Monday, September 29, 2014

ADAPTASI NOVEL YA MAULANA & CAHAYA DI HUJUNG NYAWA KE LAYAR KACA

Demam adaptasi novel ke televisyen dan filem  masih belum 'kebah' nampaknya.  Drama yang diangkat dari novel tempatan semakin  membanjiri kaca televisyen dan panggung wayang.

Saya sendiri baru selesai mengangkat sebuah novel Islami terbitan Karya Seni Sdn Bhd, bertajuk Ya Maulana ke TV Al-Hijrah. Novel ini adalah hasil karya Hana Ilhami (juga penulis Perempuan Lindungan Kaabah). Pengambaran sudah bernula di sekitar negeri Melaka. Skrip ditulis bersama dengan Zuli Ismail dan Eja Lorena. Pelakon utama, Zahiril Adzim dan Shiera Aiyob. Pengarahnya, Keoi Haji Khalid,  manakala penerbitnya, Global Station Sdn Bhd.

Waktu yang sama, saya menghasilkan skrip drama bersiri 30 episod daripada novel karya sendiri pula, berjudul Cahaya Di Hujung Nyawa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd. Skrip ditulis bersama dengan Fairul Nizam Ablah, Nazri Anuar dan Azmy Ariff. Pelakonnya terdiri daripada Razali Hussain, Farah Dhiya, Jalaludin Hassan, Shahrolnizam, Omar Abdullah, Azza AF dan Man Belon (Raja Lawak). Pengarahnya, Muhibudin Ahmad manakala penerbit, Kota Rentang Sdn Bhd.

Keduanya mungkin bersiaran mulai November ini di TV Al-HIJRAH (Astro 114) dan HYPP TV SENSASI (Unifi 116) … Tunggu makluman lanjut, ya!!


Tuesday, June 3, 2014

BANK SKRIP KINI DI PERINGKAT KE-3

Projek  Bank Skrip Kementerian Komunikasi & Multi Media telah tiba di peringkat ke-tiga iaitu Scene Outline.   Sebanyak 41 tajuk telah terpilih, merangkumi empat kategori - filem, telemovie, drama bersiri dan animasi.

Penulis yang berjaya sudah menyiapkan Scene Outline masing-masing. Para penyunting yang  bertindak sebagai 'mentor' atau 'editor'  juga sedang menilai penulisan di peringkat ini.

Bank Skrip membuka penyertaan kepada orang ramai  pada penghujung 2012. Bermula dengan menawarkan peluang menulis secara berperingkat  - konsep/sinopsis, treatment/story line, scene outline, diikuti oleh skrip penuh draf pertama, kedua, ketiga sehingga lah ke draf terakhir.

Para penilai dan penyunting disediakan untuk setiap peringkat sehingga terhasilnya naskah skrip penuh draf terakhir yang berkualiti kelak.

Projek ini dikendalikan oleh satu jawatankuasa iaitu Film & Television Creative Content Council (FTVCCC). Dana diperolehi melalui Program Tranformasi Ekonomi dan  dipantau oleh Perfomance Management & Delivery Unit (Pemandu) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri

Friday, May 30, 2014

BELASUNGKAWA…ALLAHYARHAM MARTIAS ALI

Hati masih menangis melepaskan seorang rakan - Martias Ali, satu nama besar dalam  penulisan skrin tanahair - untuk berangkat ke  alam baharu.

Sebaik sampai di Hospital Ampang pada 29 Mei (Khamis) jam 10 malam, saya tidak menjangka yang masanya sudah sampai. Biarpun sebelumnya, jam 7.15  petang, seorang rakan penulis, Sofia Rhyland  menelefon  dengan nada sedih, "They said he got less than 24 hours". Sofia  seperti mengulangi ayat ini beberapa kali sebelum menamatkan perbualan.

Martias pergi pada jam 10.43 malam  - setelah doktor melakukan cardiac arrest selama 15 minit dengan tiada sebarang tindakbalas darinya. Sebelum itu, diagnosis mengesahkan Allahyarham mengidap sejenis kanser darah tahap ke-4.

Saya hanya mampu memeluk dan menggenggam tangan isterinya, Adza Irdawati Adenan. Tiada kata yang mampu diungkapkan ketika itu. Hanya al-fatihah.

Sebelum pulang, Adza sempat berbisik dalam tangisannya - sampaikan pada rakan-rakan bahawa dia mewakili Allahyarham memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap Allahyarham  kepada sesiapa sahaja.

Wajah Allahyarham kelihatan tenang -  berangkat pada malam yang istimewa - malam Jumaat penuh berkah.

Kehilangannya pasti dirasai...


(Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat,  Selangor, selepas Solat Jumaat pada hari ini, 30 Mei 2014. Solat jenazah di Masjid as-Sobirin, AU4, Lembah Keramat, Selangor)










Sunday, May 25, 2014

TIPS PENULISAN & PERUNDANGAN…31 MEI, @ GALERI PERFILEMAN, JALAN PAHANG, KL



Persatuan PENULIS  akan mengadakan program sehari menampilkan dua nama  - Nizam Zakaria dan Zabidi Mohamed - keduanya merupakan penulis skrin.

Nizam yang merupakan Presiden PENULIS untuk penggal 2014-15 akan memberikan pelbagai tips penulisan yang efektif untuk filem dan televisyen.

Zabidi pula akan memberi taklimat mengenai aspek perundangan berdasarkan pengalaman para penulis skrin sebelum ini yang pernah berhadapan dengan tindakan undang-undang di mahkamah.

Program anjuran PENULIS ini terbuka kepada semua dengan bayaran RM30 untuk ahli dan RM70 untuk bukan ahli. Lokasinya di Galeri Perfileman Finas, Jalan Pahang Kechil, off Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Bagi yang berminat sila mendaftar di FB saya Maizura Mohd Ederis  (atau emel ke comm_21@yahoo.com atau SMS ke 012 714 2227) atau FB urusetia  Nur Mawar Lina.

Pihak PENULIS juga mengalu-alukan
pendaftaran ahli baharu pada 31 Mei (Sabtu) ini yang bermula dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Kaunter pembayaran yuran turut disediakan kepada ahli-ahli yang belum menjelaskan yuran.

Sebarang pertanyaan tentang keahlian sila hubungi Setiausaha  Ahmad Saabun (016 215 1192)  dan Penolong Setiausaha Shida Zali (016 652 9654). Pertanyaan yuran boleh diajukan  kepada Bendahari Shahriza Mahmud (012 313 3224).

Sekian, jumpa di sana!







Tuesday, April 22, 2014

MEDIA & ENTERTAINTMENT WEEK 2014

Mulai hari ini berlangsung  Media & Entertaintment Week di Mid Valley, Kuala Lumpur. Acara selama seminggu ini menampilkan bengkel penulisan televisyen, pembikinan filem, forum, pameran,  tayangan filem dan banyak lagi. Ramai tokoh-tokoh industri dari Malaysia, Asia Tenggara dan antarabangsa (Hollywood) akan menyuarakan pendapat di forum, esok. Pelbagai filem juga  ditayangkan untuk orang awam sepanjang minggu ini. Acara ini  akan berakhir pada Sabtu ini, 26 April 2014.  Ia dianjurkan oleh JFPS Group, sebuah syarikat pengurusan acara dan mendapat pengesahan Kementerian Komunikasi dan Multi Media. Turut menyokong adalah agensi dan persatuan di dalam industri seperti  FINAS, PENULIS, FDAM, PROFIMA, CCIG dan MyDOC.

Wednesday, March 26, 2014

BENGKEL PENULISAN SKRIN FINAS, APRIL 2014

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Skrin pada 14 hingga 18 April 2014, bertempat di ibu pejabat agensi berkenaan di Hulu Kelang, Selangor.

Bengkel 5 hari itu berharga RM300 untuk setiap peserta. Diskaun RM100 akan diberikan kepada ahli-ahli persatuan dalam industri.

Pengisian bengkel adalah seperti berikut :

* Penyediaan Proposal (Idea)
* Pitching
* Treatment
* Mesyuarat Penerbitan
* Penyediaan Sinopsis Episod       
* Penulisan lakon layar/tv - Syd Field & Blake Snyder Beat Sheet
* Format Skrip

Bengkel ini bertujuan untuk :

* Memperkenalkan teknik asas penulisan skrin (lakon layar/tv), 
* Mengasah bakat untuk melahirkan lebih ramai penulis skrin.
* Menggalakkan penghasilan lakon layar/tv yang berkualiti tinggi.

Tenaga Pengajar : Maizura Mohd Ederis

Jika berminat, sila hubungi  03-4104 1494/ 1331 - Puan Shila, Encik Ayie atau Puan Fina. Borang pendaftaran juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang FINAS ( www.finas.gov.my )   dan faks ke 03-4106 8509 atau emel ke bahagian_latihan@finas.gov.my

Jangan lepaskan peluang!