Tuesday, May 24, 2011

PANGGILAN ARWAH.... AHAD INI DI ASTRO CITRA

Skrip telemovie Panggilan Arwah sepanjang 104 minit atau 95 mukasurat itu saya tulis dengan minat yang membara. Hanya untuk dikecewakan akhirnya. Setelah pengarah, pelakon dan krew pengambaran berusaha bersungguh-sungguh menrealisasikannya ke dalam bentuk visual, juga dengan minat. Dan dengan restu pihak stesyen yang ’melepaskan’ naskah ini walaupun ragu-ragu pada mulanya. Keraguan dek adegan siksa kubur dan malaikat munkar nakir terlalu mendominasi.
Kecewa. Perasaan ini dikongsi dengan semua pihak – pelakon, krew, penerbit, stesyen - setelah JAKIM enggan membenarkan siksa kubur dan malaikatnya dipaparkan secara terperinci dan mendalam.
Siksa kubur itu benar. Namun, pada pendapat JAKIM, gambarannya tidak diperlihatkan secara visual – samada watak melihat dengan nyata atau melalui mimpi.
Kita akur pada kehendak JAKIM. Pelakon utamanya, Zizan Nin dan Mahmood Ali Basha mengakui naskah ini mempunyai pengisian yang bermanafaat berbanding drama seram lain sebelum ini. Namun, impaknya hilang setelah adegan penting itu dipotong.
Telemovie ini ditulis untuk menyedarkan penonton tentang dosa berzina dan hukuman ke atasnya - jika tidak sempat bertaubat - akan bermula daripada alam barzakh lagi. Idea asalnya datang daripada Puan Norma Hashim.
Panggilan Arwah diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Faisal Ishak. Ia akan disiarkan di Astro Citra, pada Ahad ini, 29 Mei, jam 10 malam. Pelakon lain yang terlibat seperti Tasha Shila, Kuna, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.
Selamat menonton kepada mereka yang melanggan pakej Mustika.
Untuk makluman, Mustika merupakan pakej tambahan dengan harga RM12 sebulan - menawarkan tiga saluran iaitu Citra [filem dan telemovie], Warna [komedi] dan B4U [Bollywood]. Hubungi 1300-82-3838 jika berminat dengan pakej ini.

Thursday, May 19, 2011

NUR KASIH THE MOVIE.....

Malam Gala Premier Nur Kasih The Movie [NKTM] pada 9 Mei lalu penuh sesak dengan tetamu jemputan. Menjadikan ruang legar Cineleisure Mutiara Damansara itu kepanasan. Sehingga ada yang mengipas diri dengan tiket di tangan.
Muka-muka terkenal seperti selebriti, wartawan, blogger, karyawan seni belakang tabir, VIP dan VVIP bergaul mesra bertemankan makanan, minuman, celoteh pengacara Ally Iskandar dan nyanyian Mila Jirin. [Turut diumumkan nombor cabutan bertuah yang saya sendiri tidak dapat dengar, kalau lah nombor tiket saya yang naik malam itu!]
Sebaik teserempak Fizz Fairuz , terus saya ucap tahniah kepadanya. Namun, Fizz enggan menerima ucapan tahniah itu apabila saya memberitahunya belum lagi menonton NKTM.
Sis tengok dulu, baru ucap tahniah...tengok dulu..." katanya sungguh-sungguh sebelum beredar mengekori krew TV3 yang mahu mewawancaranya.
Seterusnya saya bertegur sapa dengan orang-orang penting dalam industri, terutama orang kuat Filmscape Sdn Bhd - pasangan Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa [lihat gambar].
[Dua tahun lalu, saya dan Mariana Hashim pernah membantu Mira Mustaffa menulis siri televisyen Nur Kasih]
Kemudian, saya dan Mariana ke tandas. Lantas mendapat idea untuk ’mencilok’ ke Hall 9 lebih awal, secara senyap-senyap! [dengan bantuan kakitangan Filmscape, Siti Marzuliana yang menyuruh kami cepat-cepat menyorok dari dilihat petugas Cineleisure!]
Dalam kegelapan itu, Mariana berusaha gigih mencari nombor kerusinya dengan berpandukan cahaya lampu dari telefon bimbit. Ya, lebih baik duduk dalam kegelapan, asalkan hawanya dingin. Biar lah yang lain terus ’mingle’ di luar - yang sesak dan panas. [Esoknya, saya meminta maaf kepada Penerbit Eksekutif Filmscape, Mohd Frank Lewis kerana tidak sempat menegur beliau di celah-celah tetamu yang terlalu ramai. Diakuinya itu kerana dia langsung tidak nampak kelibat saya dek kerana 'crowd' yang sebegitu]
Melebihi jam sembilan, baharu lah 'crowd' dibenarkan beratur memasuki hall dengan kawalan petugas Cineleisure. [ha..ha..ha....kami sudah ada di dalam!] .
Sebaik tertera logo syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd, diikuti logo penerbit bersama, Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd, suasana dalam pawagam tiba-tiba senyap sunyi. Semua terpaku mengadap skrin besar di hadapan. Duduk tegak, tidak bergerak. Keheningan pun menjalar ke segenap ruang pawagam. Lalu berterusan sehingga sepuluh minit...setengah jam...satu jam... sehingga akhirnya muncul kredit penutup NKTM, tanda filem sudah tamat.
Kenapa agaknya tercipta keheningan yang berpadu selama satu jam setengah itu?
Saya enggan mengulas. Hanya satu pesanan...pergi lah menonton Nur Kasih The Movie di pawagam berdekatan [atau jauh pun boleh!], mulai hari ini,19 Mei 2011.

Sunday, May 8, 2011

TUDUNG EKSPRES DAN ROH KEMBALI DI SINGAPURA

Ketika ini, dua drama yang skripnya tulisan saya, sedang bersiaran di Singapura. Tudung Ekspres di saluran percuma berbahasa Melayu, SURIA, pada waktu prima [prime time], 9.30 malam, setiap Rabu.
Manakala Roh Kembali di saluran berbayar berbahasa Melayu, SENSASI, pada pagi, petang dan lewat malam.
Kedua-duanya sepanjang 13 episod dan ditayangkan di Malaysia pada pertengahan tahun lalu. Semoga ini menjadi makluman kepada rakan-rakan di Singapura.

NORA ELENA...DI SLOT AKASIA, TV3

Ada banyak sebab untuk saya ‘sakit jiwa’ menangani skrip Nora Elena. Terasa bagaikan Gambir, watak utama dalam Pintu Terlarang – novel Indonesia yang diadaptasi ke filem menggunakan tajuk sama. Mujur saya tidak menjadi seperti Gambir – menyembelih kepala orang!!!
Mujur juga lah dibantu oleh Azril Hamzah dan Shida Zali. [Setelah percubaan untuk menarik diri, gagal!]
Nora Elena bersiaran mulai Isnin, 9 Mei, di TV3, jam 7.00 hingga 8.00 malam melalui slot Akasia, TV3, setiap Isnin hingga Khamis.
Ini merupakan adaptasi daripada novel, KASIH YANG SUCI karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Wednesday, April 20, 2011

'IDEA PITCH' DI TV3...MULAI PENGHUJUNG APRIL

Stesyen televisyen untuk pasaran massa [mass market] yang paling ditontoni kerana 'jenama'nya, membuka sesi lontaran idea [Idea Pitch atau disebut juga pitching] mulai hujung bulan ini hingga awal bulan hadapan.
Ini lah stesyen yang paling banyak menolak idea saya atas alasan "tidak sesuai untuk pasaran massa." Saya akur.
Bagi memenuhi kehendak massa, TV3 menyasarkan 60 peratus penonton wanita dengan menumpukan kepada yang di luar bandar. Maknanya, segmen pasaran yang terdiri daripada kakak-kakak dan makcik-makcik di kampung. Sebahagian lagi pasaran ditumpukan kepada golongan pekerja pinggir bandar, tetapi masih kepada gender perempuan. [sub-urban working class girl].
Semoga berjaya kepada rakan-rakan penulis dan penerbit yang terbabit dalam sesi ini.

Monday, April 11, 2011

GBPSM KEKAL SEBAGAI GRUP FACEBOOK

Seramai 33 ahli hadir di majlis Minum Petang Sempena Ulang Tahun pertama GBPSM, di Galeri Shah Alam, Selangor. Pengarah Filem, Saw Teong Hin dan Kartunis/Pelukis, Tuan Haji Zainal Buang Hussein juga hadir sebagai tetamu istimewa.
Justeru, satu ketetapan dicapai bahawa GBPSM akan terus kekal sebagai salah satu GRUP FACEBOOK sebagai mana asalnya. Grup ini akan terus menjadi platform untuk menghubungkan para penulis skrin di seluruh negara.
Fokus utama ialah mengenalpasti berapa ramai penulis yang aktif dalam membekalkan isi kandungan kepada industri. Satu ’data base’ yang lengkap tentang golongan ini - yang selama ini terlibat sebagai ’industry player’ – akan dibangunkan secara perlahan-lahan tetapi konsisten.
Usaha ini akan dijalankan TANPA PERSATUAN BERDAFTAR. Tidak ada makna menubuhkan persatuan berdaftar, sedangkan para penulis yang aktif masih tidak mahu bersatu, memilih untuk membawa haluan tersendiri dan leka di dalam ’comfort zone’ masing-masing.
Justeru, tumpuan sekarang ialah penyatuan di bawah satu platform yang longgar, bebas, santai, bersahaja, tetapi ’action-oriented’, khusus buat mereka yang aktif menulis sahaja.
Kumpulan ini tidak bersifat ortodoks. Sekali sekala, dari alam maya, kita bertemu di alam nyata untuk berbincang lanjut dan merapatkan hubungan. Ini sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekarang ini rancak bertemu rakan-rakan FB beliau di alam nyata.
Dengan ketetapan ini, harapan kami agar terjawab lah dua persoalan utama yang sering dilontarkan, ”ke mana hala tuju GBPSM?” dan ”kenapa GBPSM tidak didaftarkan ?”
Jawapannya, GBPSM ingin menyatukan semua penulis aktif tanpa perlu berpersatuan. Akan tetapi, biarpun bebas tanpa pertubuhan berdaftar, kita tetap mempunyai PAKSI nya. Sekian.