Monday, June 16, 2008
Mencari Novel
Sejak Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' ditayangkan, ramai juga yang tercari-cari novelnya. Ada yang pernah membacanya dulu tetapi sudah lupa. Ada yang belum membacanya.
Untuk makluman semua, sekuel Tangisan Bulan Madu diterbitkan oleh tiga penerbit berlainan :
TBM 1 - Creative Enterprise Sdn Bhd. Sila kunjungi Kedai Creative Enterprise di No 38-1, Jalan Bangsar Utama 1, Bangsa Utama, KL.
TBM 2 - Diwangsa Publications & Distributors. Penerbit ini sudah 'tutup kedai'. Jadi, novel kedua ini memang sukar dicari di kedai-kedai kerana sudah tidak dicetak lagi.
TBM 3 & 4 - Khalysa Publications & Distributors. Syarikat ini dimiliki oleh pengarangnya, Samsiah Mohd Nor. Sila hubungi beliau melalui e-mel sam0965@yahoo.com
TBM 5.....?
Adaptasi Novel ke Filem Tempatan Perlu Anjakan
(Sumber : Utusan Malaysia - 20 Mei 2008)
SKRIP yang diadaptasi daripada novel atau karya sastera sudah dianggap lumrah bagi penghasilan cerita untuk filem di Holywood atau di Eropah.
Adaptasi tidak lagi dianggap sebagai satu usaha untuk mempopularkan karya sastera kerana novel tersebut telah sedia popular. Malah sebaliknya filem yang dianggap mengambil kesempatan daripada populariti sesebuah novel.
Sebaliknya mengadaptasi novel ke filem bukanlah usaha yang lumrah dalam industri filem negara ini. Malah berdasarkan penelitian saya, dalam sejarah pembikinan filem tempatan, daripada ratusan filem yang dihasilkan dalam tempuh 74 tahun dari tahun 1933 hingga 2007, hanya sembilan buah novel tempatan yang telah diadaptasi ke filem.
Novel-novel yang telah diadaptasi ialah Chinta Gadis Rimba (1958) karya Harun Aminurashid arahan L. Krishnan, Rumah Itu Duniaku (1964) karya Hamzah Hussein arahan M. Amin, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969, judul asalnya Memang Nasib Celaka Badan karya Harun Hassan) arahan Jins Shamsuddin.
Novel lain ialah Kalau Berpaut di Dahan Rapuh (1971) karya Harun Hassan arahan Omar Rojik, Langit Petang (1982) karya A. Samad Said arahan Shahrom Mohd. Dom, Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Shahnon Ahmad arahan Jamil Sulung, Mira Edora (1990) karya Khadijah Hashim arahan Zulkefli M. Osman, Black Widow Wajah Ayu (1994) karya Raja Azmi arahan Uwei Saari dan Jogho (1997) daripada novel Juara karya S. Othman Kelantan arahan Uwei Saari.
Mengapa hanya sembilan buah novel diadaptasi ke filem? Apakah novel-novel kita begitu sukar untuk diadaptasi atau novel-novel kita tidak mempunyai nilai naratif yang cukup menarik untuk difilemkan?
Novel popular tempatan yang laku puluhan ribu naskhah juga tidak menarik perhatian penerbit dan pengarah filem kita. Hal ini tentulah amat berbeza jika dibandingkan dengan industri filem barat yang lebih gemar mengadaptasi novel ke filem.
Barangkali hal ini amat berkaitan dengan budaya buku dan pembacaan mereka. Statistik industri filem dan TV Amerika menunjukkan 45% cerita televisyen adalah yang diadaptasi daripada novel dan 85% filem yang menang oskar adalah berdasarkan cerita yang diadaptasi daripada novel.
Baru-baru ini, dalam Sesi Perkongsian Ilmu yang diadakan di Sanggar Zaba, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) telah dibincangkan, masalah dan mengapa usaha mengadaptasi novel ke filem tidak mendapat sambutan daripada penerbit dan pembikin filem.
Sesi tersebut yang mempertemukan penerbit, pengarah filem, persatuan filem dan pihak DBP yang diwakili oleh Pengarah serta pegawai daripada Jabatan Sastera DBP telah membincangkan apakah usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan pembikin filem mengadaptasi karya sastera.
Pengarah filem, Uwei Saari, selaku pembentang utama dalam sesi ini yang berpengalaman mengadaptasi karya William Faulkner untuk filem Kaki Bakar, Juara untuk Jogho dan Almayer's Folly karya Joseph Conrad telah membentangkan strategi dan perlunya penggalakan usaha mengadaptasi novel ke filem. Baginya, tidak ada novel yang tidak boleh diadaptasi.
Hasil perbincangan tersebut telah melihat dua sebab utama mengapa novel-novel tempatan tidak ‘difilemkan’. Pertama, ia berkait dengan masalah pasaran dan perspektif yang menganggap novel tempatan yang difilemkan tidak akan berjaya di pasaran atau memberikan keuntungan.
Justeru mengadaptasi novel bukan pendekatan terbaik dalam industri filem tempatan dan oleh itu pembikin lebih gemar membuat skrip berdasarkan cerita popular remaja hari ini.
Hal ini juga berkait dengan perspektif dan fahaman kononnya adaptasi hanya ‘merosakkan’ novel asal. Kedua, tidak adanya insentif untuk menggalakkan novel diadaptasi ke filem.
Salah satu kesilapan anggapan yang lazim adalah melihat adaptasi sebagai usaha untuk mempopularkan karya sastera/novel. Hal ini jelas tidak benar kerana novel yang diadaptasi sudah sedia popular dan sebenarnya pembikin filem tertarik dengan novel untuk difilemkan dan mahukan cabaran mengadaptasinya.
Boleh dikatakan semua novel-novel besar dan yang paling sukar telah difilemkan. Lebih sukar novel, ia lebih memberi cabaran kepada pembikin filem tersebut.
Malah antara filem yang paling tinggi pulangan keuntungannya adalah filem-filem yang juga diadaptasi daripada novel. Contoh yang paling ketara jika kita melihat kejayaan filem-filem ini, antaranya Lord of the Rings, Harry Potter dan Gone With The Wind.
Perbincangan dalam sesi ini berpendapat satu usaha pembangunan perfileman yang mengadaptasi karya sastera perlu diadakan segera.
Melalui projek pembangunan ini kerajaan diminta menyediakan insentif berupa dana khas untuk menggalakkan usaha membuat adaptasi. Melalui skim khas dan insentif yang dicadangkan diadakan melalui DBP maka sejumlah novel-novel yang telah dikenal pasti boleh dipilih untuk difilemkan.
Projek pembangunan ini tidak sahaja mengenal pasti novel-novel untuk filem sahaja tetapi juga untuk siaran televisyen dalam bentuk drama TV.
Setakat ini DBP telah berusaha mempopularkan karya adaptasi melalui usaha penerbitan bersamanya dengan RTM dalam menghasilkan drama TV yang diadaptasi daripada novel terbitan DBP.
Selama ini memang terdapat salah faham dan kekeliruan tentang konsep `kesetiaan’ pada karya asal dalam membuat adaptasi yang selama ini berlaku antara penulis novel dan pembikin filem.
Malah isu kesetiaan ini telah menjadi debat akademi yang berlanjutan. Perlu diketahui sebuah novel diadaptasi melalui beberapa pendekatan.
Ada novel yang cuba dipindahkan ke filem dengan cuba berlaku `setia’ dan kekal dengan bentuk plot dan naratifnya.
Manakala pendekatan yang lain adalah `adaptasi kreatif’ yang mengadaptasi secara kreatif dengan mengekalkan semangat dan inti pati novel tetapi plot filemnya mengambil pendekatan berbeza. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai cabaran tersendiri dan menarik.
Bagaimanapun pemberian dana insentif dalam projek pembangunan filem adaptasi ini perlukan pengurusan yang cekap dan jujur untuk melihat pembangunan seni perfileman negara.
Hanya dengan cara ini pembangunan seni perfileman dan kesusasteraan negara dapat berkembang baik dan saling mendapat faedah.
Tuesday, May 27, 2008
REAKSI AWAL PENONTON
Dua episod sudah tertayang minggu lalu. Ia menerima bermacam-macam reaksi. Ada yang positif. Ada yang negatif. Sebagai pengkarya, kami menerima semua pujian dengan Alhamdulillah dan kritikan dengan Alhamdulillah juga.
Kebanyakan penonton yang memberi pandangan dalam forum-forum di internet terdiri daripada peminat setia novel. Mereka menonton kerana pengaruh novel. Agak mengejutkan apabila sebahagian mereka masih mengingati watak, plot dan latar dengan terperinci walaupun sudah 17 tahun berlalu. Sebahagian yang lain ‘ingat-ingat lupa’ tetapi jiwa atau semangat novel itu masih memberi kesan di hati sampai sekarang. Ada yang masih menyimpan novelnya walaupun sudah ‘lunyai’ kerana berulang kali membacanya atau
memberi pinjam pada kawan. Ada yang sudah kehilangan dan terfikir untuk mendapatkannya semula.
Di kalangan mereka, ada yang berasakan karya di TV kurang meruntun emosi berbanding novel. Ada juga yang mengatakan ia ‘not bad’. Selain itu, ada yang positif bahawa siri akan lebih menarik dalam episod-episod yang akan datang. Dari segi pendukung watak, ramai yang menganggap pemilihan Rita Rudaini sebagai Amira sangat tepat. Mutu lakonan Rita sebagai Amira juga baik, kata mereka. Sementara itu, Ezany Nizariff mendapat reaksi agak kurang berbanding Rita. Bagi saya ini perkara biasa buat watak yang digambarkan sebagai sangat sempurna seperti Bogatt itu. Bagi gadis-gadis di luar sana, siapa pun yang melakonkan watak Bogatt, pasti mengundang rasa tidak puas hati. Tidak ada seorang pelakon pun yang berjaya menepati keseluruhan gambaran Bogatt di dalam novel. Bogatt sangat ‘over-the-top’. Namun, berbanding Aron Aziz, Fahrin dan Ady Putra, Ezany lebih layak atas dasar air muka dan raut wajahnya. Latar cerita di kampung dan pekan kecil memang sesuai untuk Ezany. Apatah lagi, siri ini adalah tentang kehidupan orang Melayu tipikal di luar bandar. Aron Aziz, Fahrin dan Ady Putra terlalu ‘urban’ untuk watak Bogatt. Jadi, peminat setia novel harus belajar untuk menerima Ezany sebagai Bogatt. Terus lah setia menontonnya sehingga akhir untuk menilai sejauh mana kemampuan dan karisma Ezany dalam membawakan watak Bogatt yang disayangi ramai. Suka diingatkan bahawa Ezany turut membawakan watak adik kandung Bogatt, Razlan.
Di kalangan penonton yang tidak membaca novel, rata-rata memberi komen yang positif. Mereka menyukainya dan mula tercari-cari novel ini di pasaran.
Di kalangan pengkritik pula, setakat ini, penulis sastera Nisah Haron memberi reaksi tidak senang atas persembahannya yang ‘tipical Malay drama’. Saya awal-awal lagi memang menjangkakan reaksi seperti ini di kalangan pengkritik. Atas dasar itu lah, dalam entri sebelum ini, lama sebelum ia ditayangkan, sudah diterangkan tentang sasaran penonton siri ini. Baca dalam :
http://annyss.blogspot.com/2008/05/drama-melayu-mencari-kematangan.html#links
Tuesday, May 20, 2008
TANGISAN BULAN MADU 'THE SERIES' MALAM INI
Akhirnya Tangisan Bulan Madu 'The Series' muncul di kaca TV malam ini. Berakhir lah penantian saya, Samsiah dan para peminat semua. Bagaimanapun, suka diingatkan bahawa enam episod yang pertama diadaptasi daripada Tangisan Bulan Madu (TBM) 1. Ada banyak masalah semasa kami melakukan adaptasi TBM 1. Ia berkaitan dengan hak penerbitan. Hak itu sebenarnya masih dipegang oleh penerbit asal. Pengarangnya hanya memegang hakcipta semata-mata. Jadi, sebarang perpindahan medium perlu melalui penerbit TBM 1. Bagi TBM 2,3, dan 4 tidak menjadi masalah kerana hakcipta dan hak penerbitan adalah milik pengarangnya. Namun, siri televisyen ini pasti cacat sekiranya kami mengabaikan TBM1 dari proses adaptasi.
Mengenangkan ini, kami gagahi jua berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan hak ke atas TBM1. Berdasarkan rundingan akhir, penerbit hanya memberi kebenaran untuk menggunakan tajuk asal dan beberapa petikan daripada TBM1. Atas dasar itu lah kami terpaksa melakukan begitu banyak penyesuaian, rombakan dan perubahan ke atas TBM1. Ini untuk mengelak berlakunya 'pelanggaran hak'.
Realiti di Malaysia, kebanyakan penerbit memegang hak penerbitan dan berkuasa penuh ke atas sebarang perpindahan medium (atau sekiranya ingin bertukar penerbit). Sementara pengarang hanya mendapat hak cipta dan sedikit royalti. Apa pun, kita bersyukur kerana masih mampu berkarya di saat terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk halangan, kekangan, tekanan, ketidakadilan, ketidakjujuran dan sebagainya. Alhamdulillah...
Tuesday, April 1, 2008
MAAF, TBM DI KACA TV MULAI 20 MEI, BUKAN 3 APRIL.
Salam seribu kemaafan buat semua,
Pagi tadi, saya sempat layari internet dan mendapati ada sekelumpuk peminat fanatik novel Tangisan Bulan Madu (TBM) teruja membaca entri saya sebelum ini. Maaf, itu satu kesilapan teknikal. Petang tadi saya mendapat panggilan dari penerbit mengatakan RTM menukar siarannya ke 20 Mei 2008. Tidak pasti kenapa RTM asyik menukar slot dan tarikh. Drama ini akan disiarkan seminggu dua kali iaitu pada Selasa dan Rabu melalui slot Ratu. Sekarang, slot itu sedang menayangkan drama bersiri Indonesia bertajuk "Kau Bukan Untukku". Agaknya drama itu diadaptasi daripada lagu popular Rossa bertajuk yang sama dan dijadikan lagu tema drama berkenaan.
Apa pun, harap peminat TBM bersabar ya. Kerja saya jadi berganda sekarang. Perlu memaklumkan semula kepada semua orang terutama kepada rakan-rakan media yang sudah sedia hendak menyiarkan berita ini pada Khamis nanti. Harap maaf sekali lagi.
Saturday, March 29, 2008
TBM DI TV2 MULAI 3 APRIL SETIAP KHAMIS
Alhamdulillah, akhirnya Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' disiarkan sebelah malam setiap minggu. Ia bermula pada Khamis ini 3 April, jam 9.00 malam di TV2. Berdasarkan perancangan awal oleh pegawai RTM pada Mei 2007, drama ini untuk slot Galeri Famili jam 1.30 tengahari, Isnin-Jumaat. Waktu itu kami agak kecewa kerana mendapat slot siang yang tidak ramai penonton. Pun begitu, takdir mengubah segalanya. Kekecewaan kami terubat dengan keputusan ini.
Bagaimanapun, saya sedikit kesal kerana mempersembahkan cerita ini agar sesuai dengan sasaran penonton tengahari yakni surirumah. RTM juga mahukan konsep telenovela yang ditayangkan sepanjang hari bekerja. Ini bermakna saya perlu mengolah semula cerita ini berdasarkan beberapa 'rukun' dan 'syarat sah' telenovela. Antaranya watak jahat mesti tersangat jahat manakala watak baik mesti tersangat baik. Plot "twist and turn" dan tergantung (cliff-hanging) sangat penting dalam sesebuah telenovela. Memandangkan cadangan asal untuk tayangan Isnin-Jumaat, perlu ada 'minor cliff-hanging' untuk Isnin hingga Khamis dan 'major cliff-hanging' untuk Jumaat. Tujuannya supaya pada hari Jumaat, penonton jadi tidak sabar menunggu hari Isnin untuk mengetahuinya.Masalahnya, novel TBM TIDAK ADA watak jahat. Watak-wataknya lebih banyak berkonflik dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini bermakna watak utama adalah protagonis dan juga antagonis. Amira VS Amira? Novel ini juga kekurangan "twist and turn" untuk membolehkannya diadaptasi menjadi sebuah telenovela yang baik.
Mujur pengarangnya, Samsiah cukup sporting dan mudah dibawa berunding. Beliau banyak bertolak ansur bagi menyesuaikan dengan kehendak stesyen. Sekalipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi TV, Samsiah mengakui dia memahami. Atas restu Samsiah sendiri, kami menjahatkan beberapa watak kecil dalam novel ini. Syafura, Cindy, Makcik Hindun dan Hakim terpaksa memainkan peranan besar di kaca TV. Kehadiran mereka dalam novel hanya tempelen sedangkan di TV mereka cukup dominan. Apa reaksi pembaca bila melihat watak kecil diubah menjadi besar? Adakah mereka akan merestuinya?Penerbit pula mahukan cerita ini dibiarkan tergantung pada babak terakhir. Ini sebagai persediaan kalau-kalau jumlah penonton (rating) tinggi dan stesyen meminta "TBM Musim Kedua." Jadi, jangan terkejut kalau penyudahnya agak menyimpang dari penyudah dalam karya asal. Ia memang disengajakan.
