Wednesday, November 14, 2012

Istanbul Aku Datang..."Best..lain dari lain".


Pada hari Deepavali semalam, saya membawa anak yang berusia tujuh tahun ke kelas renang di Sealantis Dive Centre.  Pusat menyelam itu terletak dalam kompleks membeli belah One Utama, Bandar Utama, Selangor.  Malangnya tersalah masa. Kelas sepatutnya jam empat petang, tetapi jam satu tengahari  kami sudah tiba di sana.

Bagi mengisi masa menunggu yang agak lama, kakaknya bersama dua rakan sebaya mahu menonton wayang. Saya berikan wang dan sarankan Istanbul Aku Datang. Namun, tidak beriya menyuruhnya kerana faham mereka adalah golongan remaja perempuan yang tidak  gemar filem tempatan a.k.a. filem Melayu. 

Kami berpisah....

Tiga jam kemudian, kami bertemu semula di Sealantis Dive Centre. Rupanya mereka menonton juga Istanbul Aku Datang. Komen mereka, "Best. Filem Melayu yang lain dari lain."

Pengalaman menonton Istanbul Aku Datang mungkin menjadi pengalaman baharu buat kumpulan remaja berkenaan yang selama ini tidak menonton filem berbahasa Melayu di panggung. Mungkin tontonan hanya berdasarkan filem-filem yang tersiar di televisyen pada Hari Raya Puasa.  [Ya, kebanyakan golongan dewasa yang saya kenal juga menonton filem Melayu sepintas lalu pada hari raya di televisyen dan mereka memberi komen berdasarkan tontonan berkenaan semata-mata]


Bagi saya, untuk mempromosi filem tempatan yang baik sama sukarnya dengan mempromosi kereta  tempatan kepada lelaki yang ada duit lebih atau kosmetik tempatan kepada wanita. Bukan mereka tidak patriotik, bukan tidak  cintakan barang buatan Malaysia. Bagaimana hendak membeli Barangan Buatan Malaysia,  kalau mereka tidak boleh bertolak ansur dalam soal kualiti?

Saya belum lagi menonton Istanbul Aku Datang... tetapi saya ada membeli kosmetik SimpliSiti.... [haha... ini bukan nak bodek sebab saya tidak pernah ada job  dengan Siti Nurhaliza atau dengan syarikat kakak iparnya, Zaiton Md Jiwa]

Selamat Tahun Baharu Islam.. 1434

Monday, November 12, 2012

ANUGERAH SKRIN 2012.... SATU ULASAN


Anugerah Skrin [ASK] 2012 baru saja berlalu. Namun, acara berprestij itu tercalar dengan persembahan yang membosankan, walaupun konsepnya bagus. Bagi penggiat filem dan drama, agak mengecewakan apabila penat lelah bekerja selama setahun diraikan dalam majlis yang agak meleret persembahannya. Apatah lagi apabila ada dialog yang menghina hukum agama diucapkan oleh sepasang  "Mega-Star " tempatan yang naik ke pentas untuk menyampaikan tropi kepada pemenang.

Selain itu, ada juga calon yang tidak mendapat undangan, antaranya Martias Mohd Ali yang berjaya ke pusingan akhir - Lima Terbaik [Top 5] untuk kategori Lakon Layar [Skrip] melalui filem Libas. Sementara itu, penulis Shahriman Wahap hadir atas jemputan Tayangan Unggul Sdn Bhd, berdasarkan filem tulisannya, Hoorey Hoorey yang diterbitkan oleh syarikat itu. Biarpun sebuah lagi filemnya, 7 Petala Cinta tercalon dalam Top 5, beliau tidak mendapat apa-apa makluman daripada penerbitnya, MIG. Penulis cerita asal [novelis]  Ombak Rindu, Fauziah Ashaari juga tidak menerima undangan walaupun filem itu juga ke pusingan akhir. Salah siapa, ini terjadi? [Nota :  penganjur ASK biasanya meng'amanah'kan tugas menjemput karyawan kepada penerbit setiap karya yang tercalon]

Apa pun, dari segi penjurian, saya berpuas hati dengan terpilihnya Jangan Ambil Padang Kami [JAPK] dari Astro Ria sebagai Drama Rantaian Terbaik. Memandangkan kekuatan [forte] saya adalah drama bersiri, ini lah kategori yang setiap tahun membuatkan jantung saya berdebar-debar. Sejak empat tahun kebelakangan ini, ramalan saya mengenainya tepat belaka.  Bermula dengan Kekasih Ku Seru [2009], Nur Kasih [2010] dan Juvana [2011]. Ketiga-tiga drama bersiri sebelum ini dibolot oleh syarikat yang sama iaitu Filmscape Sdn Bhd.  Hanya pada tahun ini, tuah beralih kepada Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Bagi kategori Drama Terbaik, tiada apa hendak diulas, memandangkan saya tidak menonton kesemua 18 telemovie yang tercalon di pusingan awal kecuali Parit Jawa, Pelarian, Maharku Untuk Mu dan Perempuan Neraka.  Keempat-empat telemovie ini  ditonton dengan serius di Youtube  sebelum ASK. [Cewwah..macam nak  jadi juri pulak!] Kategori ini mengekalkan dominasi Filmscape Sdn Bhd dalam menerima hadiah utama [Grand Finale]  selama empat tahun berturut-turut di pentas ASK. Kali ini melalui Di Telapak Kaki Bonda tulisan Lam Pung Fui, arahan Kabir Bhatia.

Manakala untuk kategori filem, saya hampir tidak boleh memilih antara Songlap dan Bunohan. Pada pandangan saya, Songlap lebih bagus dari segi penceritaan dan skrip. Bagaimanapun, pihak juri memilih Bunohan untuk kategori berkenaan. Sedangkan dari segi lakonan, saya memilih Faizal Hussein dari Bunohan. Tetapi juri  pula memilih Shaheizy Sam dari Songlap. [Haha..ramalan yang terbalik!] Pastinya para juri lebih arif dalam penilaian mereka. Sekadar mengimbas ke belakang, penulis Songlap, Fariza  Azlina Isahak pernah meraih kategori Lakon Layar Terbaik ASK 2009 melalui filem Kami The Movie, terbitan syarikat yang sama, Red Communications Sdn Bhd.

[Nota : Lakon Layar adalah istilah yang sama untuk skrip. Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Screen Play. Penulis pula digelar sebagai Screen Writer atau Penulis Skrin. Kerap kali ada orang bertanya kenapa tiada kategori untuk penulis skrip, walhal nama kategorinya telah disebut sebagai Lakon Layar untuk filem dan Lakon TV untuk telemovie ]

Saya sebenarnya tidak bersetuju kategori filem dipertandingkan dalam ASK.  Biar lah filem diuji kekuatan dalam Festival Filem Malaysia [FFM] secara ekslusif. Manakala ASK dikhususkan kepada karya televisyen semata-mata. Ibarat FFM itu Academy Award Malaysia manakala ASK, Emmy Award Malaysia.  Dikhuatiri juga keputusan  ASK akan mempengaruhi penilaian juri pada FFM nanti kerana ASK dianjurkan lebih awal.  [Betul kah teori ini??] Bagaimanapun, disebabkan penganjur juga mempunyai kepentingan di dalam industri filem - mempunyai anak syarikat yang menerbit dan membiayai filem -  wajar lah bagi mereka memasukkan kategori filem ke dalam ASK.  Akur.

Akhir kata, tahniah kepada semua calon yang karya mereka atau diri mereka berjaya ke Top 5 pada Jumaat lalu.






Thursday, November 8, 2012

ANUGERAH SKRIN KEMBALI DENGAN "PARI-PARI"


Anugerah Skrin datang lagi. Tahun ini bertemakan "Alam Fantasi" [Ferry Tale].  Semoga berjaya diucapkan kepada rakan-rakan yang karyanya atau diri mereka sendiri  terpilih ke pusingan pertama. Harap ada yang melangkah ke lima yang terbaik [TOP 5], malam esok, 9 November 2012  dan seterusnya ada yang menang.  Seperti kebiasaannya acara gilang gemilang itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra [PWTC], Kuala Lumpur.

Di sini, saya suka untuk mengulangi ayat klise seperti "Kalah menang  adat bertanding." Seperti kebiasaan sifat orang Melayu yang merendah diri, ramai yang tidak berani mengatakan dirinya atau karyanya akan menang nanti.  Ramai yang lebih suka berkata, "tengok lah..kalau ada rezeki." Biarpun dalam hati mengharapkan kemenangan, namun mulut kita tidak akan berani menyuarakannya kerana takut dianggap  "perasan" atau "berlagak" atau "riyak".  Atau malu  kalau tidak menang nanti. [Saya pernah menulis tentang sifat Melayu ini dalam Kolum Maizura Menulis, majalah Era Muslimah, keluaran Mei 2012 bertajuk Minda Positif vs Kejayaan]

Saya terpandang beberapa hasil kerja rakan penulis seperti  Bedah Tong Gas [Mf Kencana a.k.a. Mohd Fairuz Padoli]; Projek Pop [Alfie Palermo]; Parit Jawa [Jamil Mutalib]; Hilangnya Doa Ibu [Wan Mahani Wan Hassan]; Gincu Ayah & Tahajjud Cinta  [Mazelan Manan].; Makbul [Zabidi Mohamed]; Tentang Dhiya & Maharku Untuku [Azlina Pa'wan]; Paan & Paiz [Sham Hashim]; Mahabbah [Zarihah Hassan] dan lain-lain. Maaf kiranya ada lain-lain nama yang saya terlepas pandang sehingga tidak tertulis di sini. Berbanyak maaf, ya.


Bergembira lah walau apa pun keputusannya....

Tuesday, October 23, 2012

Sudah Muncul.... Projek Bank Skrip

Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi telah mengambil inisiatif untuk memajukan isi kandungan bagi  industri kreatif tempatan melalui projek yang dikenali sebagai Bank Skrip. Projek ini dikendalikan oleh Majlis Kandungan Kreatif Filem dan Televisyen atau lebih dikenali sebagai FSCCC  atau F3C iaitu singkatan dari Film, Script & Creative Content Council.

Ahli majlis ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan  isi kandungan tempatan. Penerbit dan pengarah filem terkenal, Yang Berbahagia Datin Paduka Shuhaimi Baba merupakan tenaga penting dalam projek ini.

Bank Skrip akan memilih 50 tajuk bagi melalui proses "pembangunan"  [development] sehingga terhasilnya skrip-skrip yang berkualiti untuk pasaran tempatan - samada di televisyen atau pawagam.  Tajuk-tajuk ini merangkumi untuk filem, drama bersiri televisyen, telemovie dan animasi. Bagi pasaran televisyen, ia mengutamakan saluran milik kerajaan, TV1 & TV2.

Bank Skrip turut melantik sekumpulan editor atau mentor untuk membantu memperbaiki skrip-skrip yang terpilih itu, bermula dari peringkat idea asal sehingga lah kepada terhasilnya skrip penuh.  Para editor atau mentor ini terdiri daripada penulis-penulis  berpengalaman dan mempunyai "rekod" dalam menghasilkan skrip-skrip yang bermutu di kaca televisyen dan di layar perak.

Bayaran untuk penulis [sekiranya cadangan kalian terpilih] akan dijelaskan oleh pihak kementerian, menggunakan dana yang diperuntukan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara. Dalam hal ini, penulis tidak lagi berurusan dengan penerbit filem atau televisyen, sebaliknya berurusan dengan sekretariat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Bank Skrip ini.

Permohonan masih terbuka untuk para penulis dan bakal penulis di luar sana yang berminat menyertai Bank Skrip. Sila hantar satu mukasurat cadangan cerita [proposal] kepada sekretariat sebelum 30 OKTOBER 2012.  Satu mukasurat itu perlu merangkumi logline, sinopsis cerita dan keterangan untuk dua atau tiga watak utama. Cadangan [Proposal] juga boleh terdiri daripada idea asal penulis sendiri atau adaptasi daripada mana-mana karya dari medium lain.

Untuk maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan dan alamat penghantaran, sila klik ke link berikut :

http://www.industrikreatif.gov.my/komuniti

atau boleh muat turun borang melalui link di bawah :

http://www.industrikreatif.gov.my/permohonan-bank-skrip

Selamat memohon dan semoga berjaya!

Wednesday, September 26, 2012

Seorang lagi bakal penulis skrin?


Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, baru-baru ini merangkul Anugerah Skrip Terbaik dalam pertandingan Filem Pendek bertemakan intergriti. Muhammad Amar Harun, 24 tahun, meraih kejayaan itu menerusi filem pendek bertajuk “Mahasiswa dan MLM”.  Beliau juga menghantar satu lagi penyertaan, “Plagiat” yang mendapat hadiah saguhati. Kedua-dua skripnya diarahkan oleh Norjannah Md Mustapha.

Sementara itu, juara keseluruhan dimenangi oleh filem bertajuk “Integriti Intipati Segala Kejayaan” arahan Le Yong Chin, 21 tahun, dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),  Sungai Long.  Yong Chin turut menerima Anugerah Pengarah Muda Terbaik serta hadiah saguhati menerusi filem “Kenangan Yang Dilenyapkan”.

Yong Chin mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia, tetapi bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, demi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat. Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah yang sama anjuran Air Asia dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Naib Juara pula jatuh kepada filem “Tolong-Menolong” arahan Ediazrul Mohd Razali, 24 tahun, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM turut menerima hadiah saguhati bagi filem “Sama Udara”, “Adab”, “Tabah” dan “Akibat Dadah”. Seperti Yong Chin, Ediazrul juga aktif menyertai pelbagai pertandingan dan berhasrat untuk bergiat dalam bidang perfileman setelah tamat belajar kelak. Beliau merupakan pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Media [Penyiaran].

UTAR Petaling Jaya pula merangkul kategori Anugerah Juri melalui filem “Thriller” karya Leong Khang You dan Foo Hui Bin.

Pertandingan antara Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini dianjurkan oleh Institut Intergriti Malaysia [IIM]. Ia mendapat 15 penyertaan daripada enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Isu-isu semasa yang diketengahkan oleh mahasiswa berkenaan, antaranya seperti plagiat, penagihan dadah, perpaduan, budi bahasa, jenayah dan integriti kewangan.

Syabas kepada para pemenang. Semoga ada di antara mereka, bakal mewarnai industri perfileman tanahair dengan filem-filem yang berkualiti terutama dalam  genre Islamik, memandangkan ada di antara mereka datang dari IPT berteraskan Islam.

[Nota : IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat]