Sunday, February 26, 2017

KALBU PUN BERZIKIR - MALAM INI DI ASTRO CITRA DAN ASTRO MUSTIKA HD (AHAD, 26 FEBRUARI)

        Malam ini, ya... jam 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Sesiapa yang tidak melanggan saluran ini, jangan risau. Tidak lama lagi pasti akan ada siaran ulangan di saluran Prima, Oasis atau Ria, InsyaAllah.

       Saya agak terlewat mewar-warkan karya saya kali ini.  Mungkin kerana telefilem ini sudah lama dibikin, menyebabkan saya terlupa tentangnya. Kalbu Pun Berzikir ditujukan khas kepada kanak-kanak pengidap kanser yang telah pergi  setelah melalui satu perjuangan yang panjang.

    Skripnya hasil tulisan saya bersama pengarah, Prem Annad Pillai manakala konsep dan penyelidikan oleh Sofia Rhyland. Karya ini turut dipindahkan ke dalam bentuk novel oleh penerbitan Karya Seni Sdn Bhd. Kandungan novel juga berdasarkan jalan cerita dalam skrip telefilem manakala penulisannya ditukangi oleh novelis yang tidak asing lagi, Lily Haslina Nasir. Kebetulan saya dan Lily adalah kawan lama yang pernah bekerja satu bumbung 20 tahun lalu. Saya di akhbar Berita Harian, Lily di majalah Jelita. Prem pula pernah mengarahkan drama bersiri tulisan saya, Jalan Merdeka yang diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd.

     Ini kisah seorang budak yang gigih melawan penyakit kanser dan memanafaatkan setiap saat dalam hidupnya ke tahap yang maksimum. Anak ini mendapat sokongan penuh daripada ibunya yang hanya seorang penoreh getah miskin dan tidak berpelajaran tinggi. Anak ini juga ditinggalkan oleh ayah yang tidak bertanggungjawab - yang kerjanya keluar masuk pusat serenti. Anak dari Jitra, Kedah, ini akhirnya berjaya memberi inspirasi kepada semua orang di seluruh pelusuk negara kerana membuat keputusan untuk bergembira dengan keluarganya, di saat ajal semakin menghampiri. Impiannya untuk menjadi pelari pecut negara.

     Telefilem terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd ini dibintangi oleh Fasha Sanda sebagai Norlia (ibu),  Zara Sophia sebagai Fatin (anak) dan Pekin Ibrahim sebagai Ghafar (bapa). Jangan lupa  malam ini. Semoga ia dapat membantu kita melihat dunia ini dari sisi yang berbeza, InsyaAllah.





No comments: