Tuesday, January 6, 2009

WARTAWAN PULA DIBELASAH!

Selepas penulis skrip dibelasah oleh wartawan (Siti Jarum), semalam wartawan pula di belasah. Yang membelasah, Azwan Ali melalui Radio 24. Sayang sekali, tiada wakil wartawan terutama yang 'otai' hadir ke studio untuk sama-sama meletupkan rancangan bual bicara secara langsung itu. Khabarnya, tiada yang berani ke studio setelah mendengar nama Azwan Ali sebagai salah seorang ahli panel. Apa tidaknya, para penggiat industri, maklum akan mulut 'laser' pemilik nama ini. Program itu bertajuk 'Siapa Diekploitasi atau Dimanipulasi, Media atau Artis?'. Hosnya Aidil Ghafar & Zaleha Khairene. Ahli panel lain, pengarah filem, Ahmad Idham dan blogger filem, Ajami Hashim. Rentetan dari bual bicara semalam, saya berpendapat kebanyakan wartawan hiburan tempatan lebih berminat hendak 'menghentam' artis dan 'mensasikan' sesuatu isu bagi melariskan media masing-masing. Sangat kurang unsur-unsur kritikan membina untuk meningkatkan kualiti industri dalam penulisan mereka. Ini menyebabkan kebanyakan artis enggan menerima teguran wartawan. Sebaliknya, mempergunakan wartawan untuk melariskan diri mereka semata-mata. Dan apabila seseorang wartawan itu bersara, artis yang masih kekal dalam industri akan memandangnya sebelah mata sahaja. Hubungan yang terjalin sebelum ini adalah atas dasar kerjaya, bukan dengan 'jiwa'. Hakikat ini diakui oleh wartawan bersara - samada yang sudah 'gantung pen' atau masih menulis tetapi dalam bidang lain yang tiada kaitan dengan hiburan. Apa pun, tidak semua wartawan mementingkan sensasi. Ada segelintir yang komited menulis kritikan membina. Kualiti industri akan meningkat sekiranya penggiat industri mengambilkira pendapat mereka. Tidak perlu lah saya sebutkan nama mereka kerana dikhuatiri kelihatan seperti mahu "membodek" pula. Sementara yang tidak disebut nama, akan terasa hati. Maklum lah kebanyakan dari mereka, adalah kawan-kawan saya juga.

1 comment:

Ajami Hashim said...

boleh dgr rakaman ulangan kat sini >> POPRADIO