Friday, December 23, 2016

ANUGERAH TELENOVELA LAH PULAK!

Sidang media untuk memperkenalkan anugerah ini di FINAS.
Saya mendapat tahu tentang kewujudan Anugerah Telenovela pada Mac tahun ini apabila dua drama tulisan saya -  Cinta Pandang Ke-2 dan Dalam Iradat-Mu, menjadi antara 25 tajuk yang bersaing di pusingan awal. Kedua-duanya bersiaran pada tahun 2014.

Novel Cinta Pandang Ke-2 kelihatan di antara novel-novel lain.
Menurut berita di atas talian ketika itu,  anugerah ini dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, FINAS dan beberapa organisasi lagi. Penyertaannya hanya melibatkan drama-drama televisyen  dan filem-filem yang diadaptasikan daripada novel. Menurut sumber yang sama ketika itu, majlis penyampaian trofi kepada pemenang akan diadakan pada bulan Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, tidak ada khabar berita lagi selepas itu. Saya sendiri tidak mengikuti perkembangannya lantaran sibuk dengan tugas-tugas harian. 

Sehingga lah pada minggu lepas, rakan-rakan penulis skrip memaparkan senarai pusingan akhir (lima teratas) bagi setiap kategori di grup whatsapp  Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS). Ramai yang terpinga-pinga kerana tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Malahan, penulis skrip yang berjaya ke pusingan akhir juga tidak mendapat sebarang undangan.

Setelah disiasat, baharu lah kami mendapat tahu bahawa anugerah ini telah ditangguhkan selama setahun. Namun, terlaksana juga sempena Ekspo Buku Malaysia di PWTC  pada 14 hingga 18 Disember lepas. 

Drama Tuan Anas Mikhail terbitan Pena Creative Sdn Bhd berjaya membolot hadiah-hadiah utama dalam pelbagai kategori. Drama lain yang turut menyerlah seperti Teman Lelaki Upahan, Hati Perempuan, Hello Mr Perfect dan Cik Bunga & Encik Sombong. Dalam Iradat-Mu pula memenangi kategori Telenovela Popular. 

Gambar ihsan penerbit!
Dalam Iradat-Mu diadaptasikan daripada novel karya Hana Ilhami bertajuk Ya Maulana, terbitan Karya Seni Sdn Bhd. Drama rantaian ini disiarkan di saluran TV Al Hijrah  (114) sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun 2014 iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam lima petang.

Selepas tamat tayangan 13 episod, drama arahan Allahyarham Ke-Oi Haji Khalid ini telah diulang tayang beberapa kali di saluran yang sama. Penulisan skrip dibantu oleh Zuli Ismail dan Eja Lorena. Watak utama dilakonkan oleh pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Syiera Ayob.

Al Fatihah kepada arwah Ke-Oi. Semoga arwah mendapat ganjarannya jika ada penonton yang tersentuh dengan pesan-pesan yang baik di sepanjang kisah ini.

Nota kaki :  Dua gambar di atas telah di'curi' daripada laman sesawang FINAS!







No comments: