Friday, March 13, 2015

"PITCHING' TERBUKA TV3 & TV9

Tahun ini merupakan tahun kedua pihak TV3 dan TV9 membuka peluang kepada orang awam dan penulis baharu untuk menjual idea drama kepada kedua-dua saluran berkenaan. Acara pitching terbuka ini diadakan  sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)  tahun ini. Keutamaan diberikan kepada penulis skrin baharu yang belum pernah menulis di TV3 dan TV9.

Ayuh, ini lah peluang untuk mencuba bakat menjual idea, mana tahu ia berhasil?

Pitching terbuka ini diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini (14 hingga 15 Mac) di bangunan The New Straits Times Press (M) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Tidak perlu mendaftar lebih awal. Peserta hanya perlu datang antara jam 9 pagi sehingga 5 petang, mendaftarkan nama dan kemudian…pitch!

Pada hari yang sama dan di tempat yang sama  juga, akan  berlangsung bengkel-bengkel seni oleh penggiat industri berpengalaman (sila rujuk entri tentang DFKL sebelum ini untuk nama-nama pembimbing bengkel)

Sementara itu, undian di atas talian untuk Anugerah DFKL 2015 juga masih dibuka. Manakala siaran ulangan drama rantaian Cinta Pandang Ke-2  di Slot Aurora TV9 sempena DFKL telah ditukar ke hari Ahad, jam 8.30 malam. (Sebelum ini, bersiaran pada setiap Khamis waktu yang sama)

Kepada mereka yang menyukai Cinta Pandang Ke-2, jangan lupa mengundi karyawan drama ini (termasuk penulis skrip nya!) di laman sesawang DFKL iaitu di pautan ini -  UNDIAN DFKL 2015

Selamat maju jaya kepada semua.

Saturday, March 7, 2015

YB KJ @ IKAL MAYANG 2015

Esok, 8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Tarikh ini sentiasa diingati biarpun sudah hampir dua dekad saya meninggalkan Meja Wanita Berita Harian. Dahulu, sambutan ini sering berkait rapat dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh aktivis wanita - yang releven pada waktu itu - untuk ditulis dan disiarkan. Sekarang, setelah berkecimpung dalam dunia filem dan drama, sambutan ini mengingatkan pula kepada Filem Pendek Ikal Mayang.

Filem pendek ini bermula pada 2013 dan kemudiannya menjadi acara tahunan. Idea ini tercetus oleh  beberapa selebriti wanita yang prihatin  tentang isu-isu kewanitaan, apatah lagi banyak isu tidak disiarkan di media arus perdana. Hasil tidak puas hati dengan paparan arus perdana tentang wanita, lahir lah 15 filem pendek pada awalnya. Saya mula mengetahui tentang ini daripada aktres Sofea Jane yang ketika itu sedang menyiapkan karyanya, 1-800-Baby. 



Tahun ini, penyertaan bertambah kepada 18.  Lebih menarik, penganjur mula membuka penyertaan kepada kaum adam. Lima  lelaki  terpilih telah mengarahkan karya masing-masing dan seorang daripadanya adalah menteri kabinet! Siapa lagi kalau bukan YB Khairi Jamaludin.

Acara anjuran badan bukan kerajaan  WOMEN : girls ini, berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 6 hingga 8 Mac (esok) di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh didapati di  FACEBOOK dan  LAMAN WEB organisasi berkenaan.




Wednesday, March 4, 2015

DALAM IRADAT-MU @ TV AL HIJRAH

Dalam Iradat-Mu bersiaran buat  kali pertama pada Oktober lalu di TV Al-Hijrah sempena sambutan ulangtahun ke-4 rangkaian televisyen berkenaan. Drama rantaian ini kembali menemui penonton di rangkaian yang sama mulai 10 Februari lalu, jam 10 malam. Semalam, adalah episod yang ke-4. Bermakna ada lagi 10 episod untuk diikuti pada hari Selasa, setiap minggu.

Drama ini merupakan sebuah adaptasi longgar daripada novel Ya Maulana karya Hana Ilhami terbitan  Karya Seni Sdn Bhd. Ia tentang seorang 'maulana' dengan madrasahnya  dan seorang gadis dari bandar.  Pelakon utama merupakan pasangan suami isteri yang tidak asing lagi, Zahiril Adzim dan Sheira Ayyob.

Karya terbitan Global Station Sdn Bhd ini ditulis bersama  oleh saya, Zuli Ismail dan Eja Lorena manakala pengarahnya, Keoi Haji Khalid.

Bagi mereka yang terlepas episod 1 hingga 3 boleh mengikutinya di atas talian iaitu di link berikut :

Media.Khlstore.com





DALAM IRADAT-MU, TVAH, SELASA, 10 MALAM

Monday, March 2, 2015

DRAMA FESTIVAL KUALA LUMPUR (DFKL 2015)

Tahun ini masuk tahun kedua pihak TV3 dan TV9 menganjurkan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Seperti tahun lalu, penganjuran kali ini juga menampilkan acara seperti bengkel, filem pendek, uji bakat dan  anugerah drama-drama popular di  saluran berkenaan sepanjang tahun lalu.

Cinta Pandang Ke-2 (CPK2) terbitan ZK Creative Production Sdn Bhd (ZKCPRO)  turut tercalon.

Skrip saya ini,  merupakan inspirasi daripada novel bertajuk sama karya Laila Kamilia terbitan Grup Buku Karangkraf (GBK). Penulisannya dibantu oleh Zuli Ismail manakala Laila turut menyumbang sebahagian kecil daripada skrip.

Sekarang, CPK2 sedang diulang siaran di Slot Aurora TV9, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam. Sebelum ini, CPK2 turut tercalon dalam lima teratas (TOP 5) kategori drama adaptasi pilihan pembaca Anugerah GBK.

Penyampaian anugerah akan berlangsung pada 15 Mac ini dengan kategori seperti drama pilihan, pelakon lelaki pilihan, pelakon wanita pilihan, pengarah pilihan dan penulis skrip pilihan.

Bagi yang ingin  mengundi, sila ke link DFKL 2015 - undi

Sementara itu, beberapa karyawan  akan berkongsi pengalaman melalui bengkel lakonan, arahan, animasi dan komedi. Mereka adalah pengarah terkenal,  Datuk Yusuf Haslam, Mamat Khalid, Nik Amir Nik Mustafa,  Jinggo, Khai Bahar, Nizam Razak, Faizu, Tariq Usamah Zaid, Shiela Rusly, Adi Putra, Remy Ishak,  Ebi Yus, Didie Alias, Sharifah Shahira dan NorKhiriah.


Bengkel ini terbuka kepada orang ramai pada 14-15 Mac, dengan yuran RM100 seorang,  di Balai Berita, The New Straits Time Press Berhad, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.  (Harga pelajar RM60 seorang)

Bagi filem pendek pula, sila ke link ini untuk  Undi Filem Pendek DFKL 2015

Semoga DFKL 2015 berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha  mengembangkan lagi industri drama televisyen dan perfileman tempatan.



Tuesday, January 27, 2015

BENGKELPENULISAN SKRIN FINAS BERMULA SABTU INI

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan menganjurkan satu bengkel penulisan skrin yang bermula pada Sabtu ini, 31 Januari 2015. Bengkel ini akan berlangsung selama sembilan hari iaitu sehingga 8 Februari 2015, bertempat di Studio Ho Ah Loke, Finas, Hulu Kelang.

Bagi memantapkan program latihan, bermula pada tahun ini, Unti Latihan Finas telah menambah bilangan hari bengkel, tenaga pengajar dan silibus latihan.

Silibus akan menumpukan kepada asas-asas penulisan skrin yang bermula dari peringkat mendapatkan idea, menyediakan proposal, pitching, penyediaan trailer atau photo story, struktur skrip, treatment sehingga lah ke peringkat akhir - penulisan lakon layar/lakon tv.

Tiga orang tenaga pengajar iaitu Zabidi Mohamad, Mazelan Manan dan Maizura Mohd Ederis akan mengendalikan bengkel ini. Yuran pendaftarannya sangat berpatutan iaitu hanya RM150 untuk seorang peserta.

Bakat-bakat baharu yang berminat untuk menimba ilmu, boleh hubungi Unit Latihan Finas di talian umum 03 4104 1300.




Wednesday, January 7, 2015

2014 - TAHUN FILEM BERKUALITI

Hari ini genap seminggu kita berada di tahun baharu masehi 2015. Rasanya masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada pembaca blog ini. Semoga tahun ini kita semua lebih makmur, sihat dan ceria. Harapan juga agar industri filem dan televisyen kita terus berkembang dalam keadaan ekonomi yang diramalkan 'tidak sihat', demi sesuap nasi.

Apa pun, kita patut bangga dengan prestasi filem-filem tempatan pada tahun 2014. Memang ada peningkatan dari segi kualiti, antaranya seperti Sejoli, The Journey, Kami Histeria, Abang Long Fadil, CEO, Tembus, Dollah Superstar, Gila Baby, Amir dan Loqman Pergi Ke Laut, Lelaki Harapan Dunia, Ophilia, Manisnya Cinta Di Capadocia, Terbaik Dari Langit, dan beberapa judul lagi.

Bagaimanapun, dari segi kutipan tiket di pawagam  agak menyedihkan.  Tanpa mengambil kira The Journey yang luar biasa kutipannya (RM17 juta), kebanyakannya nampak susah hendak bernafas. Ada yang hanya mengutip sekitar RM200,000 hingga RM300,000 walaupun filem-filem itu bagus.

Hanya Ah Beng The Movie (Bahasa Kantonis) dan Abang Long Fadil berjaya mendapat kutipan melebihi RM4 juta.

Jumlah filem pula meningkat dari tahun sebelumnya iaitu 81 judul berbanding 71 judul pada 2013.

Sementara itu, filem pembuka tirai 2015, salah satunya  Suamiku Encik Perfect 10 yang menampilkan Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Ini juga adaptasi daripada novel popular tempatan. Filem arahan Feroz Khan ini diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn Bhd dan Global Station Sdn Bhd.

Semoga 2015 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk filem kita, baik dari segi kualiti mahupun jualan tiket.

Sumber : Laman sesawang FINAS dan Astro Shaw Sdn Bhd.