Sekiranya sejak awal lagi saya tahu bahawa drama ini untuk slot malam dan bukan berkonsepkan telenovela Isnin-Jumaat di siang hari, saya mungkin mempersembahkannya dengan cara berbeza. Memandangkan kebanyakan penonton slot malam lebih matang dan berpendidikan, berkemungkinan saya akan lebih memfokuskan kepada konflik diri watak utama. Saya akui aspek ini kurang diberi perhatian kerana memikirkan "crowd" tengahari yang lebih suka melihat konflik antara watak hitam dengan watak putih.Apa pun, keputusan RTM untuk menukarkan tayangan pada waktu malam melegakan kami yang mengharapkan 'rating' tinggi. Pada malam Jumaat nanti, jam 9, TBM akan bersaing dengan drama seram SAKA di TV3 dan DIARI AF6 di Astro Ria. Kedua-dua rangkaian swasta berbahasa Melayu itu cukup berpengaruh ke atas penonton Melayu. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat sejauh mana TBM dapat menyaingi kedua-dua rancangan itu dari segi jumlah penonton.
RUANG SEMPIT INI - MEOR
Razlan memang tidak sepopular abangnya, Bogatt. Namun, kehadiran Razlan dalam Tangisan Bulan Madu (TBM) amat penting untuk meneruskan legasi Bogatt. Razlan adalah penyair sepenuh masa, aktivis anti-peperangan dan pencipta lagu. Mulai episod 15, lagu yang diciptanya akan diperdengarkan kepada penonton. Setelah mendengar beberapa lagu puisi popular, team produksi kemudiannya beralih arah. Tanpa disangka, kami memilih lagu yang bukan dari aliran arus perdana. Ini lah lagunya...“Ruang Sempit Ini”.
Muzik genre popfolk ini kedengarannya agak “memberontak”. Ia sesuai dengan jiwa Razlan yang rumit, melankolik dan sukar difahami. Apa sahaja yang dirasa agak ekstrim tetapi sukar diluahkan dengan cara yang tepat. Ekspresi dan emosi itu mungkin lebih jelas melalui karyanya. Ini dunia fiksyen yang kami ciptakan untuk Razlan.
Dalam dunia sebenar, “Ruang Sempit Ini” adalah milik Meor. Nama sebenarnya Meor Yusuf Azidin, 40, seorang penyanyi dan pencipta lagu. Pemuzik jalanan ini merupakan antara penggiat utama dalam muzik genre popfolk. Setakat ini, anak Perak itu sudah melahirkan enam buah album di bawah produksi “indie”. Antara yang terkenal bertajuk Aku dan Bulan (2004) dan Yang Terlintas Di Fikiran (2007). Terbaru, adalah Sakrat yang akan dilancarkan di Pasar Seni Kuala Lumpur, malam esok jam 8.30 malam. Daripada 10 lagu dalam album berkenaan, tiga adalah berdasarkan sajak ciptaan penyair terkenal tanahair, Amirul Fakir.
Meor berkarya dengan gitar akuistik. Baik dari segi muzik dan lirik, karyanya mampu mencabar minda pendengar dan berbentuk muhasabah diri. Sakrat misalnya adalah singkatan daripada perkataan “Sakratul Maut”. Ia membicarakan soal kehidupan dan kematian. Juga melihatnya dari sisi kerohanian.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa Meor adalah adik kepada penyanyi bersuara hebat, Suhaimi Meor Hassan. Malah Meor turut menerbitkan album terbaru abangnya itu pada tahun lalu. Selain kerjaya muzik, Meor juga bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Ipoh, Perak.
Peminat muzik genre ini boleh memperolehi karyanya dengan cara e-mel terus kepadanya di alamat meor67@yahoo.com
Bacaan lanjut tentang Meor dalam :
http://kamalsabran.com
http://kamalsabran.blogspot.com
Subscribe to:
Posts (Atom)
