Sunday, August 7, 2011

Adaptasi Novel Sastera ke Layar Perak

ADAPTASI novel tempatan ke filem masih kurang rancak berbanding novel ke drama televisyen. Biarpun begitu, sejak akhir-akhir ini penerbit filem mula terbuka kepada adaptasi novel, tetapi lebih kepada novel pop. Faktor pasaran tersedia untuknya [ready-made market] di kalangan pembaca tegar dan nilai komersil novel genre itu telah membuka hati penerbit. Contohnya Lagenda Budak Setan [Ahadiat Aksyah], Ombak Rindu [Fauziah Shaari] dan beberapa tajuk lagi yang sedang dalam perancangan.
Bagi novel sastera, kebanyakan penerbit filem masih keberatan untuk melabur lantaran kurangnya nilai komersil yang mungkin mengurangkan jualan tiket di pawagam. Namun, atas dasar tanggungjawab sosial, seseorang atau sekumpulan karyawan atau mana-mana organisasi PERLU menggalas tugas ini, tanpa memikirkan sangat pulangannya dari segi kewangan.
Menyedari amanah dalam mengangkat pemikiran bangsa melalui filem, baru-baru ini, tiga pihak bekerjasama menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem. Novel-novel yang terpilih itu merupakan novel sastera terbitan Dewan Bahasa & Pustaka [DBP] :
Sandera, karya Arenawati, Interlok (Abdullah Hussein), Empangan (Zakaria Ali), Pemberontakan (Chian Jong Lai) dan Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani).
Skrip yang menang akan difilemkan dengan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS].
Pertandingan ini anjuran bersama Finas, DBP dan Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia [FDAM]. Tarikh tutup pada 31 Disember 2011 dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada :
Urus Setia, Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460Kuala Lumpur - A. Wahab Hamzah (03-21482348), Roslinda Mustapha (03-21482924) atau Nurul Aina Borhan (03-21482914).
Semoga Berhasil!

Thursday, August 4, 2011

FILEM ISLAM : REALITI ATAU FANTASI...?

Program Bual Bicara TV al-Hijrah Rabu lalu bertukar topik kepada aspirasi filem Islami di Malaysia. Sedangkan asalnya untuk berbicara tentang pemikiran dalam filem. Sejauh manakah filem bertemakan Islam mampu bertapak di negara kita? Baca komentar tentangnya di blog berikut :
http://www.zabidiskrip.blogspot.com/
http://ummuaisyah-ummuaisyah.blogspot.com/

Sunday, July 24, 2011

RABU INI DI SALURAN AL-HIJRAH...

Televisyen al-Hijrah, sebagai saluran yang baharu, turut menyajikan rancangan bual bicara bertajuk BICARA setiap Rabu, 9.30 malam. Sejak ia bersiaran, pelbagai topik yang penting untuk ummah telah dikupas seperti ISLAMOPHOBIA, DAKWAH SAUDARA BARU, PEMIMPIN GLOBAL, MEDIA ISLAM, INDUSTRI FILEM ISLAM dan sebagainya.
Rabu ini, 27 Julai, penerbitnya sekali lagi memilih topik berkaitan filem bertajuk "PEMIKIRAN DALAM FILEM".
Saya telah dijemput sebagai ahli panel bersama pengarah dan penulis skrip Syamsul Yusuf, Farid Kamil dan Zabidi Mohamad. Program ini dikendalikan oleh pengantara Nizal Mohamad dan akan bersiaran selama satu jam.
al-Hijrah juga boleh ditonton melalui saluran 114 sekiranya menggunakan platform Astro.

Friday, July 8, 2011

5 Julai…5 minit…50 ahli panel…

Pada 5 Julai lalu, idea yang layak ke saringan kedua ‘pitching TV3’ diberi masa lima minit sahaja untuk dilontarkan di hadapan kira-kira 50 orang panel yang terdiri daripada bos-bos besar Media Prima Berhad, bos-bos kecil dan para penaja dari luar. Sesi itu berlangsung di hotel KL Hilton Sentral.
Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, saya sentiasa gagal membuatkan TV3 menerima idea yang dibawa oleh saya. Akur.
Apa pun, saya berpegang kepada rezeki di tangan Tuhan. Sebagai contoh, cadangan drama yang diambil inspirasi daripada kisah dalam al-Quran, tentang nabi Yunus Alaihis Salam, telah tidak dipanggil ke saringan kedua di Hotel Carcosa Seri Negara, tahun lepas. Namun, pada tahun ini, tiba-tiba sahaja saya mendapat panggilan daripada penerbit, mengatakan cadangan itu lulus, tetapi hanya untuk telefilem sepanjang 90 minit. [Cadangan asal untuk drama bersiri 26 episod x 1 jam siaran = 26 jam] Alhamdulillaaaaahhh…biarpun durasinya pendek, asalkan diterima, syukur....
Semoga berjaya kepada rakan penulis yang terpilih pada 5 Julai lalu…

Saturday, June 25, 2011

NORA ELENA...BERAKHIR DENGAN 2.7 JUTA

Saya tidak mengharapkan apa-apa ketika dipanggil menulis untuk slot Akasia, TV3, sekitar November lalu. Lantaran pengisiannya bukan datang dari saya, sebaliknya telah ditentukan oleh pihak stesyen yang berkenaan.
Stesyen waktu itu menerangkan bahawa mulai tahun ini, mereka menukar konsep Akasia dengan menumpukan kepada pengisian yang diadaptasikan daripada novel-novel popular. Tajuk-tajuk novel itu dipilih oleh pihak MEREKA. [perkataan MEREKA sengaja ditulis dalam huruf besar dan dihitamkan pula.]
Selain itu, MEREKA mahukan pengisian yang ringan, santai dan mudah untuk slot ini, dengan menumpukan kepada penonton luar bandar.
Keghairahan saya tidak lah seperti ketika menulis siri TV Nur Kasih di bawah penyeliaan Mira Mustaffa sebagai ketua panel skripnya, dua tahun lalu. Namun, tugas menghasilkan skrip adaptasi ini tetap dilaksanakan.
Nora Elena kemudiannya menarik dua juta penonton, dengan episod terakhir, 2.7 juta. Sebelum ini, penonton slot Akasia sekitar 1.8 juta.
Secara peribadi, saya melihat Nora Elena sebagai kejayaan material [duniawi] untuk semua pihak yang terlibat :
Syarikat penyiarannya mendapat hasil iklan melalui 'rating'.
Pelakon dan tenaga kerjanya mungkin dicari untuk tawaran demi tawaran kerja selepas ini.
Novelisnya mendapat lebih royalti.
Reputasi penerbitnya meningkat.
Dan penontonnya mendapat hiburan yang mereka dahagakan.
Namun, siri ini masih boleh dipertikaikan dari aspek bukan-material atau 'ukhrawi', lantaran unsur hiburan keterlaluan melalui kegilaan penonton terhadap rupa paras dan khayalan yang tidak pasti samada memberi manafaat atau mudarat kepada pembangunan jiwa insani. [Islam melihat kepada sejauh mana mudarat atau manafaat sesuatu tugas itu kepada masyarakat. Sebaliknya, industri melihat kepada sejauh mana sesuatu tugas itu dapat menarik keuntungan material].
Setakat ini, belum ada pihak yang mengukur manafaat sesuatu siri TV kepada pembentukan jiwa dan minda ummah, melalui kaji selidik yang tetap dan terancang. Yang diukur secara tetap dan terancang ialah 'jumlah penonton', [bukan pengisiannya] melalui agensi 'rating' antarabangsa untuk tujuan pengiklanan.
Justeru, dari perspektif industri, Nora Elena telah berjaya.

Tuesday, June 14, 2011

MARI BANTU RUSLIE SOPHIAN

Karyaku Dana Jantungku Ruslie Sophian, seorang penulis yang gigih menghasillkan karya dalam genre skrip drama televisyen dan novel. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri penerbitan drama TV dan novel. Selain itu, berpengalaman juga dalam industri permotoran. Bagaimanapun, baru-baru ini beliau disahkan mengidap penyakit jantung.
Justeru, bagi membantu kos rawatan di Institut Jantung Negara [IJN], beliau telah menjual karya beliau bertajuk BARA ESPLANADE dalam bentuk E-NOVEL secara on-line. Harganya cuma RM25 senaskah.
Sila dapatkan keterangan lanjut melalui blog beliau, htto://www.rusliesophian.blogspot.com, iaitu di entri bertajuk KARYAKU, DANA JANTUNGKU. [Klik tajuk entri di atas]. Akhir kata, mari lah kita sama-sama bantu membantu di waktu susah senang, InsyaAllah...

Friday, June 10, 2011

NORA ELENA…. MINGGU TERAKHIR

Drama bersiri Nora Elena bakal bersiaran untuk minggu terakhir mulai Isnin hadapan, 13 Jun. Menurut laman web gua.com, episod 1 hingga episod 16 drama ini telah berjaya menarik 800,000 penonton melalui tonton.com.my. Manakala episode 16 sahaja – babak berbulan madu di Cameron Highland – dapat menarik 80,000 penonton.
Sementara itu, jumlah yang menyukainya melalui halaman peminat [FAN PAGE ], mencecah 56,000 ketika entri ini ditulis.
Namun, masih tiada makkumat tentang rating di televisyen. Apa pun, dari segi kedudukan, khabarnya Nora Elena mungkin berada di tangga kedua selepas Juvana atau ketiga selepas Juvana dan Asmara. Perlu ditekankan bahawa Nora Elena bersiaran pada waktu Magrib – waktu orang Melayu jarang menonton televisyen. Sedangkan Juvana dan Asmara bersiaran ketika PRIME TIME, di TV3.
Jangan ketinggalan menontonnya minggu hadapan…