Friday, January 14, 2011

SLOT AKASIA....DI TV3

Slot Akasia di TV3 menumpukan kepada drama berkonsep ringan dan santai, biasanya berkisar tentang cinta dan wanita. Sasarannya ialah kelumpuk masyarakat umum berbangsa Melayu yang digelar "Malay Mass Market" atau "kampung" atau "kpg.com".
Slot ini menumpukan kepada adaptasi daripada samada novel-novel atau filem-filem tempatan atau luar negara yang mendapat sambutan.
Waktu siaran telah diubah daripada pukul 6.30 - 7.30 petang kepada 7.00-8.00 malam.
Menurut stesyen berkenaan, anjakan waktu ini bagi membolehkan penonton yang bekerja sempat sampai di rumah untuk menonton.
Slot ini berjaya menarik kira-kira 1.8 juta penonton. Pada masa ini bersiaran drama Tiramisu terbitan Filmscape Sdn Bhd.
Sementara itu, saya sedang menulis untuk slot berkenaan, bertajuk KASIH YANG SUCI, adaptasi daripada novel bertajuk sama karya Meen Zulaikha. Novel ini terbitan Alaf 21 Sdn Bhd. Drama sepanjang 24 episod ini akan diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn Bhd.
Bagi yang tidak gemar menonton pada waktu Magrib, boleh lah menonton pada bila-bila masa yang lapang melalui :
http://tonton.com.my

Friday, January 7, 2011

TAKUT SIKSA KUBUR, BUKAN 'HANTU KUBUR'

Apabila Kak Norma Hashim dari Penjara Sungai Buloh melontarkan idea berkaitan siksa kubur, saya terus berminat. Tidak sangka, dalam banyak-banyak idea yang dilontarkan kepada pengarah merangkap penerbit, Kabir Bhatia, beliau juga tertarik pada idea ini.
Bagi saya, yang perlu ditakuti bukan lah hantu kubur, tetapi siksa kubur. Kerana siksa kubur itu adalah benar.
Setelah beberapa bulan, Astro Prima [Saluran 105] memberi lampu hijau kepada idea ini untuk dilaksanakan. Telemovie sepanjang 85 minit akan memaparkan sebahagian kecil daripada gambaran siksa kubur - sebagaimana di dalam hadis-hadis sahih. Bagaimanapun, ia akan dibuat dengan bajet terhad, tanpa melibatkan kesan Computer Generated Image [CGI] dan diarahkan Faisal Ishak.
Perbincangan dengan tenaga kerja dari Filmscape Sdn Bhd telah memberi sedikit pencerahan. Tanpa CGI dan bajet rendah, kemunculan ular dihadkan kepada satu dua babak sahaja. Malaikat Munkar dan Nakir pula, setakat ini hanya dalam bentuk ’bayang’. Faisal turut memikirkan gerakan kamera [POV] sebagai Malaikat. Apa pun, ia tertakluk kepada pihak penapisan jua, akhirnya.
Kisah ini bermula selepas tujuh langkah manusia meninggalkan pusara yang tersimpan mayat seorang isteri yang telah berzina dengan lelaki lain..

Saturday, December 25, 2010

NUR KASIH THE SERIES...DRAMA RANTAIAN TERBAIK ASK 2010

Seperti yang dijangka, Nur Kasih The Series [NKTS] berjaya dalam kategori Drama Rantaian di Anugerah Skrin [ASK] malam tadi. Bagaimanapun, terdapat salah faham sebelum ini, apabila ramai yang meramalkan NKTS bakal menjadi Drama Terbaik ASK 2010. Malah pelakon dan pengarahnya disebut untuk menang dalam kategori masing-masing. Jika ramalan ini disebut orang awam yang tidak memahami format ASK, tidak mengapa. Namun, apabila ia turut disebut penulis sebuah laman web hiburan yang terkenal dan berwibawa, bermakna wartawan juga terlepas pandang akan format pertandingan ini.
Setiap tahun ASK menyediakan anugerah pelakon, pengarah, penulis skrip dan drama terbaik HANYA UNTUK TELEFILEM [disebut juga sebagai telemovie]. Tidak ada anugerah pelakon, pengarah dan penulis skrip untuk Drama Rantaian mahupun Drama Komedi.
Justeru, karyawan dalam drama bersiri atau drama komedi dengan sendirinya tidak layak dicalonkan untuk kategori pengarah, penulis skrip dan pelakon terbaik. Manakala drama itu sendiri tidak layak diangkat sebagai Drama Terbaik yang menjadi anugerah utama atau grand finale untuk ASK.
Apa pun, memadai lah dengan pengiktirafan yang minima ini, kerana jika dikejar sangat pengiktirafan manusia secara berlebihan, kita tidak akan ke mana pun.

Friday, December 24, 2010

ANUGERAH SKRIN 2010.... MALAM INI DI TV3

Malam ini Anugerah Skrin 2010. Seperti yang dijangka, drama bersiri Nur Kasih memasuki pencalonan kategori Drama Rantaian. Ini bukan lah kejutan kerana syarat untuk layak ke pusingan awal adalah berdasarkan laporan tontonan [rating] tertinggi oleh AGB Neilson Media Research.
Bagaimanapun, keputusan peringkat akhir iaitu lima yang terbaik [TOP 5] dan seterusnya juara, tetap akan ditentukan oleh juri bertauliah. Di sini, tentu lah aspek kualiti lebih ditekankan dan rating tidak lagi terpakai.
Menilai dari segi kualiti,saya lebih melihat kepada Ghost dan Blogger Boy, kedua-duanya disiarkan di 8TV. Tidak pasti berapa ramai yang menonton kedua-dua siri ini memandangkan sifatnya yang ‘urban’ berbanding beberapa calon lain yang lebih mainstream seperti Nur Kasih, Halimah Jongang the Series, Awan Dania 2, Nenek Kebaya dan Adamaya.
Good luck buat rakan penulis yang karya mereka terpilih ke pusingan awal seperti Zaini Kosnin, Sofia Rhyland, Norhaidatul Azian dan lain-lain yang mungkin saya terlepas pandang ketika tergesa-gesa menyemak senarai pencalonan pagi ini.
Saksikan malam ini,samada di dewan besar Pusat Dagangan Dunia Putra, mahupun di layar kaca akan keputusannya....

Monday, December 20, 2010

HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH....HIBURAN BERSULAM KRITIKAN

Karya terbaru pengarah Mamat Khalid , Hantu Kak Limah Balik Rumah, khabarnya mencecah kutipan RM3 juta. Diramalkan RM4 juta pada hujung minggu ini,berdasarkan status di akaun facebooknya.
Filem ini merupakan kesinambungan [sekuel] kepada filem Zombie Kampung Pisang [Zombi] yang juga karya Mamat Khalid. Seperti mana Zombi, Hantu Kak Limah juga mengandungi dua lapisan. Lapisan atasnya yang sarat dengan hiburan. Manakala lapisan bawahnya terselit kritikan sosial. Semoga ia mengulangi kejayaan Zombi meraih Anugerah Khas Juri-Kritikan Sosial di Festival Filem Malaysia ke-20. Zombi turut mencatat kutipan tiket yang ketiga tertinggi di panggung untuk tahun 2007.
Semasa memenuhi undangan pra-tonton untuk media bulan lepas, suasana dalam panggung gamat sekali. Kami ketawa tanpa henti. Riuh betul. Tanpa disedari, kami seolah mentertawakan masyarakat Melayu umumnya. Rata-rata orang Melayu memang takutkan hantu [walaupun tak pernah nampak hantu!]. Jadi, wajar lah Mamat Khalid membikin filem yang menyindir sifat ini.
Sebelum ini, seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengkritik sikap ini melalui filem-filem arahannya.” Manakala Tun Dr Mahathir menghentam sikap ini semasa negara dikejutkan oleh Hantu Kum-Kum pada tahun 1983. Kata Tun yang belum bergelar Tun waktu itu, masyarakat terpengaruh dengan komik dan majalah seram sehingga mereka berkhayal tentangnya.
Di sebalik nada sinis terhadap masyarakat Melayu, penonton Melayu tetap menyukai filem ini. Forum Malaycari.com mendapati 55 peratus mengundi filem ini sebagai 'berbaloi' ditonton manakala 25 peratus berpendapat ia 'wajib ditonton'.
Catatan peribadi Mamat Khalid boleh dibaca melalui blognya, http://tempurungpecah.blogspot.com

