Monday, August 31, 2009

JALAN MERDEKA...MULAI KHAMIS INI, 9 MALAM

"JALAN MERDEKA" bermaksud 'Road To Freedom'. Ini lah antara naskah yang sukar saya tangani dalam kerjaya sebagai penulis skrip. Ia mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan keseluruhan skrip yang durasinya sebanyak 13 episod x 45 minit. Dan memerlukan bantuan tiga penulis bersama iaitu Sofia J Rhyland (Awan Dania), Alfie Palermo (Tower 13), Ayuni Zamani (Impian 2) dan Khairul Aswad Ramli (Cicakman The Series).
Drama ini menjejaki perjalanan hidup tiga lelaki berbeza bangsa, berlatarkan pelbagai peristiwa penting negara (1955-2010) secara humor, ringan dan santai.
Agak menarik, ia diarahkan oleh bukan anak Malaysia iaitu Kabir Bhatia (India) dan Faisal Ishak (Singapura). Selain itu, kedua-dua eksekutif yang mewakili penerbit dan stesyen adalah juga warga asing. Anak tempatan yang turut membantu mengarahkannya ialah Nor Hisyam Mohd (LABU) dan Prem Annad Pillai.
JALAN MERDEKA tidak terkecuali melalui proses penapisan oleh pihak stesyen. Mana-mana isu yang dianggap sensitif pada kaca mata kerajaan, terlebih dahulu dicantas.
Harap-harap JALAN MERDEKA tidak menerima nasib seperti TUK KETUA terbitan Adlin Aman Ramli, arahan Sofi Jikan. Drama bersiri itu dianggap sebagai contoh negatif bagaimana eksekutif stesyen boleh 'terlepas pandang' akan isu-isu politik tanahair pada naskah itu.
JALAN MERDEKA dilakonkan oleh Sathiya sebagai Jegathesan, Mustafa Kamal sebagai Piramli dan Chen Kin Wah sebagai Chow Kit. Salleh Yaacob turut muncul sebagai bintang undangan, memegang watak Saidon Pisang a.k.a. Donny.
Drama 13 episod ini akan ditayangkan di saluran Astro Warna (Comedy Channel-Saluran 132) mulai 3 Spetember ini, Khamis jam 9 malam. Astro Warna adalah saluran baru yang diperkenalkan bersama Astro Citra dan B4U (Bollywood). Ketiga-tiga saluran ini berada di bawah Pakej Mustika dengan harga RM12.00
Selamat Hari Merdeka dan selamat menonton Jalan Merdeka.

Friday, August 28, 2009

NUR KASIH...SIARAN ULANGAN DAN TAYANGAN SINGAPURA

Ramai juga yang merungut kerana Nur Kasih bersiaran serentak dengan solat Terawikh di bulan Ramadhan ini. Biarpun boleh menontonnya melalui catch-up shows di laman web TV3, ramai yang lebih selesa menonton melalui televisyen. Apatah lagi di kalangan 'kakak-kakak' dan 'makcik-makcik' yang tidak terdedah kepada internet.
Namun kini, tidak perlu merungut lagi kerana sudah ada siaran ulangannya di TV3 yang bermula setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu jam 5.00 pagi.
Dalam perkembangan lain, saya terlupa memaklumkan bahawa Nur Kasih turut ditayangkan serentak di Singapura, bermula 29 Mei lalu. Bagaimanapun, tayangan di negara jiran itu bermula lewat sejam setengah iaitu pada 10.30 malam setiap Jumaat. Memandangkan ia disiarkan melalui saluran televisyen berbayar, TV SENSASI, siaran ulangannya diadakan dua kali pada keesokan hari, Sabtu, jam 10.30 pagi dan 5.30 petang. Pada mulanya, saya hairan bagaimana drama yang sedang bersiaran di sesebuah stesyen boleh ditayangkan serentak di stesyen lain. Bagaimanapun, penerbit memberitahu :
Hal ini boleh terjadi jika melibatkan negara berlainan. Akan tetapi tidak akan berlaku di dalam negara yang sama. Ia tertakluk kepada perundingan antara penerbit dan stesyen semasa menjual hak tayangan.
Berdasarkan amalan biasa, kebanyakan drama Malaysia memasuki Singapura setelah setahun atau lebih ia ditayangan di negara ini. Setakat ini, Singapura mempunyai dua saluran berbahasa Melayu sepenuhnya iaitu TV SENSASI dan TV SURIA. Drama Tangisan Bulan Madu yang skripnya turut ditulis oleh saya, kini sedang bersiaran di TV Suria setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.30 malam.

