Anugerah Skrin [ASK] 2012 baru saja berlalu. Namun, acara berprestij itu tercalar dengan persembahan yang membosankan, walaupun konsepnya bagus. Bagi penggiat filem dan drama, agak mengecewakan apabila penat lelah bekerja selama setahun diraikan dalam majlis yang agak meleret persembahannya. Apatah lagi apabila ada dialog yang menghina hukum agama diucapkan oleh sepasang "Mega-Star " tempatan yang naik ke pentas untuk menyampaikan tropi kepada pemenang.
Selain itu, ada juga calon yang tidak mendapat undangan,
antaranya Martias Mohd Ali yang berjaya ke pusingan akhir - Lima Terbaik [Top 5] untuk kategori Lakon Layar [Skrip] melalui filem Libas. Sementara itu, penulis Shahriman Wahap hadir atas jemputan Tayangan Unggul Sdn Bhd, berdasarkan filem tulisannya, Hoorey Hoorey yang diterbitkan oleh syarikat itu. Biarpun sebuah lagi filemnya, 7 Petala Cinta tercalon dalam Top 5, beliau tidak mendapat apa-apa makluman daripada penerbitnya, MIG. Penulis cerita
asal [novelis] Ombak Rindu, Fauziah
Ashaari juga tidak menerima undangan walaupun filem itu juga ke pusingan akhir.
Salah siapa, ini terjadi? [Nota : penganjur ASK biasanya meng'amanah'kan tugas menjemput karyawan kepada penerbit setiap karya yang tercalon]
Apa pun, dari segi penjurian, saya berpuas hati dengan
terpilihnya Jangan Ambil Padang Kami [JAPK] dari Astro Ria sebagai Drama
Rantaian Terbaik. Memandangkan kekuatan [forte]
saya adalah drama bersiri, ini lah
kategori yang setiap tahun membuatkan jantung saya berdebar-debar. Sejak empat
tahun kebelakangan ini, ramalan saya mengenainya tepat belaka. Bermula dengan Kekasih Ku Seru [2009], Nur
Kasih [2010] dan Juvana [2011]. Ketiga-tiga drama bersiri sebelum ini dibolot
oleh syarikat yang sama iaitu Filmscape Sdn Bhd. Hanya pada tahun ini, tuah beralih kepada
Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.
Bagi kategori Drama Terbaik, tiada apa hendak diulas,
memandangkan saya tidak menonton kesemua 18 telemovie yang tercalon di pusingan
awal kecuali Parit Jawa, Pelarian, Maharku Untuk Mu dan Perempuan Neraka. Keempat-empat telemovie ini ditonton dengan serius di Youtube sebelum ASK. [Cewwah..macam nak jadi juri pulak!] Kategori ini mengekalkan
dominasi Filmscape Sdn Bhd dalam menerima hadiah utama [Grand Finale] selama empat
tahun berturut-turut di pentas ASK. Kali ini melalui Di Telapak Kaki Bonda
tulisan Lam Pung Fui, arahan Kabir Bhatia.
Manakala untuk kategori filem, saya hampir tidak boleh
memilih antara Songlap dan Bunohan. Pada pandangan saya, Songlap lebih bagus
dari segi penceritaan dan skrip. Bagaimanapun, pihak juri memilih Bunohan untuk
kategori berkenaan. Sedangkan dari segi lakonan, saya memilih Faizal Hussein
dari Bunohan. Tetapi juri pula memilih
Shaheizy Sam dari Songlap. [Haha..ramalan yang terbalik!] Pastinya para juri
lebih arif dalam penilaian mereka. Sekadar mengimbas ke belakang, penulis Songlap,
Fariza Azlina Isahak pernah meraih
kategori Lakon Layar Terbaik ASK 2009 melalui filem Kami The Movie,
terbitan syarikat yang sama, Red Communications Sdn Bhd.
[Nota : Lakon Layar
adalah istilah yang sama untuk skrip. Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Screen
Play. Penulis pula digelar sebagai Screen Writer atau Penulis Skrin. Kerap kali
ada orang bertanya kenapa tiada kategori untuk penulis skrip, walhal nama
kategorinya telah disebut sebagai Lakon Layar untuk filem dan Lakon TV untuk
telemovie ]
Saya sebenarnya tidak bersetuju kategori filem
dipertandingkan dalam ASK. Biar lah
filem diuji kekuatan dalam Festival Filem Malaysia [FFM] secara ekslusif.
Manakala ASK dikhususkan kepada karya televisyen semata-mata. Ibarat
FFM itu Academy Award Malaysia manakala ASK, Emmy Award Malaysia. Dikhuatiri juga keputusan ASK akan mempengaruhi penilaian juri pada FFM
nanti kerana ASK dianjurkan lebih awal. [Betul kah teori ini??] Bagaimanapun, disebabkan
penganjur juga mempunyai kepentingan di dalam industri filem - mempunyai anak
syarikat yang menerbit dan membiayai filem -
wajar lah bagi mereka memasukkan kategori filem ke dalam ASK. Akur.
Akhir kata, tahniah kepada semua calon yang karya mereka
atau diri mereka berjaya ke Top 5 pada Jumaat lalu.
No comments:
Post a Comment