Wednesday, December 8, 2010

"TEH O AIS LIMAU".....TELEMOVIE KHAS DI TV9

Sepanjang Disember ini, TV9 mengadakan kempen istimewa bagi menarik penonton mengikuti saluran berkenaan. Sasarannya satu juta penonton pada waktu perdana [prime time] iaitu daripada pukul 9 malam hingga 11 malam. Begitu lah kata Ketua Pengurusan Jenama Kumpulan TV9, Feisal Abd Malik dalam sidang media baru-baru ini. Antara usaha itu ialah menyiarkan lima telemovie khas setiap minggu, pada Rabu, jam 10.30 malam.
Telemovie nukilan saya, berjudul ”TEH O AIS LIMAU” telah terpilih untuk mengisi slot berkenaan. Idea asal Khairul Aswad Ramli, arahan Along Kamaluddin. Ia tentang seorang pemuda yang bercita-cita besar. Tetapi gagal mencapainya ekoran sikapnya yang pemalas, hanya hebat dari segi percakapan, sedangkan perlaksanaannya, hampeh! Falsafah cintanya juga hebat, tapi itu sekadar falsafah, sedangkan hubungan dengan kekasihnya tidak pernah berkesudahan.
Telemovie lain yang mengisi kempen hujung tahun ini, seperti Aku, Kau dan Dia (1 Disember, 10.30 malam) , Duda Berhias (15 Disember, 10.30 malam), Haruskah Aku Mati (22 Disember, 10.30 malam) dan 5 Disember (29 Disember, 9.30 malam).
Sewaktu dipanggil untuk kempen ini, saya diberitahu oleh eksekutifnya bahawa TV9 yang pada mulanya menyasarkan golongan matang dan berilmu, kini berubah haluan kepada golongan muda pula yang dikategorikan sebagai "young mass market".
Atas dasar itu, lahir lah TEH O AIS LIMAU, sebuah genre komedi romantik yang cuba memberitahu secara santai tentang impian golongan muda dan tatacara berpacaran mengikut adab Melayu Islam. Lagu latarnya, "KALAU BERPACARAN" oleh Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Altimet
Jangan lupa, TEH O AIS LIMAU, malam ini, Rabu, 8 Disember, jam 10.30 malam di TV9...!!

Tuesday, December 7, 2010

TAHUN BAHARU, SEMANGAT BAHARU

Sejak semalam, berkobar-kobar pula hendak menyambut tahun baharu. Tiada azam baharu. Cuma semakan semula ke atas segala perancangan.
Melihat dunia daripada kaca mata seorang perancang, saya acap kali menerima kejutan. Kerana apa yang dirancang dan dibuat, kadang-kadang tidak menjadi. Atau menjadi lebih awal dari jangkaan. Atau dengan cara berlainan dari perlaksaannya, tetapi masih menjadi.
Apa pun, penting untuk bersikap positif di saat ekonomi Amerika Syarikat [US] masih buruk. Biar pun Cina bagus, ekonomi dunia masih dikawal US. Jadi, golongan pekerja bebas yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat secara bergaji tetap, perlu bersedia dengan 'back-up plan'. Lazimnya, pekerja produksi TV lah yang paling ramai bekerja secara bebas [freelance]. Saya salah seorang daripada mereka.
Pun begitu, dari segi kewangan, agak mudah untuk merancang kerana ramalan penganalisis selalunya tepat. Contohnya, kegoncangan Wall Street pada 2008, sudah dibayangkan penganalisis beberapa tahun lebih awal. Jadi, bagi sesetengah orang, itu bukan lah kejutan.
Semoga tahun baharu Hijrah 1432 ini menjanjikan beberapa kejutan yang menggembirakan.