Saturday, December 31, 2016

LUPAKAN AZAM TAHUN BAHARU!

Mungkin ramai yang tidak sabar-sabar hendak memasuki tahun baharu, esok. Apa tidaknya, tahun baharu selalunya membawa semangat baharu. Saya juga tidak sabar kerana ini lah masanya untuk membuat pelbagai perancangan.  (Walaupun perancangan tahun lepas masih tidak terlaksana!)

Seperti tahun-tahun yang lepas, saya tidak mempunyai apa-apa azam yang spesifik. Sebaliknya, mempunyai hasrat yang sederhana. Sebagai contoh, dua tahun lepas, saya berhasrat untuk berehat daripada kerja-kerja penulisan. Kononnya mahu menumpukan kepada beberapa aspek lain yang lebih penting dalam kehidupan. Memang benar saya menggantung pen selama lima bulan. Namun, terpaksa menulis semula dengan aktif setelah akaun bank menunjukkan tanda-tanda tidak sihat! (Rujuk entri September 2015 bertajuk SUKU TERAKHIR 2015... BERLARI ATAU BERJALAN?)

Pada tahun ini (2016), saya kononnya mahu mempelbagaikan sumber pendapatan. Jadi, saya memilih dua perkataan Inggeris yang sesuai iaitu diversify dan versatile. (Rujuk entri Mac 2016 bertajuk KENAPA AZAM TAHUN BAHARU SERING KECUNDANG?)  Rentetan itu,  saya sibuk menghadiri pelbagai kursus di luar bidang penulisan. Antaranya seperti keusahawanan, kerohanian, pemasaran internet, kurus membina laman web, Neuro Linguistic Programing (NLP), pelaburan hartanah, pelaburan emas dan NLP spiritual. Tahun ini memang tahun yang menarik dan membuka minda! (walaupun topik-topik ini mungkin sudah basi bagi sesetengah orang)

Apa yang menarik pada tahun ini ialah kemunculan satu tabiat yang baharu iaitu bersenam. Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan rutin bersenam seminggu sekali sejak awal tahun ini sehingga lah ke hari ini. Itu pun setelah membaca buku bertajuk The Power of Habit oleh Charles Duhigg.  Buku ini menjelaskan dengan terperinci tentang apa yang mempengaruhi tabiat manusia. Kandungan buku ini lengkap dengan kajian saintifik dan ujikaji makmal. Ia terbahagi kepada tiga bahagian - menukar tabiat diri sendiri (sesuai untuk individu ), menukar tabiat ahli-ahli dalam sesebuah organisasi (sesuai untuk syarikat  korporat) dan menukar tabiat anggota masyarakat (sesuai untuk persatuan atau NGO). Memang buku ini memberi manafaat walaupun saya hanya membaca bahagian pertama!


Justeru apa pula untuk tahun 2017?


Setelah berjaya mengekalkan tabiat bersenam, kini saya berhasrat untuk tidur sebelum jam 12 malam. Tidur yang terbaik ialah tidur sebelum tengah malam. Ini fakta. Jadi, waktu tidur juga perlu dipanjangkan untuk tahun hadapan (mulai esok, ya). Kalau dahulu, tidur empat jam sehari sudah dianggap mewah, kini akan dipastikan tidur tidak boleh kurang daripada enam jam, InsyaAllah.

Masih tentang azam, semalam saya terbaca satu artikel tulisan Dr Cathleen O'Connor dari Amerika Syarikat di internet. Dr Cathleen mempunyai saranan yang lebih baik daripada  azam (yang kemudiannya menjadi 'pekasam'!) Beliau menyarankan kita menyemak semula kehidupan kita berdasarkan apa impian kita. Kemudian, gabungkan impian dengan tema tertentu untuk setahun. Sebagai contoh, beberapa tahun lepas, Dr Cathleen memilih tema simplifying my life. Berdasarkan tema ini, beliau telah me 'nyah' kan apa sahaja barang yang tidak digunakan yang  dianggap sebagai  'menyemak' di dalam rumahnya.  Misi 'mempermudahkan hidup' ini merangkumi memotong keahlian pelbagai persatuan atau organisasi yang tidak efektif, menyelesaikan hutang-hutang yang bertaburan, melupakan projek-projek terbengkalai yang tidak selaras dengan impiannya, malahan sanggup memutuskan hubungan dengan orang-orang yang tidak membantu mencapai impiannya. Pada tahun seterusnya, beliau memilih tema seperti completion - finishing what I start, I'm enough dan yang terkini, releasing the past. Saranan Dr Cathleen tentang impian dan tema tahun baharu agak praktikal untuk diamalkan. Dr Cathleen adalah seorang penulis kreatif, pakar motivasi dan pengacara rancangan radio.

Sehubungan dengan itu, mungkin tema yang sesuai untuk tahun ini ialah health is wealth! (meminjam ayat ejen insuran saya satu ketika dahulu)

Semoga tahun 2017 bakal membawa kemudahan dan keberkatan buat kita semua.


Nota kaki : gambar-gambar di atas telah dicuri daripada internet!

Friday, December 23, 2016

ANUGERAH TELENOVELA LAH PULAK!

Sidang media untuk memperkenalkan anugerah ini di FINAS.
Saya mendapat tahu tentang kewujudan Anugerah Telenovela pada Mac tahun ini apabila dua drama tulisan saya -  Cinta Pandang Ke-2 dan Dalam Iradat-Mu, menjadi antara 25 tajuk yang bersaing di pusingan awal. Kedua-duanya bersiaran pada tahun 2014.

Novel Cinta Pandang Ke-2 kelihatan di antara novel-novel lain.
Menurut berita di atas talian ketika itu,  anugerah ini dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, FINAS dan beberapa organisasi lagi. Penyertaannya hanya melibatkan drama-drama televisyen  dan filem-filem yang diadaptasikan daripada novel. Menurut sumber yang sama ketika itu, majlis penyampaian trofi kepada pemenang akan diadakan pada bulan Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, tidak ada khabar berita lagi selepas itu. Saya sendiri tidak mengikuti perkembangannya lantaran sibuk dengan tugas-tugas harian. 

Sehingga lah pada minggu lepas, rakan-rakan penulis skrip memaparkan senarai pusingan akhir (lima teratas) bagi setiap kategori di grup whatsapp  Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS). Ramai yang terpinga-pinga kerana tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Malahan, penulis skrip yang berjaya ke pusingan akhir juga tidak mendapat sebarang undangan.

Setelah disiasat, baharu lah kami mendapat tahu bahawa anugerah ini telah ditangguhkan selama setahun. Namun, terlaksana juga sempena Ekspo Buku Malaysia di PWTC  pada 14 hingga 18 Disember lepas. 

Drama Tuan Anas Mikhail terbitan Pena Creative Sdn Bhd berjaya membolot hadiah-hadiah utama dalam pelbagai kategori. Drama lain yang turut menyerlah seperti Teman Lelaki Upahan, Hati Perempuan, Hello Mr Perfect dan Cik Bunga & Encik Sombong. Dalam Iradat-Mu pula memenangi kategori Telenovela Popular. 

Gambar ihsan penerbit!
Dalam Iradat-Mu diadaptasikan daripada novel karya Hana Ilhami bertajuk Ya Maulana, terbitan Karya Seni Sdn Bhd. Drama rantaian ini disiarkan di saluran TV Al Hijrah  (114) sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun 2014 iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam lima petang.

Selepas tamat tayangan 13 episod, drama arahan Allahyarham Ke-Oi Haji Khalid ini telah diulang tayang beberapa kali di saluran yang sama. Penulisan skrip dibantu oleh Zuli Ismail dan Eja Lorena. Watak utama dilakonkan oleh pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Syiera Ayob.

Al Fatihah kepada arwah Ke-Oi. Semoga arwah mendapat ganjarannya jika ada penonton yang tersentuh dengan pesan-pesan yang baik di sepanjang kisah ini.

Nota kaki :  Dua gambar di atas telah di'curi' daripada laman sesawang FINAS!







SAH! BISIK PADA LANGIT KE PAWAGAM



Jangan lupa, ya.... awal Februari 2017,  katanya......