Surga Yang Tak Dirindukan 2 akan menemui penonton mulai 16 Februari ini. Bagi yang telah menonton filem pertama, tentu tidak sabar-sabar hendak menontonnya, kan? Apatah lagi sekuel kedua ini diarahkan oleh sutradara tersohor Hanung Bramantyo manakala konfliknya dikatakan semakin meruncing dengan latar di negara Barat.
Saya sebenarnya terlepas pandang akan filem ini lantaran tidak begitu mengikuti perkembangan filem Indonesia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Jadi, sebaik membaca sinopsis yang dikirimkan melalui emel undangan, bagi saya, ianya sangat-sangat klise. Kisah seorang suami yang terjebak dalam kancah poligami semata-mata kerana hendak menolong seorang perempuan. Klise! Dan sebaik melihat wajah Fedi Nuril pada poster, terus teringat Ayat-Ayat Cinta (AAC) walaupun saya hanya mengingati nama
nya sebagai Fahri (nama watak) dan bukan sebagai Fedi. Bezanya, Fedi nampak lebih matang kali ini (setelah hampir 10 tahun)
Sangkaan saya tersasar sebaik sahaja menonton babak pembukaannya. Seterusnya saya dibawa menyelami babak demi babak sehingga lah ke kredit penutup. Perkembangan watak dan jalan ceritanya hampir sempurna. Paling dipuji ialah bagaimana penulis skrip dan pengarah menangani isu poligami dengan cermat dan berhemah. Memandangkan poligami masih menjadi subjek yang sensitif kepada wanita Islam di rantau ini walaupun ia dibenarkan oleh agama.
Selepas pratonton, saya diwawancara oleh wakil Astro Shaw tentang isu poligami di dalam filem ini untuk tujuan promosi di media sosial. Komen saya, keputusan hero untuk berpoligami adalah logik berdasarkan perwatakannya dan insiden-insiden yang dibina dengan kemas oleh penulis skrip lalu divisualkan dengan baik juga oleh pengarah, bermula dari babak pertama lagi. Kalau ada kelemahan pun, mungkin dari segi kurang penekanan kepada unsur 'urgency' - watak dipaksa membuat keputusan dengan cepat tanpa ada ruang dan kesempatan untuk berfikir lebih panjang. Mungkin kelemahan ini lebih ditujukan kepada pengarah dari segi keupayaan mem'visual'kan apa yang tertulis di atas skrip.
Filem ini berjaya mengalirkan air mata anak saya yang masih di darjah enam. Pada mulanya saya menyangka dia menangis kerana kasihankan watak budak yang menjadi anak kepada pasangan hero dan heroin. Tetapi tidak. Dia menangis kerana terkesan dengan keseluruhan jalan ceritanya. Padahal filem ini mengungkap hati dan perasaan orang dewasa. Filem ini juga diselar sebagai 'jahat' oleh seorang lelaki kerana berjaya menitiskan air mata jantannya!
Pada dasarnya, filem ini (atau novelnya) seolah meminjam atau 'mencuri' template Ayat-Ayat Cinta tetapi telah berjaya memusing, memulas dan mengubahsuaikannya menjadi satu penceritaan yang berbeza daya tarikannya.
Karya ini juga sarat dengan pengisian agama yang dilontarkan secara langsung dan terang-terangan. Dikhuatiri akan dilihat seperti 'memaksa', terlalu 'direct' (straightfoward) atau religious overtone oleh penonton Malaysia. Rasanya penonton Malaysia lebih menggemari filem agama yang tidak nampak terlalu agama dan penyampaian mesej agama yang tersirat berbanding tersurat. Karya ini juga tidak boleh dianggap sebagai karya dakwah kerana ia tidak patuh syariah. Selain banyak babak bersentuhan dan berpelukan antara pelakon lelaki dan pelakon wanita yang bukan muhrim, pakaian pelakon wanita juga tidak menutup aurat mengikut syariat Islam sebenar. Senang cerita, dakwah tidak menghalalkan cara.
Kulit depan novel |
Bagi yang belum menonton sekuel pertama, kalian sangat-sangat digalakkan menontonnya terlebih dahulu di beberapa saluran Astro sebelum ke pawagam pada minggu hadapan. Saksikan di Astro Ria, esok (11 Februari) jam 4.30 petang, Astro Prima dan Maya HD jam 11 malam manakala di Astro Oasis pada hari Isnin (13 Februari) jam 10 malam.
Selamat menonton!
No comments:
Post a Comment