Wednesday, November 2, 2016

PECUTAN DI SUKU TERAKHIR 2016

Tatkala ini anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat hari lagi sedang melalui apa yang dinamakan sebagai Pecutan Terakhir SPM 2016. Selamat maju jaya diucapkan buat anak-anak kita!

Situasi yang sama mungkin berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai sasaran tertentu di dalam kerjaya atau kerja masing-masing. Tinggal dua bulan sahaja lagi untuk 2016 melabuhkan tirai. Mungkin ada beberapa sasaran untuk tahun ini yang belum tercapai. Mungkin kita mahu berhempas pulas untuk mencapainya sebelum 'count down' 2017?  Atau mungkin kita tidak punya apa-apa sasaran selain daripada menunggu bonus masuk ke dalam akaun dan boleh lah pergi bercuti di mana-mana tempat yang bersesuaian dengan jumlah bonus itu.

Hakikatnya, ada perbezaan di antara kerja dengan kerjaya. Kerja mungkin dilakukan oleh seseorang sekadar untuk memenuhi keperluan harian seperti makan minum, membayar ansuran rumah, kereta, bil-bil dan menghantar anak ke sekolah. Sedangkan kerjaya dilakukan untuk mendapatkan kepuasan peribadi. Orang yang bekerja mungkin tidak begitu gembira dengan kerjanya dan mungkin melakukannya kerana terpaksa - demi wang. Sebaliknya, orang yang mempunyai kerjaya selalunya lebih gembira dengan apa yang dilakukannya dan melakukannya dengan ikhlas tanpa dipaksa. Kewangan dan lain-lain ganjaran fizikal bukan lah matlamat utama buat golongan ini.

Pada kebiasaannya, orang yang bekerjaya akan meletakkan sasaran tertentu di dalam setiap tugasan dan mementingkan hasil jangkapanjang berbanding hasil jangkapendek. Orang yang bekerjaya juga mempunyai impian yang besar berbanding dengan orang yang bekerja. Orang yang bekerjaya bangga dengan kerjayanya manakala orang yang bekerja kadang-kadang atau kerap kali rasa menyampah dengan kerjanya.

Akhir sekali, orang yang bekerjaya menganggap bos sebagai mentor yang dikasihi dan diperlukan sepanjang masa. Sedangkan orang yang bekerja mungkin akan sentiasa mencari akal untuk mengelak daripada bos, 'ciluk' atau 'mengular' ketika bos tiada.

Di dalam kategori manakah kita? Tepuk dada dan rasa sendiri di dalam hati....


No comments: