Sunday, January 5, 2014

Cinta Pandang Kedua : Sebuah Inspirasi

Sudah sebulan drama bersiri Cinta Pandang Kedua (CPK2) bersiaran di Slot Aurora TV9. Siri 13 episod ini merupakan inspirasi daripada novel bertajuk sama karya Laila Kamilia. Ini merupakan novel beliau yang keempat dan naskah skrip saya yang ketiga diangkat dari novel. Pertama, Tangisan Bulan Madu karya Samsiah Mohd Nor.  Kedua, Kasih Yang Suci (Nora Elena) karya Meen Zulaika. Bagaimanapun,  CPK2 sekadar mengambil inspirasi daripada kisah dalam novel.

Inspirasi bermaksud hanya mengambil 'teras' (core) atau konsep asas dari novel untuk olahan  semula ke bentuk skrip televisyen dengan gaya tersendiri. Ini dibuat bagi  menyesuaikan dengan Aurora yang bertemakan remaja. Sebagai contoh,  kedua-dua watak utama dalam novel berusia 30-an dan dianggap tidak sesuai dengan tema Aurora. Justeru, bagi versi televisyen, hero dan heroin terpaksa  di'muda'kan kepada 23 tahun.

Aurora juga berkonsepkan ringan, santai, ceria, comel, mencuit hati dan bersahaja. Sesuatu yang agak berbeza dengan cara penceritaan  di dalam novel yang agak berat. Novel membawakan kisah Ainur  yang terpedaya dengan Profesor Madya Dr Ahmad Redza sebelum menemui Zairul. Bagi menyesuaikan dengan kehendak Aurora, kami memberi penekanan utama kepada kisah Ainur bersama Zairul, manakala kisah Ainur bersama Dr Ahmad Redza dijadikan sebagai jalan cerita sampingan (sub-plot).

Antara cabaran yang kami barisan penulis skrip hadapi di peringkat awal ialah untuk menukarkan kisah yang sarat dengan moral dan isu sosial di dalam novel ini kepada sesuatu yang lebih bersifat 'feel good' dan menghiburkan untuk siaran televisyen.

Selain itu, sangat sukar untuk mencari  seorang pelakon  bertubuh langsing dan seorang lagi pelakon bertubuh gempal bagi watak Ainur.  Pihak produksi beruntung kerana berjaya mendapatkan khidmat pelakon remaja popular Izara Aisyah sebagai Ainur yang berusia 23 tahun. Namun, masalah utama ialah untuk mencari pelakon bertubuh gempal berusia 17 tahun yang berwajah mirip Izara Aisyah. Bagi menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa menambah jalan cerita (plot)  Ainur mengalami kemalangan dasyat sehingga menghancurkan seluruh mukanya lalu terpaksa menjalani pembedahan plastik. Ini lah yang menyebabkan wajahnya turut berubah di awal dewasa. Tambahan  plot ini  hasil rundingan bersama dengan pihak TV9, penerbit novel Alaf 21 Sdn Bhd  dan Laila Kamilia sendiri.

Tidak terkecuali cabaran untuk memilih dan membuang watak dan plot yang terlalu banyak di dalam novel. CPK2 versi novel membawakan pelbagai kisah dan ragam manusia secara sepintas lalu. Ia bukan sahaja tentang cinta Zairul  kepada Ainur.  Sebaliknya merangkumi  rentetan peristiwa demi peristiwa antara   Zairul bersama rakan sepejabat, keluarganya yang terdiri daripada ibu, bapa dan kakaknya, teman serumah dan jirannya juga. Mama Ainur, Puan Dalilah juga mempunyai kisahnya yang tersendiri bersama bekas kekasih, Dr Ahmad Redza. Begitu juga dengan 'skandal pejabat' antara Zuhri dan Julie. Mungkin memberi kepuasan apabila membaca novel yang mempunyai pelbagai 'sub-plot', watak dan insiden seperti ini. Tetapi untuk mengangkatnya ke drama bersiri 13 episod, memang menyukarkan.  Akhirnya, banyak kisah dan watak terpaksa dikorbankan dengan tidak diangkat langsung ke televisyen. Ada watak terpaksa dikecilkan. Ada jalan cerita  terpaksa diringkaskan. Justeru, masalah utama untuk skrip televisyen ialah 'durasi' yang terhad.

Apa pun, yang paling merumitkan dalam proses kreatif ini  ialah untuk menunjukkan secara visual  (show) sedangkan novel berbentuk penerangan atau descriptive (tell)'Show… don't tell..' bukan lah sesuatu yang mudah. Ini lah yang membezakan antara  skrip televisyen (atau filem) dengan manuskrip novel.

Apa pun, saya berterima kasih tidak terhingga kepada Laila Kamilia yang banyak memberi restu, kerjasama padu, kesefahaman dan bantuan pada  bila-bila masa diperlukan di sepanjang proses penulisan skrip selama dua bulan. CPK2 dihasilkan bersama dengan penulis skrip Zuli Ismail yang menulis sebahagian besar treatment dan skrip penuh. Manakala Eenaz Mokhtar membantu dari segi dialog untuk beberapa episod.

Terima kasih juga kepada penerbit, Zaini Kosnin dari ZKCPRO Sdn Bhd dan Pengarah, Mohd Nazir Juhan (Jet Lee) serta seluruh ahli pasukan produksi yang gigih mempastikan produk akhir CPK2 terbit pada kualiti yang terbaik.

CPK2 akan bersambung lagi ke episod 5 pada Khamis ini, 9 Januari, jam 8.30 malam. Teruskan menonton sehingga ke penghujungnya….




No comments: