkongsi pengalaman bekerja di dalam industri dengan beberapa pensyarah. Ini mengundang ketawa besar apabila kami menceritakan tatacara kerja yang caca marba, serba kekurangan dan tidak profesional. Sedikit sebanyak perkongsian kami itu membuka mata para pensyarah tentang hal-hal belakang tabir industri - yang sepatutnya kita 'menangis' mendengarnya tetapi kami memilih untuk menceritakan 'tragedi' dengan cara 'komedi'.

Jawapan spontan
Selang sehari, Astro mengadakan pratonton telefilem Bisik Pada Langit kepada pihak media di GSC Garden Mall,  Bangsar. Saya sebagai salah seorang penulis skrip (Seorang lagi  Sofia J Rhyland) 'terjebak' di dalam wawancara klip promosi. Banyak  soalan tentang proses kreatif.  Saya sekadar menjawab apa yang terlintas di fikiran ketika itu kerana tidak menjangka akan diwawancara.

Berkongsi hal peribadi dengan Che Li
Pada 22 September,  saya pula mewawancara penulis skrip berpengalaman, Che Li mengenai karyanya, Che Pa yang akan bersiaran di Astro First tidak lama lagi. Che Pa mengisahkan kehidupan seorang lelaki lembut yang menjadi penari Hadrah di negeri Perlis. Ini untuk esei akademik tentang Hadrah sebagai salah satu genre puisi Islam. Bagaimanapun, kami lebih banyak bertukar cerita tentang diri masing-masing berbanding tentang Hadrah!

4 P : (Dari kiri)  Pengkritik, Pengurus, Pelakon, Penulis.
Dua hari kemudian, diadakan lagi pratonton Bisik Pada Langit di HELP University, Subang Bestari. Sesi soal jawab melibatkan bos saluran, Saniboey Mohd Ismail, saya sebagai penulis skrip dan pelakon Umi Nazeera serta Beto Kusyairi. Kali ini saya membuat persediaan tentang proses kreatif. Justeru, saya menjadi seolah-olah 'Pak Jabit' mendapat 'mikrofon'! Selepas acara, saya ditegur oleh bos yang tidak sangka saya ini 'banyak cakap!' Moderator sesi itu tidak lain tidak bukan, pengkritik filem, Pak Hassan Mutalib yang memberikan komentar positif tentang Bisik Pada Langit.


Tetamu Kehormat : 
Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaafar.
Pada minggu terakhir, saya dan sahabat saya, penulis skrip terkenal lagi berwibawa, Siti Jasmina Ibrahim mengendalikan bengkel penulisan skrin di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Sambutan cukup menggalakkan  dari segi kehadiran dan penglibatan peserta di sepanjang bengkel berlangsung. Hampir semua peserta menunjukkan minat yang mendalam dan semangat yang membara melalui soalan-soalan yang diutarakan kepada kami berdua.  Alhamdulillah, semua peserta sungguh ceria dan 'sporting' terutama ketika sesi bergambar.

Jadi, biar lah September berbicara....











2 comments:

Unknown said...

Puan Maizura, saya adalah pelajar USM yang telah menghadiri bengkel dan Kelas Puan. Mohon jasa baik Puan untuk memberi alamat email Puan untuk saya berurusan dengan Puan. Thank You...

Maizura Mohd Ederis said...

Vani Rajh,

Emel saya maizuraederis@gmail.com

Boleh juga inbox di fan page saya Maizura Mohd Ederis.


Terima kasih, ya.