Monday, August 24, 2009

PITCHING RTM....ADAPTASI 'MAHLIGAI' DAN 'TBM 2'

Khamis lalu, saya melontarkan idea untuk slot adaptasi drama tempatan. Mahligai karya Salina Ibrahim dan Tangisan Bulan Madu (TBM) musim kedua karya Samsiah Mohd Nor. Kepada mereka yang akan pitching slot ini, ada soalan cepu emas yang perlu diberi perhatian.
"Novel ini bagus. Tetapi bagaimana kamu hendak mempastikan bahawa skripnya nanti menjadi sebagus novel?"
Wah! Tu diaaaaaaa...! Bagi sekuel TBM pula, soalan 'maut'nya berbunyi :
"Musim kedua drama tempatan selalunya tidak sebaik musim pertama. Jadi, bagaimana kamu mempastikan bahawa sambungannya nanti akan jadi sebaik yang asal?"
Soalan maut itu terlontar kerana ahli panel telah membaca novel Mahligai dan menonton TBM musim pertama. Mereka mengakui kedua-dua karya ini sebagai karya yang bagus. Ini menyebabkan mereka meragui kualiti karya seterusnya. Berdasarkan karya-karya terdahulu yang pernah tersiar - samada adaptasi novel atau sekuel - sering gagal menyaingi kredibiliti naskah asalnya. Jadi, keraguan mereka itu memang munasabah dan wajar.
Apa pun, selamat maju jaya kepada HANISAH OTHMAN, yang akan pitching novelnya sendiri, OBSESI CINTA, pada hari ini. Hanisah seorang guru dan penulis genre sastera. Ini adalah percubaan pertama beliau dalam bidang penulisan skrip drama televisyen.
Dan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pembaca blog ini.

Tuesday, August 18, 2009

TANGISAN BULAN MADU KE SINGAPURA

Drama bersiri Tangisan Bulan Madu (TBM) yang diadaptasi daripada novel popular bertajuk sama, karya Samsiah Mohd Nor, kini sedang bersiaran di Singapura. Drama 30 episod itu menemui penonton negara berkenaan melalui saluran TV Suria, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.30 malam. Dalam perkembangan lain, sekuelnya yang masih di peringkat konsep sudah dipanggil untuk 'pitching' di RTM pada khamis ini. Ia dirancang untuk mengisi slot Cindai iaitu slot telenovela 40 episod x 1 jam yang diadaptasi daripada novel tempatan.
TBM menemui penonton pada Mei hingga Ogos tahun lalu dan berjaya menarik 1.3 juta penonton. Ia diulangtayang pada Januari hingga Februari tahun ini dan tercalon ke Anugerah Skrin 2008 dalam kategori drama rantaian.
Kepada peminat setia TBM, sama-sama lah kita mendoakan agar hasrat meneruskan 'sekuel' ini terlaksana.

Wednesday, August 12, 2009

BENGKEL PENULISAN SKRIP SABTU INI...JANGAN LEPASKAN PELUANG

Ini berita baik untuk mereka yang berminat menceburi bidang penulisan skrip drama TV dan filem. Biro Penulisan Skrin, Persatuan Karyawan akan menganjurkan Bengkel Penulisan Skrin di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada 15 Ogos ini (Sabtu). Bengkel sehari itu akan dikendalikan oleh pengerusi biro, Shamsul Ambia Mat Daud yang akan dibantu oleh beberapa Ahli Jawatan Kuasa dan sekretariat Karyawan.
“Antara perkara utama yang akan dibincangkan adalah bagaimana mengubah sinopsis atau karangan cerita ke bentuk skrin TV. Mereka juga akan dibawa mengkaji satu telefilem terkini.
“Dari situ peserta akan diterangkan bagaimana untuk memberi impak dramatik, Act I, II dan III, apa itu Foreshadow, Dramatic Irony, Inciting Inccident, Climax dan lain-lain bahasa asas dalam Penulisan Skrip TV.
Yuran pendaftarannya RM10.00 sahaja. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel ini boleh menghubungi 03-79552967/79606459 atau 012-3006084 (Ahmad).

Thursday, August 6, 2009

'PITCHING' RTM KEMBALI LAGI...

Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membuka sekali lagi sesi pitching atau idea pitch (lontaran idea). Kali ini tawaran untuk slot drama Melayu lebih banyak. Ia tidak seperti pada Februari lalu yang hanya slot telemovie dan mini-series untuk sambutan hari tertentu. Bermakna, sesiapa yang berhajat menulis drama rantaian 13 atau 26 episod, sila lah mencuba kali ini.
Tidak terkecuali untuk slot telenovela CINDAI yang mengkhusus kepada drama adaptasi daripada novel-novel tempatan masakini. Slot berkenaan menawarkan drama rantaian 40 episod dengan durasi satu jam setiap episod
Bagi drama rantaian (biasanya disebut drama bersiri), RTM lazimnya meminta penulis skrip mengemukakan sinopsis untuk setiap episod (episodic synopsis). Bagaimanapun, untuk pitching kali ini, tidak perlu lagi. Cukup sekadar menghantar sinopsis keseluruhan yang tidak melebihi tiga mukasurat. Peraturan ini pastinya lebih 'mesra alam' kepada golongan penulis skrip yang biasanya kesuntukan masa untuk menulis.
RTM juga membuka tawaran kepada program lain seperti Dokumentari, Majalah dan Muzik.
Taklimat mengenainya diadakan pagi tadi, jam 9.30 untuk para penerbit. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Ogos ini. Seterusnya, RTM akan memanggil penerbit dan penulis skrip mulai 17 Ogos hingga 11 September. Kepada semua penerbit dan penulis skrip, pada bulan puasa nanti, mari lah sama-sama kita 'berkampung' di Bukit Angkasa, ya. Best of luck!!
p.s. - sesiapa yang ingin membaca pengalaman pitching saya pada Februari lalu, boleh lah klik tajuk RTM pada ruangan 'LABELS' di sebelah kiri blog ini.

Monday, August 3, 2009

NUR KASIH TEWAS PADA KELIWON, BIO-NIK

Setelah 10 minggu bersiaran di TV3 pada setiap Jumaat, 9 malam, NUR KASIH gagal menyaingi KELIWON (slot Seram) dan BIO-NIK (slot Aksi). Dua drama berkenaan sentiasa mendapat tempat pertama dan kedua dengan jumlah penonton melebihi 3 juta. Malah, pada minggu-minggu tertentu, KELIWON musim pertama pernah mengatasi rating Buletin Utama. Fakta ini agak mengejutkan. Jadi, tidak hairan lah bila ia terus bersambung ke musim kedua tanpa ada ‘gap’ di antaranya.
NUR KASIH bermula dengan ranking TOP 15 dengan penonton sekitar 2 juta lebih. Ia pernah memasuki TOP 10 iaitu di tangga ke 9-10 . Kemudian, turun kembali ke tangga 11-12. Penurunan ini agak mengejutkan peminat setianya. Nampaknya, sambutan menggalakkan di internet dan perbualan orang mengenainya, gagal diterjemahkan dalam bentuk rating sebenar yang dikendalikan oleh agensi iklan, AC Nielsen.
Satu lagi drama tulisan saya, DATIN WAN ABE, bermula dengan ranking TOP 10 (2 juta lebih) sejak siaran pertama pada 19 Mei lalu. Pun begitu, masih gagal ‘memukul’ drama sebelumnya, MR MAMA 2 yang menduduki senarai TOP 5. Rating DATIN WAN ABE juga menjunam mendadak pada hari pengkebumian Michael Jackson, menjadikan jumlah penontonnya sekitar 1.7 juta.
Sementara itu, TV2 jarang sekali berupaya menyaingi TV3. Akan tetapi drama bersiri JANGAN PANDANG BELAKANG arahan Ahmad Idham, berjaya mencatat rating yang baik. Ini bermakna selera penonton masih menjurus ke arah genre seram.
Selepas KELIWON, drama baru, TOWER 13 akan bersiaran di slot Seram TV3, setiap Khamis, jam 9 malam. Drama ini diarahkan bersama oleh Kabir Bhatia dan Joeza Rasidi. Tidak pasti pula siapa penulis skripnya. Yang pasti, ia diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki bersama oleh Kabir dan isterinya, Mira Mustaffa. Jadi, sama-sama lah kita tunggu samada TOWER 13 juga akan ‘memukul’ NUR KASIH yang merupakan ‘kakak’nya kerana dilahirkan oleh ‘bapa’ yang sama.
Tentang Joeza, pengarah ini turut membantu Kabir mengarahkan NUR KASIH Episod 8, yang skripnya ditulis oleh saya. Ini kali kedua kami bekerjasama dalam sebuah produksi. Tahun lalu, Joeza mengarahkan RENJIS 1, drama tulisan saya di Astro Ria yang diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn Bhd.