Kenapa mereka menyiarkan sesuatu yang bersifat mundur ke belakang (backward) seperti ini?
Terus terang, saya tidak menyukainya. Pada pendapat saya 'hantu-mantu' tidak lagi releven dengan zaman moden ini, bak kata satu dialog dalam filem P. Ramlee :
'Ini zaman moden, mana ada hantu'.
Bagaimanapun, pandangan saya berubah apabila menonton musim kedua drama berkenaan. Ada sesuatu yang menarik dari segi jalan cerita dan persembahannya. Sehinga orang yang jarang menonton drama Melayu, turut melekat di hadapan televisyen pada setiap malam Jumaat. Kejayaan dua sekuel itu disusuli oleh sebuah filem, Susuk The Movie. Manakala salah satu sekuel memenangi kategori drama rantaian terbaik di Anugerah Skrin.
Rentetan itu, drama dan filem seram muncul bagaikan cendawan lepas hujan, berikutan permintaan tinggi daripada pasaran (penonton)
Saya kemudiannya mula menerima genre ini atas dasar akur pada kehendak pasaran (market). Apatah lagi setelah menonton salah satu drama seram yang baik dari segi skrip, persembahan dan kualiti pembikinan, Kekasih Ku Seru. Sama seperti Susuk, drama ini juga menggondol kategori drama rantaian terbaik di Anugerah Skrin, tahun berikutnya.
Namun, nasib saya kurang baik dalam genre ini. Mungkin kerana kurang minat, kurang kemahiran dan beberapa faktor lain dari segi 'execution'. Termasuk halangan dan peraturan oleh pihak penapisan. Jadi, saya hanya sempat menulis dua tajuk - satu telemovie dan satu lagi drama bersiri. Kedua-duanya kurang menyerlah.
Dalam pada itu, saya mengikuti setiap isu berkaitan drama dan filem seram. Antara pendapat yang menarik ialah artikel bertajuk Lambakan Filem Seram Yang Kelam oleh blogger agama, Ustaz Saiful Islam. Walaupun saya berpendapat genre seram tidak bermanafaat, saya faham kenapa penonton mahukannya. Ia berkaitan dengan naluri manusia yang mahukan hiburan. Ketakutan menonton filem seram sama seperti ketakutan menaiki roller coaster. Memang lumrah manusia suka mencabar diri untuk berada di dalam keadaan cemas. Malangnya, filem dan drama seram tempatan gagal memberi impak ketakutan seperti mana menonton filem seram dari negara Asia yang lain, misalnya Thailand, Korea dan Jepun. Saya tiada masalah dengan genre seram asalkan ia berkualiti dan tidak mempromosi tahyul atau khurafat atau mencalarkan akidah. Ini lah komen saya ketika diwawancara oleh sebuah akhbar harian, waktu polemik genre seram berleluasa dua tiga tahun dahulu.
Dalam pada itu, kemahiran saya lebih kepada genre komedi romantik. Beberapa tawaran dalam genre ini dilunaskan dan mendapat reaksi positif di pihak penonton dan eksekutif stesyen. Antaranya seperti Nora Elena yang diangkat daripada novel popular karya Meen Zulaika bertajuk Kasih Yang Suci.
Ketika Nora Elena sedang rancak di TV3, saya mendapat tahu pihak stesyen berkenaan sedang menilai empat lagi naskah novel untuk di angkat menjadi drama bersiri. Saya juga membaca berita akhbar ketika itu, bahawa salah sebuah stesyen swasta sudah membeli hakcipta untuk 10 judul novel tempatan yang paling laris di Malaysia (Malaysian Best Seller)
Saya mula memberitahu kawan-kawan yang mungkin drama adaptasi daripada novel popular bakal menggantikan tempat drama seram, tidak lama lagi.
Ironi, hampir semua yang mempunyai jalan cerita sama itu telah mendapat rating tinggi dan trending di laman sosial (twitter). Berikutan sambutan hangat ini, stesyen dijangka akan terus mengikut 'trend' ini. Biarpun mereka menyedari tentang isu-isu yang berligar di sekitarnya. Mereka akan terus menyiarkan drama-drama seperti ini, sehingga lah rating (peratusan tontonan) jatuh dengan sendirinya nanti….
1 comment:
adaptasi novel mungkin klise dari segi jalan cerita tapi penonton tetap mahu melihat adegan sweet dan romantik sebab ada efek feeling good.
sebagai pembaca novel melayu, trend ini sedikit sebanyak mengecewakan (faktor klise) tapi tetap memberi harapan pembuka jalan untuk novel-novel yang berkualiti muncul di skrin.
selebihnya, tunggu dan lihat.
Post a Comment