Thursday, March 12, 2009

TALE N TIME....SARAT KRITIKAN SOSIAL

Petang semalam, saya berkesempatan ke pra-tonton Tale N Time (Talentime) . Seperti filem-filem Yasmin Ahmad yang terdahulu, ia juga sarat kritikan sosial. Sudah tentu orang Melayu paling banyak kena. Antaranya, fobia melampau pada ‘babi’ (kerana mengikut pendapat imam Syafiee). Ini disampaikan secara humor melalui watak Datin Kalsom – yang di alam realiti, mewakili majoriti Melayu.
Islam adalah agama universal. Yakni untuk semua bangsa.
Tetapi di Malaysia, Islam seolah-olah hak ekslusif orang Melayu. Jadi, memang wajar Yasmin mengangkat perkara ini ke layar – Universal Islam – melalui watak May Ling.
Islam juga mesra kepada penganut agama lain yang tidak menentang Islam. (Tetapi tidak lah sampai menganggap semua agama itu sama)
Nabi Muhammad memberi layanan baik, adil dan sama rata terhadap penganut Kristian dan Yahudi yang merupakan penduduk minoriti Madinah. Mereka tidak pula keluar dari Madinah, sebaliknya selesa. Sementara umat Islam, tidak kedekut sedekahkan senyuman dan salam pada mereka (tetapi ucapan salam untuk non-muslim berbeza sedikit dengan untuk Muslim). Manakala sahabat setia nabi seperti Salman al-Farisi bukan berbangsa Arab, tetapi berbangsa Parsi (Iran). Bilal pula berbangsa Habsyi (Sudan). Tanpa menggunakan slogan menegakkan ketuanan Arab, mereka berjaya menguasai satu pertiga dunia - dalam tempoh 90 tahun selepas kewafatan nabi Muhammad.
Tapi itu duluuuu...1,400 tahun duluuuu di Madinah... Sekarang...??
Sekarang, hendak masuk universiti pun, kerajaan kena tolong (kata Kae Hor dalam Talentime) Jadi, jangan sebut lah soal mahu kuasai dunia. Saya pernah mengangkat isu 'kunun'nya Islam itu hak Melayu semata, dalam dra-midi :
Renjis Musim 1 : Episod 6 (Astro Ria, Jun 2008)
Sebagai reaksi, seorang budak Cina 19 tahun menulis entry “An episode with a serious issue. Ini memberi semangat untuk saya menulis satu lagi proposal untuk RTM. Ia hasil wawancara dengan ramai muallaf/pendakwah sejak tahun 2004. Versi serius sudah saya tulis dalam majalah Milenia Muslim. Dan versi kelakarnya akan dibuat melalui televisyen. Tahu apa jawapan pegawai RTM?
"Sebagai TV kerajaan, kita tidak boleh memaparkan keburukan orang Melayu secara terbuka begini. Mungkin di TV swasta, boleh..."
Saya angguk saja. Dalam hati, saya merancang untuk mencuba di TV3 pula. Dalam kereta, saya merungut kepada penerbit eksekutif,
"Kenapa dulu P Ramlee boleh kritik kaum sendiri dalam Musang Berjanggut, trilogi Bujang Lapok, Do Re Mi dan sebagainya? Kenapa kita sekarang tidak boleh?"
Berbalik kepada Talentime, ia juga sebuah feel good movie tentang perpaduan kaum. Sudah sampai masanya kita membuang doktrin yang sekian lama memerangkap kita dalam kepompong perkauman yang sempit. (Gara-gara politik perkauman sejak dulu kini dan selamanya). Kritikan sosial dalam filem ini kena pada caranya. Bagi saya, Talentime seolah mengubat luka dihiris Gubra beberapa tahun lalu.

2 comments:

Ajami Hashim said...

wahhh!

necx prev tgk ESTET filem mamat khalid plak k! muahhh!

"Bagi saya, Talentime seolah mengubat luka dihiris Gubra beberapa tahun lalu."

>> apa yg lukanya kaklong? citer skit! ;-)

Maizura Mohd Ederis said...

Ajami,

Estet InsyaAllah...

Lukanya? Ha..ha..cerita lama. Mungkin akan kongsi di lain masa...