Wednesday, December 1, 2010

KENAPA FILEM HOLLYWOOD BAGUS

Kenapa filem Hollywood bagus? Salah satu daripada jawapannya, terletak pada kesanggupan pengamal industrinya berbelanja besar untuk membangunkan sesuatu skrip. Menurut guru Master Class Screenwriting, Mr Yasu Tanaka yang bekerja di sana, industri itu membelanjakan USD 750 juta setahun untuk Script Development.
Jumlah yang menyamai RM30 ribu juta ini, sebahagian besar untuk membayar "Development Fee" kepada semua penulis yang terlibat dalam membangunkan sesuatu skrip.
Katanya, filem atau drama TV di Hollywood pasti melibatkan ramai penulis yang bekerja dalam pelbagai peringkat - bermula dari idea asal sehingga lah kepada draf terakhir atau shooting script.
Manakala bagi mereka yang berjaya dalam idea pitch [di sini disebut Pitching], tetapi penerbit belum berkesempatan menjadikannya filem atau siri TV, penulis tetap dibayar sejumlah wang yang digelar "Option Fee". Ini membolehkan idea itu dipegang oleh penerbit untuk tempoh tertentu, misalnya enam bulan. Selepas tempoh itu, jika masih belum dibuat apa-apa, penulis berhak menarik balik idea itu dari penerbit tanpa memulangkan wang yang telah diambil. Tetapi jika penerbit masih berminat dengan idea itu, kontrak perlu ditandatangani semula untuk beberapa bulan lagi dan "option fee" wajib dibayar lagi.
Justeru, di sana terdapat penulis yang tidak pernah melihat karya mereka tersiar di TV atau panggung wayang, tetapi masih boleh hidup dengan menerima "option fee".
Sementara itu, penerbit tidak mungkin membaca kesemua sinopsis atau treatment yang diterima kerana jumlahnya begitu banyak. Oleh itu mereka mengupah orang lain untuk membacanya yang digelar "reader". Pemegang jawatan ini perlu mahir menulis kerana mereka akan menulis semula sinopsis atau treatment yang dibaca itu dalam ayat yang lebih ringkas. Golongan ini juga dibayar lumayan. Malah ramai penulis mapan di Hollywood memulakan kerjaya mereka dengan menjadi "reader".
Begitu lah adanya senario di negara pengeksport filem terbesar dunia itu....

Thursday, November 25, 2010

NUR KASIH MENANG SHOUT! AWARDS

Drama Bersiri NUR KASIH, berjaya memenangi SHOUT! AWARDS, dalam kategori FRESH DRAMA SERIES. Calon lain dalam kategori ini seperti Qalesya, Blogger Boy, Gelora Di Hati Sara, Arjuna dan Adamaya.
Bagaimanapun pasangan watak utamanya, Remy Ishak dan Tiz Zaqiyah tidak pula terpilih sebagai pemenang kategori Best On Screen Chemistry. Sebaliknya dimenangi oleh Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay melalui filem Papadom.
Sementara itu, hadiah utama yang digelar ULTIMATE SHOUT, diraih YUNA berdasarkan kejayaannya mencipta pembaharuan dalam industri muzik tempatan. Gadis ini turut menyapu bersih dua lagi kategori.
Anugerah ini merupakan kali kedua anjuran 8TV, diadakan di Bukit Jalil pada Jumaat lalu. Ia bertujuan untuk meraikan karyawan di dalam industri hiburan secara keseluruhan yang merangkumi muzik, televisyen, filem dan radio. Semua pemenang ditentukan secara undian orang ramai melalui internet kecuali anugerah utama ditentukan oleh juri.

Monday, November 22, 2010

"AYOUB"...MULAI 23 NOVEMBER IINI

Kisah ini pada mulanya hanya sepanjang lima muka surat power point. Diilhamkan daripada perjalanan hidup Nabi Ayub Alaihisalam, ia ditulis untuk sesi idea pitch TV3 pada Mei lalu.
Idea ini kemudiannya melalui banyak penambahbaikan dan improvisasi di tangan rakan saya, Faznita Mohd Nor. Daripada tajuk asalnya, FILANTROPI, berubah menjadi AYOUB. Di tangan Faznita juga, skripnya digarap sehingga lah menemui penonton mulai esok, Selasa, 23 November 2010, jam 10.30 malam.
Semoga drama ini mendapat perhatian penonton sebagaimana "YUSOFF", drama slot Samarinda sebelum ini, yang juga ditulis oleh Faznita. Drama ini juga diilhamkan daripada kisah nabi. Ia mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga tercalon ke Anugerah Skrin 2009 dalam kategori Drama Rantaian.
Keterangan Gambar : Barisan pelakon utama Ayoub terdiri daripada Iqram Dinzly, Fizz Fairuzz, Fiza Halim dan Watie Elit.

Thursday, November 18, 2010

"....DALAM BOTOL", ULASAN SEPARUH JALAN

Sayang sekali, saya cuma sempat menonton pertengahan cerita ..Dalam Botol, filem terbitan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman. Saya tiba lewat setengah jam ke private screening filem berkenaan di FINAS dan keluar awal setengah jam sebelum ia berakhir kerana terpaksa mengambil anak di kelas al-Quran. Tidak adil lah untuk mengulas cerita yang ditonton separuh jalan. Apa pun, berdasarkan tontonan selama satu jam di tengah-tengah, saya mendapati :
Plot atau jalan cerita filem ini agak menarik untuk diikuti. Ada sesuatu yang membuatkan kita tertunggu-tunggu apa akan berlaku dalam babak seterusnya.
Dari segi emosi, ia agak menyentuh perasaan, terutama dalam babak Ruby @ Rubidin balik kampung menemui ayah ibunya dalam pakaian dan bentuk tubuh seorang wanita. Terima kasih kepada pengarah dan penulis skrip kerana tidak mengulang babak cliche bapa menengking, "Anak tak guna!" dan melempang anak hingga jatuh tangga.
Babak Rubi memandikan jenazah bapanya juga menyentuh hati.
Dari segi tema, filem ini dianggap taboo oleh pengamal industri perfileman Malaysia. Bagaimanapun, al-Quran tidak pula berselindung atau mengelak daripada tema ini. Saya sempat menyemak tafsir al-Quran pimpinan ar-Rahman Jakim dan mendapati ia diceritakan dalam Surah Hud, Ayat 77-83 dan Surah al-A'araaf, Ayat 80-84.
Ia tentang Nabi Lut bersama kaumnya di negeri Sodom. Menyentuh tentang pendirian golongan ini, bagaimana Lut menasihati mereka, hukuman terhadap mereka dan betapa perlunya larangan ini dipatuhi sehingga kesan hukuman itu dikekalkan untuk tatapan umat Muhammad hingga ke hari ini iaitu di Laut Mati, Palestin.
Saya sempat juga mengintai ke halaman Bible [New International Version] - yang sudah berhabuk akibat jarang sekali dirujuk. Mukasurat 623, Surah Romans 1, Ayat 25-27 memberitahu bahawa golongan ini merupakan mereka yang terhukum setelah engkar menyembah Tuhan. Akibat menyembah makhluk lain termasuk binatang, Tuhan menukarkan nafsu mereka agar kontra dengan sifat semulajadi [fitrah] manusia iaitu lelaki berkehendakkan lelaki manakala perempuan berkehendakkan perempuan.
Pada pandangan Islam, kisah yang berlawanan dengan fitrah manusia seperti ini boleh diangkat [diceritakan] asalkan ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan dijadikan sebagai sempadan, seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran. Apabila terbaca ulasan beberapa blogger yang mengatakan ... Dalam Botol sebuah filem anti-gay, mungkin juga TEMA FILEM INI selaras dengan prinsip Islam itu sendiri yang sememangnya anti-gay! Akan tetapi terdapat paparan visual aksi terlarang yang berlebihan sehingga tidak melayakkan filem ini digelar 'dakwah' sebagaimana yang didakwa Raja Azmi dalam kenyataan akhbar pada tahun lalu : "saya ingin berdakwah [melalui filem ini]". Jika benar pendapat mengatakan ia filem anti-gay, memadai lah dengan pendapat itu tanpa mencemarkannya dengan perkataan 'dakwah' kerana dakwah dalam Islam mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk dipatuhi.
Justeru, nantikan tayangannya di pawagam pada Februari tahun hadapan. Manakala pra-tonton untuk media tempatan akan diadakan pada tahun ini.
Tontonan pada 10 November lalu dikhususkan kepada blogger tempatan termasuk media asing seperti Associate Press, BBC dan Reuters. Ia mendapat maklumbalas positif dari blogger.
...Dalam Botol yang pada mulanya bertajuk "Anu Dalam Botol" dilakonkan oleh pendatang baru, Arja Lee dan Wan Raja. Turut dibantu Diana Danielle, Normah Damanhuri, Jalil Hamid dan Ogy Ahmad Daud. Filem ini merupakan arahan pertama Khir Rahman, yang juga seorang pelakon, aktivis teater dan pengacara.

Monday, November 8, 2010

AKHIRNYA SAYA MASUK SWAM

Setelah sekian lama menangguhkan hasrat menyertai Screen Writer's Association of Malaysia [SWAM], sekarang baharu lah terlaksana. Kenapa saya masuk SWAM? Jawapannya kerana ini lah takdir yang telah tertulis.
Keterangan gambar : Bergambar dengan AJK SWAM, Asmira, Rashidah dan Leni dalam majlis Jom Mesra bersama SWAM di Dataran Finas, Ahad lalu.

Wednesday, October 27, 2010

MEDIA PRIMA PERTINGKATKAN KANDUNGAN

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Media Prima Berhad akan melabur sebanyak RM200 juta untuk kandungan tempatan dan antarabangsa, pada tahun hadapan. Namun, tidak disebutkan berapa peratusan tempatan dan berapa pula peratusan untuk antarabangsa. Adakah 70-30 seperti RTM? Atau sebaliknya?
Apa pun, selama ini kandungan tempatan di TV3 dan TV9 memang menyerlah walaupun kita tidak tahu kadar peratusan yang sebenarnya.
Jika benar adanya pelaburan berkenaan, mungkin ini boleh menjadi satu berita yang positif untuk warga kerja di sektor televisyen.
Laporan yang sama turut menyebut bahawa rancangan Akademi al-Quran di TV9 akan diteruskan tetapi dengan membuat sedikit perubahan iaitu menyelitkan unsur hiburan.
Saya tidak pasti sejauh mana hiburan boleh dicampur aduk dengan al-Quran. Serah sahaja kepada pakar agama untuk komen tentang kenyataan ini. Apa pun, di sebalik berita tidak berapa gembira di sektor filem melalui keputusan Festival Filem Malaysia ke-23 Ahad lalu, mungkin terselit sedikit harapan untuk sektor televisyen berkembang maju dengan rancangan lebih berkualiti dan membuka minda masyarakat, InsyaAllah.

Wednesday, October 20, 2010

MEMUPUK SEMANGAT 'WRITER'S GUILD'

Alhamdulillah, pada Ahad lalu, 17 Oktober 2010, para penulis skrip telah berkumpul sekali lagi di Bangi Kopitiam, Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor. Perjumpaan itu sekadar untuk merapatkan silaturrahim sesama sendiri, dan seterusnya memupuk semangat 'Writer's Guild' yang selama ini tidak begitu memberangsangkan. Al-maklum lah di kalangan penulis skrip, masing-masing terlalu sibuk memenuhi permintaan TX [tarikh tayangan] sehingga tiada kesempatan untuk bertemu, bertanya khabar dan bersatu dalam beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama. Paling kuat pun, hanya berkenalan dan bertanya khabar melalui blog dan FB. Jadi, bermula dengan perjumpaan di alam maya itu, kami berpindah ke alam nyata. Beberapa nama yang sudah dikenali dalam dunia televisyen, tetapi baru pertama kali menyertai perjumpaan ini, seperti
Shahriman Wahap, Tok Uban [Mohd Fadzil Mazlan], Sha Hanim Ramli, Shida Zali dan Sakirah Abu Bakar.
Banyak perkara dibincangkan dalam suasana santai, ceria, tenang dan yang paling penting ialah 'persefahaman'. Ini lah yang dicari selama ini, mudah-mudahan apa yang ditemui ini akan berkekalan hendaknya. Amin....